Bapa Korea Luah Perasaan Bila Anak Perempuan Kahwin Dengan Lelaki Melayu
Perkahwinan bukan sekadar menyatukan dua hati, tetapi juga menyatukan dua keluarga. Malah, dalam sesetengah kisah cinta, ia turut menyatukan dua budaya berbeza dari dua negara yang berjauhan.
Apabila cinta hadir antara pasangan dari negara yang berbeza, cabaran yang timbul bukan hanya melibatkan jarak. Tetapi juga perbezaan bahasa, budaya dan gaya hidup.
Namun begitu, perkahwinan campur semakin menjadi fenomena biasa di serata dunia, termasuk di Malaysia.
Baru-baru ini, perkongsian pempengaruh Korea yang kini menetap di Malaysia, Tara Choi, mencuri perhatian ramai.
Dalam satu video, Tara Choi berkongsi kisah percintaan sahabatnya, Ahreum, iaitu wanita Korea yang berkahwin dengan seorang lelaki Melayu bernama Hilmi.
Menariknya, Tara Choi berkongsi perbualan bersama bapa Ahreum, bertanyakan perasaannya melihat anak perempuan berkahwin dengan lelaki Malaysia.
Mungkin tak setuju kalau tak pernah datang Malaysia
“Agak pelik, susah nak kata. Kalau kahwin di Korea dengan orang Korea mungkin lebih selesa.
“Tapi empat tahun lalu kami pernah bercuti di Penang, Malaysia. Masa tu saya suka Malaysia sangat sampai bawa 10 lagi kawan untuk bercuti di Malaysia.
“Bila saya dapat tahu Hilmi dari Malaysia, saya dah setuju 80 peratus (untuk bersama dengan Ahreum).
“Kalau saya tak datang Malaysia sebelum ini, mungkin saya tak setuju dengan perkahwinan mereka,” ujar si bapa.
Pengakuan jujur itu menyentuh hati ramai netizen. Ia membuktikan betapa pengalaman peribadi mampu mengubah tanggapan seseorang terhadap budaya dan bangsa lain.
Dalam video itu, Tara Choi sempat berkongsi kepada bapa Ahreum bahawa komuniti Korea di Malaysia kini semakin berkembang.
“Sebenarnya ramai orang Korea di sini. Ada ramai di Kuala Lumpur, ramai di Kota Kinabalu juga,” katanya.
Dengan bersahaja, bapa Ahreum turut mengakui kehidupan di Malaysia pasti menggembirakan.
Kegusaran si ibu tentang “budaya menantu”
Dalam perbualan tersebut, turut terselit satu kegusaran daripada ibu Ahreum tentang “budaya menantu”.
Tetapi, jawapan Tara Choi yang meyakinkan melegakan sedikit kegusaran di hati si ibu tentang anak perempuannya itu.
“Di sini tak ada “budaya menantu” macam di Korea. Yang baik di sini, menantu pun boleh rapat dengan keluarga suami.
“Saya pun sangat dilayan dengan baik oleh keluarga bakal suami saya. Ibu bapa Hilmi pun sangat suka Ahreum, pasti layan dia dengan baik,” jelas Tara Choi.
@tara_choi_ Perasaan bapa yang mengahwinkan anaknya di luar negara ❤️ subtitle by my fiance ㅎㅎ #koreaninmalaysia #internationalcouple #perkahwinan
Untuk info, “budaya menantu” secara tradisinya begitu popular di Korea, yang menitikberatkan peranan menantu terutamanya sebagai myeoneuri (menantu perempuan).
Di Korea Selatan, terutama dalam keluarga yang masih berpegang kepada nilai Konfusianisme, menantu perempuan dijangka memainkan peranan besar dalam hal rumah tangga keluarga mertua.
Antaranya termasuklah hadir ke rumah mertua hampir setiap minggu, menyediakan lauk sampingan (banchan) dan membantu kerja rumah dan majlis peringatan nenek moyang (jesa).
BACA: Anak Mati Dilanggar, Ibu Gajah Setia Tak Berganjak
BACA: Percaya Tafsiran ChatGPT Dakwa Suami Curang, Wanita Failkan Cerai
BACA: WWF-Malaysia Gesa Bina Bonggol Jalan Di Kawasan Lintasan Hidupan Liar
Sumber: Tara Choi via TikTok