Bacaan
Hangat
Terkini
Viral

Tip Bawa Anak Kecil Beli-Belah Baju Raya, Elak Mereka Meragam Agar 'Mood' Cari Barang Raya Tak Hilang

No Comment
Foto: sinar harian

Semakin menghampiri musim perayaan sudah pasti ramai di antra ibu bapa mula untuk membuat persediaan dalam memastikan tidak kalut di saat akhir nanti. Lebih-lebih lagi dengan cuti sekolah yang masih berbaki, sudah pasti ibu bapa akan ambil kesempatan ini untuk membeli belah.

Untuk itu, mungkin ada di antara ibu bapa yang mempunyai anak kecil, risau akan tingkah laku mereka, yang akan meragam seperti tahun-tahun sebelumnya tiap kali masuk pusat beli-belah.

Perkara macam inilah yang membuatkan ‘mood’ akan hilang, dan secara tidak langsung membuatkan ibu bapa mula naik angina.

Mungkin dengan perkongsian dari laman Parent Connect ini, sedikit sebanyak boleh dijadikan rujukan oleh ibu bapa dalam memastikan anak-anak tidak meragam bila turut serta dalam aktiviti beli-belah persediaan raya.

Jom kita baca akan perkongsian tersebut.

Foto: astro awani

PERSEDIAAN SEBELUM ANAK MERAGAM KETIKA MEMBELI-BELAH

Kelmarin di pusat membeli-belah,

“Mama, nak yang ni!"
Anak kecil berusia lingkungan 4 tahun menunjukkan t-shirt bercetak kartun kegemaran kepada ibunya.
“Kita tak nak beli baju ni adik. Kita nak beli baju Raya,” balas si ibu yang kelihatan keletihan
“Adik tak nak baju Raya, adik nak yang ini. Adik tak nak baju Raya!”

Dan bermulalah drama antara dua-beranak itu.

Di celah-celah gantungan baju dan seluar, anak-anak kecil berlari-lari sambal bersembunyi. Anak juga yang menari-nari sambal bernyanyi-nyanyi. Tergambar wajah-wajah kegembiraan anak dan tergambar juga wajah-wajah kegusaran ayah dan ibu yang cuba membahagikan pandangan antara anak dan pakaian yang perlu dipilih.

Dari satu sudut yang lain kedengaran tangisan kanak-kanak yang kuat. Si ayah dengan wajah tanpa perasaan dan tanpa berkata apa-apa laju menyorong keluar anak yang menjerit-jerit itu keluar dari pasaraya.

Beginilah suasana di pusat membeli-belah yang meriah dengan kanak-kanak terutamanya menjelang Hari Raya dan apa saja musim perayaan.

Ada yang membawa anak kecil untuk meluangkan masa kualiti dengan anak.
Ada yang membawa anak kecil supaya saiz pakaian yang dipilih bersesuaian dengan anak.
Ada yang membawa anak kecil kerana tiada siapa yang boleh tengok-tengokkan anak jika ditinggalkan di rumah.

Walau apa pun sebab anda membawa anak-anak untuk membeli-belah,

2 PERKARA YANG PERLU DIINGAT

1) Tumpuan dan keceriaan anak-anak ada hadnya.
2) Kesabaran dan kudrat ibubapa ada hadnya.

Jangan biarkan kedua-dua perkara ini sampai ke tahap maksima sehingga merosakkan ‘mood’ kedua-dua pihak dan mencetuskan konfrantasi.

Inilah masa terbaik untuk belajar menghormati had masing-masing.

“Nampaknya adik dah letih. Ayah pun dah letih. Jom kita balik.”

Sebelum anak meragam dan mengamuk, sebelum ayah atau ibu turut lesu dengan kerenah anak, eloklah ditamatkan aktiviti membeli-belah atau tunda ke lain kali saja.

Janganlah membeli-belah pada waktu yang tidak sesuai dengan rutin biasa anak. Kita mungkin suka dan selesa memborong di gudang yang buka selama 24 jam di musim perayaan ini tetapi adakah waktu tersebut adalah waktu terbaik untuk anak? Salah anakkah jika dia meragam?

Foto: new straits times

APA YANG MENYEBABKAN ANAK MERAGAM KETIKA MEMBELI-BELAH?

