Bacaan
Hangat
Terkini
Viral

RUU Anti Berita Palsu Dibentang Di Parlimen, Penjara 10 Tahun Atau Denda Sehingga RM500 Ribu Jika Sebar Berita Tak Benar

Ditulis oleh seventeen century, 27 Mac 2018


27 Mac - Rang Undang-Undang (RUU) Anti Berita Palsu 2018 dibentangkan di Dewan Rakyat di sini untuk bacaan pertama pada Isnin, lapor Kosmo Online.

RUU tersebut bertujuan untuk membendung penyebaran berita palsu atau perkara yang berkaitan.

"Apabila teknologi maju seiring dengan masa, penyebaran berita palsu menjadi kebimbangan global dan lebih serius kerana ia memberi kesan kepada orang ramai," demikian dibacakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said.

RUU itu juga bertujuan untuk melindungi orang ramai terhadap penyebaran berita palsu di samping dapat memastikan hak kebebasan bersuara dan ekpsresi di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Terdapat juga peruntukan yang dicadangkan dalam RUU tersebut yang membenarkan kuasa mahkamah untuk memerintah pengeluaran penarikan semula bahan daripada mana-mana media penerbitan, khususnya platform media sosial.

"Dengan akta yang dicadangkan, diharapkan masyarakat akan lebih bertanggungjawab dan berhati-hati dalam mengongsikan berita dan maklumat," katanya.

Sebaik sahaja RUU itu diluluskan, sesiapa yang mendapati 'dengan sengaja membuat, menawarkan, menerbitkan, mencetak, mengedar atau menyebarkan' sebarang berita palsu atau penerbitan; boleh dikenakan denda sehingga RM500,000 atau penjara sehingga 10 tahun atau kedua-duanya.

Dalam kes kesalahan yang dilakukan secara berterusan pula, seseorang boleh dikenakan denda tambahan sehingga RM3,000 untuk setiap hari kesalahan itu dibiarkan berterusan selepas sabitan.

Sebagai tambahan kepada hukuman, mahkamah juga boleh memerintah permohonan maaf dibuat secara terbuka atau dengan menerbitkannya di akhbar.

Sesiapa yang didapati memberi bantuan kewangan untuk tujuan melakukan kesalahan itu juga boleh dikenakan denda sehingga RM500,000 atau penjara sehingga 10 tahun atau kedua-duanya.

RUU tersebut juga menyatakan bahawa mana-mana individu yang gagal menarik semula penerbitan yang mengandungi berita palsu juga boleh dikenakan denda sehingga RM100,000 dan dalam kes kesalahan yang berterusan, denda tambahan sehingga RM3,000 setiap hari selagi kesalahan itu berterusan selepas sabitan.
Sekiranya anda berminat untuk jimatkan kredit telefon anda boleh tekan sini.
Blogger ( 0 ulasan )

Sedang Hangat

©2014 Siakapkeli