Bacaan
Hangat
Terkini
Viral

73 Peratus Punca Kematian Rakyat Malaysia Adalah Dari Penyakit Tidak Berjangkit Atau NCD


Penyakit tidak berjangkit atau Non-communicable Diseases (NCD) adalah penyebab kepada anggaran 73 peratus daripada jumlah kematian di Malaysia, manakala penyakit kardiovaskular adalah punca kepada separuh daripada jumlah tersebut.

Penyakit tidak berjangkit adalah sekumpulan penyakit kronik yang berlaku bukan dengan cara jangkitan oleh ejen biologi misalnya virus, fungus, parasit atau bakteria sebaliknya berlaku akibat gaya hidup dan tingkah laku tidak sihat dalam kalangan individu serta keadaan persekitaran yang memudaratkan.

Antara penyakit tidak berjangkit yang sinonim dengan manusia adalah darah tinggi, kencing manis, kegemukkan, kanser, penyakit jantung, strok dan penyakit gangguan saluran pernafasan. Malah penyakit kebimbangan seperti stres, bunuh diri dan murung turut dikategorikan sebagai penyakit tidak berjangkit.

Datuk Seri Dr Hilmi Yahya yang juga Timbalan Menteri Kesihatan berkata, berdasarkan laporan Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS), boleh dikatakan bahawa penyebar luas faktor penyakit tidak berjangkit terus meningkat dan membimbangkan.

"Kita kini semakin maju dalam melaksanakan program pencegahan terutamanya dalam sektor kesihatan, misalnya, dengan menggalakkan lebih banyak kempen kesedaran terhadap pencegahan penyakit tidak berjangkit termasuk diabetes, hipertensi dan kanser.

"Kami mendekati orang ramai dan telah melakukan banyak saringan kesihatan. Kami menggalakkan rakyat untuk melibatkan diri dalam program intervensi kami," katanya lagi.

Ujar beliau lagi, kira-kira 40,000 orang sukarelawan dilatih sejak 2014 di kampung masing-masing untuk memeriksa pesakit yang mempunyai paras kolestrol dan glukos yang tinggi selain turut memeriksa tekanan darah tinggi.

"Jika mereka menemui kes seperti itu, mereka mesti merujuk pesakit ke klinik atau hospital berhampiran. Petugas dari klinik kesihatan boleh ke lapangan dan melatih sukarelawan ini untuk membantu mereka yang memerlukan dengan melakukan saringan awal," katanya.

Manakala Pengarah Institut Penyelidikan Perubatan Datuk Dr Fadzilah Kamaludin berkata, pihaknya berharap penyakit tidak berjangkit ini tidak merencatkan pembangunan negara.

"Penyakit tidak berjangkit adalah penghalang kepada perkembangan pembangunan yang lestari. Kami mahu negara mempunyai rakyat yang sihat untuk terus membangun, dan mudah-mudahan masa depan akan lebih sihat berbanding apa yang kita lihat sekarang," katanya.

Sumber : Astro Awani
Sekiranya anda berminat untuk jimatkan kredit telefon anda boleh tekan sini.
Blogger ( 1 ulasan )

Sedang Hangat

©2014 Siakapkeli