1. Tiada Persediaan

Sebelum tiba ke destinasi, beritahu anak tingkah laku yang bagaimana yang anda harapkan daripada anak. Anak kecil tidak suka diberi kejutan. Dia juga perlu persediaan emosi dan mental sebelum sampai ke tempat yang penuh sesak dengan manusia di musim perayaan ini.

Jangan lupa berikan taklimat santai tentang keselamatan. Dalam kelam kabut bersesak-sesak itu keselamatan anak paling utama. 

Pesan kepada anak perlunya anak sentiasa memegang tangan ayah, ibu atau abang kakak yang lebih dewasa.

Pernahkah anak anda 'hilang' di pusat membeli-belah?

Positfkan ‘mood’ anak sebelum sampai. Minta anak tolong anda mencari barang-barang yang hendak dibeli. Kanak-kanak suka menolong dan kanak-kanak suka tugasan dan cabaran. Mereka akan sedia membantu.

Apabila anak tahu apa yang kita harapkan daripada mereka, anak akan lebih mudah bekerjasama dengan kita kerana mereka tahu apa had dan batasan mereka terlebih dahulu.

2. Letih dan Lapar

Cuba ukur panjang kaki kita dan panjang kaki anak. Ingatlah satu langkah kita bersamaan dengan 2 atau 3 langkah anak kecil, oleh itu anak berkemungkinan besar untuk lebih letih berbanding dengan orang dewasa.

“Eh! tapi kenapa bila main banyak saja tenaga dia? Sampai tak nak mandi Sampai tak nak tidur?”

Bukankah bermain itu kerja budak-budak. Mereka ada banyak objektif dan motivasi untuk bermain tetapi mereka tidak nampak apa objektif mereka membeli-belah. Selalunya apabila dapat saja apa yang mereka mahu mereka akan terus ajak kita balik dan mula meragam. 

Ketika membeli-belah, kudrat kita masih banyak kerana kita ada matlamat yang hendak dicapai tetapi anak kecil sudah mula letih, dan mengantuk jika mengambil masa terlalu lama. Kenal pasti syarat dan bunyi tangisan yang menggambarkan anak yang mengantuk, lapar, letih, bosan, marah, dan sebagainya.

Janganlah di’puasa’kan anak kecil juga bersama-sama kita yang berpuasa. Kenyangkan anak sebelum memulakan perjalanan. 

Bawalah makanan dan minuman sebagai bekal jika kita merasa segan hendak memasuki mana-mana premis makanan di pusat membeli-belah. Anak-anak yang aktif pada mulanya akan mula kehilangan tenaga dan mula terasa lapar. 

Ini adalah salah satu punca anak meragam.

Foto: parent connect
3. Tidak Selesa

Adakah ‘stroller’ anak anda selesa?
Adakah anak perlu juga diberi peluang berjalan sendiri supaya kaki kecil anak boleh bebas seketika?
Adakah anak terlampau letih berjalan?
Adakah anak kecil lebih selamat dan selesa dengan ‘baby carrier’ berbanding 'stroller'?
Adakah anak panas ataupun sejuk?

Keselesaan anak perlu diambil kira. Janganlah dilabel anak mengada-ngada apabila mereka meragam kerana tidak selesa. Semua ini adalah keperluan asas yang seharusnya difikirkan terlebih dahulu jika anda inginkan pengalaman membeli-belah yang menyeronokkan bersama-sama anak.

Jika anak sudah mula menunjukkan rasa tidak selesa, pendekkan eksplorasi anda di pusat membeli-belah tersebut.

4. Sifat Ingin Tahu

Ingatlah anak kecil sangat ‘curious’ sifatnya. 

Ada anak yang belajar dan meneroka dengan lebih efektif melalui sentuhan. Semua benda hendak disentuh, dipegang, ditarik dan dirasa. Bila berada di tempat barangan kaca atau pinggan mangkuk perlulah diingatkan anak. 

Bukan salah anak jika mereka menarik apa yang dilihat didepan mata. Menjadi tanggungjawab ibubapa untuk pesan dan pantau anak-anak di tempat awam.

Dulu anak kecil saya menjadi tidak keruan apabila melihat sebarang suis atau soket. Dia tidak dapat mengawal dirinya dari menekan suis-suis yang dilihat. Saya dan suami perlu lebihkan pantauan dari sudut itu kerana bimbang dia akan menimbulkan huru-hara di tempat awam. Tambahan lagi ia membahayakan anak dan orang ramai. 

