Siakap Keli
Hidangan Banduan
Gambar: AFP

Makanan Mewah “Ini” Dahulu Pernah Jadi Hidangan Banduan

Makanan Mewah “Ini” Dahulu Pernah Jadi Hidangan Banduan

Umum diketahui, makanan bukan sekadar dinilai berdasarkan rasa semata-mata. Ia turut menjadi lambang status sosial seseorang.

Ada makanan yang dianggap mewah dan hanya dinikmati oleh golongan berada, manakala selebihnya hanyalah hidangan harian untuk orang kebanyakan.

Namun, persepsi terhadap jenis-jenis makanan ini boleh berubah mengikut zaman dan keadaan.

Salah satu contoh paling menarik ialah udang galah, atau lebih dikenali dengan nama mewahnya — lobster.

Pada masa ini, lobster dianggap sebagai makanan mewah yang eksklusif dan mahal.

Ia sering dikaitkan dengan majlis-majlis istimewa seperti makan malam atau sambutan mewah di hotel lima bintang.

Namun, tidak ramai yang tahu bahawa suatu ketika dahulu, lobster hanyalah makanan untuk golongan miskin, banduan dan buruh kontrak.

Dulu, lobster digunakan sebagai baja tanaman, makanan ternakan dan hidangan banduan

Pada era penjajahan di kawasan New England dan Kanada, lobster sangat mudah ditemui.

Selepas ribut melanda, lobster akan terdampar di pesisir pantai dalam jumlah yang banyak.

Ia boleh dikutip dengan tangan tanpa memerlukan sebarang kemahiran atau peralatan khas.

Disebabkan ia terlalu mudah diperoleh, lobster dianggap sebagai sumber makanan yang murah. Ia langsung tidak dihargai oleh golongan atasan.

Malah, lobster juga digunakan sebagai baja tanaman, makanan ternakan dan dihidangkan kepada banduan.

Untuk info, ketika itu, buruh kontrak diikat dengan perjanjian yang menyatakan bahawa mereka tidak boleh diberi makan lobster lebih daripada dua kali seminggu.

Jika melebihi had tersebut, ia dianggap sebagai satu bentuk “layanan tidak berperikemanusiaan”.

Bagaimana lobster berubah status jadi makanan elit?

Persepsi terhadap lobster mula berubah menjelang akhir abad ke-19.

Ketika itu, kemajuan dalam teknologi pengetinan membolehkan lobster diproses dan dihantar ke kawasan pedalaman sebagai sumber protein murah.

Dalam masa yang sama, pembinaan rangkaian kereta api membolehkan lobster segar dibawa ke bandar-bandar besar.

Bagi penduduk kawasan pedalaman yang tidak mengetahui stigma asal lobster, makanan ini dianggap sebagai sesuatu yang eksotik dan menarik.

Restoran pula mengambil peluang untuk mempromosikan lobster sebagai hidangan istimewa dari laut, sesuatu yang unik dan eksklusif.

Menjelang awal abad ke-20, pelancong kaya mula mengaitkan lobster sebagai sebahagian daripada pengalaman bercuti di kawasan pesisir pantai.

Ini menandakan titik perubahan apabila lobster mula dilihat sebagai makanan mewah dan simbol status sosial.

Hari ini, lobster terus dikenali sebagai makanan eksklusif.

Harganya yang tinggi bukan sahaja berpunca daripada permintaan global yang semakin meningkat.

Ia juga disumbangkan oleh peraturan penangkapan yang ketat serta proses penuaian yang memerlukan tenaga kerja yang tinggi.

Dahulu pernah digelar sebagai “lipas laut”, kini lobster adalah hidangan mahal dan menjadi menu utama di kebanyakan restoran ternama dunia.

BACA: Pisang Mas Masuk Senarai 10 Pisang Terbaik Dunia

BACA: Sambutan Meriah Open House Aidilfitri Di SJKC Tarik Perhatian Netizen

BACA: Angkasawan Tertua AS Selamat Kembali Ke Bumi

Sumber: Pine Tree Seafood, Samuels Seafood

Siti Nur Ain Natasya

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.