Bacaan
Hangat
Terkini
Viral

Polis Sahkan Kesemua 24 Jasad Mangsa Tahfiz Rentung


Sebanyak 24 jasad dalam keadaan rentung dan bertindih antara satu sama lain ditemui di tingkat paling atas pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah yang terbakar pagi ini.

Menurut Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Amar Singh Ishar Singh berkata jasad ditemui di dua kawasan berasingan di tingkat yang menempatkan 36 pelajar, di bangunan tiga tingkat itu.

“Hasil siasatan mendapati keadaan 24 mayat rentung dan bertindih antara satu sama lain akibat kebakaran itu,” katanya selepas membuat tinjauan di lokasi kejadian.

Amar Singh juga berkata pusat tersebut hanya mempunyai satu pintu keluar masuk dan menyebabkan sebahagian penghuni terperangkap serta gagal menyelamatkan diri.

Dipercayai keadaan tingkap di madrasah berkenaan tidak mempunyai aspek keselamatan yang boleh digunakan ketika kecemasan.

Kebakaran bermula di bahagian pintu masuk tersebut.

Amar Singh turut berkata seramai 14 pelajar dan empat guru yang sama menghuni di pusat berkenaan terselamat dalam kejadian itu.

Kesemua pelajar lelaki itu berumur antara 13 hingga 17 tahun.

Enam daripada 14 yang terselamat mengalami kecederaan kritikal dan telah dihantar ke Hospital Kuala Lumpur, tambahnya lagi.


Sementara itu, kesemua mayat akan dihantar ke Institut Forensik Negara untuk pengecaman oleh anggota keluarga dan bedah siasat.

Pihak polis juga sedang menyiasat dakwaan mengenai pusat tahfiz tersebut beroperasi tanpa permit.

Pusat tahfiz itu mempunyai 36 pelajar dan enam guru yang menginap di pusat tahfiz berkenaan.
Seramai 22 pelajar dan dua warden maut dalam kebakaran di pusat tahfiz itu di Jalan Keramat Ujung, di Kuala Lumpur pada 5.15 pagi tadi.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur berkata kebakaran di pusat tahfiz itu dipercayai berpunca daripada litar pintas.

Timbalan pengarahnya, Penolong Pesuruhjaya Bomba Abu Obaidat Mohamad hari ini berkata litar pintas itu dipercayai berlaku di hadapan pintu masuk bilik asrama tingkat paling atas bangunan tiga tingkat itu.


"Mereka dipercayai cuba menyelamatkan diri dari kawasan kebakaran di tengah bilik dan cuba menyelamatkan diri dengan keluar menerusi tingkap.

"Bagaimanapun, tingkap asrama tersebut dilengkapi jeriji menyukarkan mereka untuk keluar, tambahan pula hanya terdapat satu pintu sahaja untuk keluar dan masuk dari bilik asrama tersebut," katanya kepada pemberita di lokasi kejadian.

Dalam perkembangan berkaitan, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menzahirkan rasa sedih atas tragedi kebakaran pusat tahfiz itu.

"Innalillah... Amat sedih baca Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah terbakar dan korban lebih 20 nyawa. Moga roh dirahmati Allah SWT. Al-Fatihah,” katanya dalam catatan di laman Twitter hari ini.

Perdana menteri masih berada di luar negara selepas melakukan lawatan kerja di Amerika Syarikat dan mengadakan pertemuan dengan Presiden Donald Trump.

Sumber-Bernama
Sekiranya anda berminat untuk jimatkan kredit telefon anda boleh tekan sini.
Blogger ( 0 ulasan )

Sedang Hangat

©2014 Siakapkeli