Jika anak anda kuat kecenderungannya terhadap sesuatu objek seperti anak saya, maka persediaan dan kawalan perlu dilakukan. Kadang-kadang halangan secara mendadak akan menjadi punca anak meragam.
`
5. Stimulasi Berlebihan

Ada anak yang tidak suka berada di tempat yang penuh sesak dengan manusia. Ada anak yang cemas berada di tempat yang terlampau luas, hingar-bingar, terang benderang dan bingit dengan muzik yang kuat. Keadaan sebegitu menakutkan bagi mereka. Jangan membuat andaian mereka ok hanya kerana anda ok.

Jika anak dari awal lagi sudah mula meragam, itu tandanya mereka cemas berada di kalangan ramai manusia. Ada yang risau kiranya mereka terpisah daripada anda atau kiranya anda tidak memberi tumpuan kepada mereka. 

Anda perlu kenal temperament atau sifat semulajadi anak anda dan cari keseimbangan supaya masing-masing merasa selesa berada dalam situasi yang sebegitu.

Elakkan ruang-ruang yang akan memberi stimulasi berlebihan kepada anak contohnya ruang permainan kanak-kanak yang terlalu luas kerana anak mudah meragam jika diajak pergi. Semakin kurang godaan kepada anak semakin mudah untuk anak bertingkahlaku sebaiknya.

Emosi dan mood ibubapa juga akan terkesan apabila terpaksa bersesak dan beratur panjang di kaunter pembayaran. Ingatlah mood anda juga akan mempengaruhi mood anak-anak.

6. Bosan

Jika sepanjang masa anda sekeluarga hanya berada di ruangan pakaian dan keperluan rumah, tentulah bosan anak dibuatnya. Janganlah disuruh anak yang sudah lama bersabar untuk terus bersabar. 

Keceriaan anak ada hadnya. Bawalah juga anak ke kedai atau ruangan yang disukai anak dan boleh menggembirakannya untuk menghilangkan kebosanan. 

Tambahkan humor dan 'fun' ketika membeli-belah untuk mengambil hati anak yang kebosanan.

Mempunyai ‘shopping list’ yang dikongsi dengan anak-anak juga boleh mengelakkan anak-anak dari merasa bosan. Beri peranan aktif kepada anak untuk turut sama membantu mencari barang keperluan tersebut. Anak-anak akan lebih tenang jika mereka mempunyai matlamat.

'Shopping list' ini juga dapat melatih anak dan diri anda juga untuk berbelanja mengikut keperluan. Jika anak inginkan sesuatu yang tidak ada dalam shopping list beritahu anak barangan tersebut boleh dimasukkan ke dalam senarai membeli belah yang seterusnya. Jadikan ini peluang untuk mengajar anak tentang nilai wang.

Ini adalah latihan yang baik untuk mengajar anak tentang ‘delayed gratification’ atau bersabar untuk menerima ganjaran, yang didapati semakin menipis di kalangan anak-anak zaman sekarang yang penuh dengan kemewahan.

Foto: Utusan
GANJARAN

Jika anak berkelakuan sebaiknya sepanjang berada di pusat membeli-belah, pujilah anak atau berilah ganjaran yang setimpal kepada anak. Ganjaran yang mengejutkan anak akan meninggalkan kesan positif yang berpanjangan terhadap tingkah laku anak.

Ingatlah apabila membeli-belah di musim perayaan atau bila-bila saja dengan anak, kita perlu lebih peka dengan keperluan anak. Adakah anak letih, lapar, tidak selesa dengan bunyi yang kuat, keliru, perlukan udara segar, perlu lebih bergerak atau perlu lebih pelukan dan pujian.

Dan ingatlah kesabaran dan kudrat kita juga ada hadnya.

Noor Afidah Abu Bakar
Certified Positive Parenting Educator (Parent Practice UK)

- Siakap Keli

BACA: Menangis, Merengek, Juga Berguling-Guling Di Pasaraya, Ini Tip Buat Ibu Bapa Dalam Mengawal Anak Tantrum
Sekiranya anda berminat untuk jimatkan kredit telefon anda boleh tekan sini.
Blogger ( 0 ulasan )

Facebook ( comments)

Sedang Hangat

©2014 Siakapkeli