Nahas Babit Motosikal Berkuasa Tinggi & Kereta, Dua Mangsa Dilapor Maut
Satu nahas dilaporkan telah berlaku membabitkan sebuah motosikal berkuasa tinggi dan sebuah kereta di daerah Papar, Sabah kira-kira jam 8.50 pagi, pada Ahad.
Dalam kejadian di Kilometer 11 Jalan Pan Borneo itu, dua kenderaan terbabit bertembung mengakibatkan dua mangsa maut di lokasi kejadian.
Menurut Sinar Harian, penunggang motosikal, 34, sedang dalam perjalanan pulang dari Kota Kinabalu bersama kumpulan konvoi selepas menghadiri Festival Pemotoran Berkuasa Besar Antarabangsa Pulau Borneo (BIIBBF) pada Sabtu.
Ketua Polis Daerah Papar, Superintenden Kamaruddin Ambo Sakka, mengesahkan bahawa nahas tersebut melibatkan motosikal jenis Kawasaki dan kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Perodua Kembara.
“Siasatan awal mendapati, penunggang motosikal dalam perjalanan dari Kota Kinabalu ke Keningau dan ketika kejadian dia berada di lorong laju sebelah kanan.
“Sebaik tiba di lokasi, sebuah kenderaan yang berada di lorong bertentangan tiba-tiba membuat pusingan U secara mengejut dan dilanggar oleh penunggang motosikal tersebut,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, mangsa, penunggang motosikal lelaki dan pemandu lelaki, 75, disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah di bahagian badan.
“Kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan Hospital Papar.
“Mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Unit Forensik untuk proses pengecaman dan bedah siasat,” katanya.
Tambah beliau, kes kini sedang disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu menyebabkan kematian kerana memandu dengan melulu atau berbahaya.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Papar, Rozlan Osman, memaklumkan bahawa seramai 10 anggota dikejarkan ke lokasi untuk menjalankan operasi menyelamat.
BACA: Sekurang-Kurangnya 19 Maut Apabila Bas Bertembung Dengan Trak Di Mexico
BACA: Kanak-Kanak Lelaki Rentung Dalam Kebakaran Di Tawau
BACA: Jenazah Empat Sekeluarga Selamat Dikebumikan
Sumber: Sinar Harian