Lawatan Xi ke Vietnam Undang Reaksi Mengejutkan Trump
Trump Dakwa Lawatan Xi Sebagai Sabotaj
Lawatan rasmi Presiden China, Xi Jinping ke Vietnam baru-baru ini bukan sahaja menarik perhatian dunia. Malah, ia mencetuskan reaksi mengejutkan daripada Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.
Dalam satu kenyataan yang dibuat di Rumah Putih, Trump menyifatkan pertemuan antara pemimpin China dan Vietnam itu sebagai satu usaha untuk “mensabotaj” kepentingan AS.
“Saya tidak salahkan China, saya tidak salahkan Vietnam. Saya nampak mereka bertemu hari ini, dan itu bagus. Tapi pada dasarnya, mereka sedang bincang bagaimana nak kenakan AS,” ujar Trump kepada media.
@cnn Chinese President Xi Jinping is on a tour of Southeast Asia, positioning China as a stable partner in contrast to the US. President Donald Trump reacted saying the tour was a chance to “screw” the US. CNN’s Kristie Lu Stout reports. #cnn #news
Perjanjian Antara China dan Vietnam
Xi Jinping menamatkan lawatan dua harinya ke Hanoi pada hari Selasa.
Dalam lawatan itu, beliau mengajak Vietnam untuk memperkukuh kerjasama dalam mengekalkan sistem perdagangan bebas dan menolak dasar buli secara unilateral.
Lawatan ini merupakan sebahagian daripada jelajah Asia Tenggara yang turut merangkumi Malaysia dan Kemboja.
Dalam lawatan tersebut, China dan Vietnam menandatangani 45 perjanjian kerjasama meliputi bidang rantaian bekalan, kecerdasan buatan, rondaan maritim bersama, serta pembangunan sistem rel.
Salah satu projek utama yang diumumkan ialah kerjasama rel bernilai AS$8 bilion bagi menghubungkan pelabuhan utama di utara Vietnam ke sempadan China.
Laluan ini amat penting kerana melibatkan kawasan perindustrian utama yang menempatkan kilang-kilang gergasi seperti Samsung dan Foxconn.
Dalam pada itu, Xi turut mengunjungi makam Ho Chi Minh dan meletakkan kalungan bunga sebagai tanda penghormatan.
Kalungan itu tertera mesej “Hidup pemimpin besar Vietnam, Presiden Ho Chi Minh”, melambangkan hubungan diplomatik yang erat antara kedua-dua negara.
BACA: Rumah Putih Umum China Berdepan Tarif Hingga 245 Peratus Akibat Tindak Balas Dagang
Dalam artikel yang diterbitkan di akhbar rasmi Vietnam, Nhan Dan, Xi menegaskan pendiriannya bahawa perang perdagangan dan tarif hanya membawa kerugian kepada semua pihak, seperti dilapor CNA.
“Perang tarif tidak akan melahirkan pemenang. Perlindungan perdagangan pula hanya akan membawa kepada jalan buntu,” tulis Xi, sambil mengajak negara-negara rantau untuk mempertahankan sistem perdagangan multilateral serta rantaian bekalan global yang stabil.
Xi juga menyeru agar China dan Vietnam “berdiri bersama di persimpangan sejarah” untuk membentuk masa depan serantau yang lebih stabil dan makmur.
Xi Jinping Seru Kerjasama Perdagangan Bebas
Penganalisis geopolitik berpendapat bahawa lawatan Xi ke rantau ini merupakan satu usaha strategik oleh China untuk mengukuhkan hubungannya dengan negara-negara ASEAN.
Langkah ini dilihat penting terutamanya selepas AS memperkenalkan tarif perdagangan yang mengejutkan.
Menurut Aedan Mordecai, penganalisis kanan dari firma perunding Sibylline, China kini cuba mempelbagaikan hubungan dagangan bagi mengurangkan kebergantungan kepada pasaran barat.
ASEAN dilihat sebagai rakan dagang penting dalam misi tersebut.
“China mahu tampil sebagai rakan dagang yang lebih stabil dan dipercayai dalam keadaan ketidaktentuan dasar perdagangan dari Washington,” jelasnya.
Namun begitu, beliau turut menjangkakan bahawa negara-negara ASEAN akan terus berdepan dilema dalam menjaga hubungan dua hala dengan dua kuasa besar dunia, iaitu AS dan China.
Ini kerana kedua-dua negara itu kini terlibat dalam persaingan ekonomi dan perebutan pengaruh yang semakin sengit.
BACA: Harga RON97, Diesel Turun 10 Sen
BACA: Isu Ilustrasi Jalur Gemilang Tanpa Bulan Sabit Di Muka Depan Akhbar Tempatan
Sumber: CNA, CNN