Meraung Rangkul Anak Tidak Bernyawa, Coretan Si Ayah Undang Hiba
Tidak dinafikan, setiap anak pasti menyimpan ketakutan terbesar dalam hidupnya – kehilangan tempat bertaut, iaitu ibu dan bapa.
Malah, ramai antara kita mungkin sering termenung, membayangkan hari paling perit, hari di mana mereka tidak lagi berada di sisi kita.
Percayalah, perasaan itu wajar, lebih-lebih lagi apabila melibatkan insan yang paling kita sayangi.
Tapi dalam tengah kita risau kehilangan mereka, pernahkah kita terfikir, bagaimana pula rasa di hati seorang ibu atau ayah apabila kehilangan anak mereka?
Anak yang dikandung sembilan bulan, dibesarkan penuh kasih sayang, dipeluk setiap hari, ditatap setiap malam, tiba-tiba ‘pergi’ selamanya.
Kehilangan seorang anak buat seorang ibu atau ayah, percayalah, itu mungkin jauh lebih perit daripada apa yang mampu kita bayangkan.
Inilah kisah menyayat hati yang dikongsikan oleh seorang lelaki, yang bukan sahaja seorang suami, tetapi juga seorang ayah.
“Anak yang kita sambut masa lahir, azankan dan besarkan. Tapi kita juga yang bawa dia ke liang lahad…”
Dalam satu hantaran di media sosial, lelaki ini berkongsi kisah duka yang merobek hati ramai, apabila dirinya kehilangan permata hati kira-kira dua tahun lalu.
Walaupun masa telah berlalu, luka di hati insan bergelar “ayah” ini masih belum sembuh. Rasa sakit itu terus menghantuinya bahkan hingga ke hari ini.
Menurutnya, tragedi hitam itu berlaku pada Februari 2023, apabila mereka sekeluarga terlibat dalam satu kemalangan ngeri membabitkan lima buah kenderaan di Lebuhraya Senai-Desaru, menghala ke Pasir Gudang.
Dalam sekelip mata, hidupnya berubah. Anak kesayangan pergi menghadap Ilahi, dan isterinya pula nyaris diragut nyawa.
“Lihatlah anak saya, masih kecil, masih belum sempat mengenal dunia. Terlalu singkat waktu beliau bersama ibu bapanya. Terlalu singkat gelak tawa, tangisan dan permintaan dari dia.
“Tapi disebabkan kecuaian dan kelalaian seseorang, dia telah pergi meninggalkan kami. Harta, wang ringgit semua boleh diganti. Tapi, anak saya. Satu-satunya anak saya, tiada gantinya,” tulisnya.
https://www.instagram.com/p/Co59SHJPusf/?img_index=1
Tambah si ayah lagi, kes berkenaan dijadualkan akan dibicarakan di Mahkamah Seksyen pada Julai tahun ini.
“Moga ada sinar harapan buat kami,” ujarnya.
“Rasanya gelap tidak boleh melihat lagi anak sendiri. Entah sampai bila harus rasa sakit ini…”
Begitulah antara bait-bait pilu yang dikongsi seorang ayah yang kini hanya mampu mengenang anaknya dalam kenangan.
Lebih menyayat hati, dalam satu rakaman dashcam yang dikongsikan oleh seorang pengguna jalan raya, tersingkap satu babak tragis yang cukup merobek hati sesiapa pun yang melihat.
Rakaman itu memaparkan detik-detik terakhir yang memilukan apabila si ayah meraung, merangkul anaknya erat-erat ke dada.
Warga maya yang menonton video tersebut turut merasa sebak dan terkesan, apatah lagi bila membaca coretan hati si ayah yang jiwanya telah ‘patah’.
Langit biru, hari yang indah. Pagi penuh dengan riang tawa, gembira di pantai. Rupanya hari terakhir Gibran dalam dakapan mama dan papa.
Aku menjerit memanggil namanya sambil memeluk tubuh kecilnya yang tidak lagi bernyawa, berharap agar dia kembali. Namun perlahan-lahan aku sedar, dia telah pergi.
Hati ini luluh. Sakitnya, tidak terungkap. Dunia terasa runtuh sekelip mata. Dia telah tiada. Ibunya pula sedang bertarung nyawa. Lama juga masa yang diambil untuk dia kembali pulih.
Sekarang Gibran dah kat Syurga. Dikelilingi malaikat dan moga di sebaik-baik Syurga. Nak mainan apa semua boleh dapat. Kamu juga boleh bermain dengan semua haiwan kesukaanmu di Syurga. Jadilah anak yang baik di sana, wahai permata hati.
Semoga rohmu yang suci sentiasa diberkati. Pemergianmu terlalu awal, terlalu singkat masa kita bersama. Segala harapan dan impian kami bersamamu, musnah sekelip mata.
Akan tiba satu hari nanti, kita akan bertemu kembali, wahai anakku. Kami amat menyayangimu, Gibran Alfarizqi. Anak yang mengajar ku menjadi ayah, mengajar isteriku menjadi ibu. Tapi anak ini juga yang mengajar erti kematian dan kehilangan.
Al-Fatihah.
https://www.instagram.com/p/DIWvYsjz1Kp/
BACA: Anak Kongsi Perbualan Sebelum Ayah ‘Pergi’ Buat Ramai Sebak
BACA: Bayi Ditemukan Hanya Beralas Tuala Dalam “Baby Hatch”, Bakal Terima Keluarga Angkat
BACA: Hadap Jem Sebab Kemalangan, Tak Sangka Rupanya Keluarga Sendiri
Sumber: IG @istamuel