MyKad Hilang, Lelaki Terkejut Ada Hutang Lebih RM14 Ribu
Umum diketahui ramai, MyKad bukan sekadar kad pengenalan biasa, melainkan ‘kunci’ yang membuka akses kepada pelbagai perkhidmatan penting bagi rakyat Malaysia.
Selain berfungsi sebagai bukti sah kewarganegaraan, MyKad juga memainkan peranan besar dalam urusan harian.
Ini termasuk pengesahan identiti, rekod kesihatan, transaksi kewangan, malah pelbagai kemudahan kerajaan dan swasta.
Tapi, pernahkah anda terfikir apa yang akan berlaku jika MyKad hilang atau jatuh ke tangan yang salah?
Hilang 12 tahun lepas, rupanya MyKad kena ‘klon’
Seorang pengguna Facebook, Hafis Aliaziz baru-baru ini berkongsi kes mengejutkan membabitkan MyKad miliknya yang hilang lebih 10 tahun lalu.
Menurutnya, kisah ini bermula pada 2013 apabila rumahnya dipecah masuk pencuri yang membawa lari dompet dan telefon bimbitnya.
Walaupun dia telah melaporkan kejadian itu, tidak terlintas langsung di fikirannya bahawa kesan kehilangan MyKad ini akan ‘menghantui’ selepas lebih sedekad.
Segalanya terbongkar apabila Hafis ingin menyemak jumlah mata ganjaran dalam aplikasi AEON Wallet selepas berbelanja baju raya.
Mengejutkan, terdapat transaksi pembelian iPhone 16 Pro Max bernilai lebih RM10 ribu, dengan tunggakan sebanyak RM801.
“Saya benar-benar tidak pernah memohon atau menyentuh aplikasi AEON itu sehinggalah hari ini saya menyedari terdapat tunggakan sebanyak RM801.
“Saya tidak tahu siapa yang berani menggunakan butiran peribadi saya untuk membeli iPhone ini,” katanya.
Butiran MyKad sama, gambar lain
Curiga dengan perkara itu, Hafis segera menghubungi perkhidmatan pelanggan AEON dan mendapati bahawa kad pengenalannya telah digunakan oleh individu lain.
Lebih mengejutkan, maklumat pada MyKad yang digunakan adalah sama dengannya—kecuali gambar pemiliknya yang jelas bukan dia.
Susulan itu, kejadian ini segera dilaporkan kepada pihak polis dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
Dua suspek telah ditangkap
Terbaharu, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menjelaskan mengenai isu MyKad palsu yang tular di media sosial ini menerusi Facebook rasminya.
“Pada 7 Mac, dua individu telah ditangkap berkaitan isu ini dan hari ini mereka telah direman bagi membantu siasatan. Kes ini timbul selepas seorang individu melaporkan kehilangan MyKad beberapa tahun lalu, tetapi baru menyedari identitinya telah digunakan untuk membuat pinjaman membeli peranti elektronik.
“Berdasarkan risikan JPN, suspek utama, seorang lelaki berumur 35 tahun, telah ditahan di Kampung Pandan, Kuala Lumpur pada 7 Mac jam 7:30 malam.
“Selepas tangkapan, satu lagi MyKad palsu ditemui dalam dompet suspek. Siasatan dijalankan di bawah Peraturan 25(1)(e), 25(1)(a), dan 25(1)(g) Peraturan Pendaftaran Negara 1990. Jika sabit kesalahan, suspek boleh dikenakan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda tidak melebihi RM20,000, atau kedua-duanya sekali.
“Saya ingin menegaskan bahawa kami tidak menolak kemungkinan melakukan tangkapan susulan berdasarkan hasil soal siasat yang dijalankan,” katanya.
BACA: Gelagat Boboi “Minta Sedekah” Bikin Netizen Terhibur
BACA: Netizen ‘Terkejut’ Lihat Keputusan Alergi Pesakit Ini
BACA: Maghribi Batal Sambutan Aidiladha Tahun Ini
Sumber: Hafiz Aliaziz (1) (2) (3), Saifuddin Nasution Ismail