Bacaan
Hangat
Terkini
Viral

Siap Buat 'Drama' Bank Dan Polis Telefon Maklum Akaun Bank Digunakan Sindiket Dadah, Pensyarah Kongsi Hampir Jadi Mangsa "Scammer"


Mungkin kita pernah terdengar kisah ''scammer'' yang membuat panggilan telefon daripada pihak bank yang kononnya kita memenangi satu hadiah, jadi untuk menuntut hadiah kita perlu menyerahkan segala maklumat dan termasuk nombor akaun.

Mungkin ianya taktik lama yang sudah ramai orang tahu, namun terbaru seperti yang diceritkan oleh seorang pensyarah bernama Noor Kasmara Sokarnor di mana dia telah berkongsi sebuah cerita di laman Facebooknya hampir menjadi mangsa penipuan.

Apa yang menarik, suspek siap membawa kita kepada sebuah drama di mana mula-mula pihak bank telefon maklum pinjamannya susah lulus sedangkan tiada sebarang permohonan dibuat, ia seolah-olah mahu mangsa rasa namanya telah disalah guna.

Kemudian panggilannya kononnya telah disambungkan ke Ibu pejabat Polis Pulau Pinang dan dapat bercakap dengan seorang 'Sarjan' untuk kendalikan kes ini, apa yang menarik drama semakin belarutan selepas itu sebelum meminta maklumat peribadi mangsa.

Jom kita baca.

Ini cerita Abam hari ni yang menyebabkan Abam terpaksa berbuka dengan sekotak air soya dan sebungkus roti kerana buat laporan di Balai Polis Mersing lewat petang tadi.

1) Sewaktu nak balik pukul 5.05 petang tiba-tiba dapat satu panggilan dari nombor 03-7626 8899. Khidmat mesin yang bercakap di hujung talian menyatakan Abam ada hutang pinjaman peribadi dari Hong Leong Bank yang tertunggak selama tiga bulan sebanyak tiga ribu lebih. Terkejut juga sebab Abam memang banyak buat pinjaman, tapi tak ada la pinjaman yang banyak sampai seribu lebih sebulan selain Bank Rakyat - Bank Pilihan Anda yang juga pemanggil setia Abam tiap-tiap bulan, dan tak lupa Toyota Capital dan AmBank (tetiba berlambak pulak hutang, kahkahkahkah).

2) Di hujung panggilan, mesin tawarkan kalau nak bercakap dengan khidmat pelanggan tekan butang 9, jadi Abam tekan dan terus disambung ke seorang wanita bernama Diana Mustafa (Staf ID - HLB0011) dari HQ Hong Leong di Petaling Jaya. Abam minta butiran pinjaman sebab Abam tak pernah buat loan dengan Hong Leong Bank. Suara Diana memang macam suara wanita-wanita lain yang selalu dok telefon Abam bila mereka nak jual insurans -- penuh keyakinan. Jadi Abam tak syak apa-apa lagi masa ni. Memang Abam ingat maklumat Abam disalahguna orang lain je.



3) Diana cakap loan Abam dengan nombor fail 1270 100 4664 diluluskan di Hong Leong Bank cawangan Penang Times Square, Jalan Dato Keramat, Pulau Pinang. Loan sebanyak 50 ribu telah diluluskan atas nama Abam pada 13 Mac 2017. Alamat yang digunakan pula ialah alamat isteri Abam di Medan Sari, Pontian, manakala alamat kedua ialah D-18-03, Central Park Condominium, Taman Jelutong, Georgetown, Pulau Pinang. Kat sini Abam dah pelik dah sebab Abam tak pernah guna alamat rumah selain rumah sendiri di Rompin dan pejabat di Mersing.

4) Suara Diana memang rilek je. Dia cakap dia akan sambungkan Abam ke IPK Pulau Pinang untuk buat repot. Diana siap bagi nombor rujukan repot A8165 untuk rujukan Abam. Abam tanya, perlu ke Abam buat repot kat Mersing atau balai berhampiran. Diana cakap tak perlu sebab nanti repot bertindih.

5) Bila disambung ke IPK Pulau Pinang, Abam bercakap dengan seorang lelaki bernama Sarjan Rosdi. Suaranya kasar, seperti kebiasaan polis di balai polis bila jawab telefon. Pelatnya macam orang Sabah/Sarawak. Tapi biasa la, memang ramai polis dari sana juga. Abam dengar bunyi sekeliling dia sibuk macam bunyi suasana bising ketika tele-marketer yang selalu telefon Abam nak jual insurans diorang. Masa panggilan yang pertama ni dia minta Abam ulang balik butiran apa yang bank bagitau kat Abam. Jadi oleh kerana Abam dah catat semua maklumat tadi, Abam pun bercerita la hampir 15 minit juga habis masa tadi. Mujur bukan Abam yang call dia. Kalau tak, membazir kredit. Dah la talian kurang jelas sebab hujan lebat masa ni. Masa ni Abam dah bagi nama penuh dan kad pengenalan dah, sebab standard buat laporan mesti nak nombor IC.



6) Sarjan tu cakap dia akan telefon Abam semula dalam lima ke 10 minit menggunakan talian khas yang akan merakam segala perbualan untuk dijadikan laporan audio (Ada ke?). Cuma dia minta Abam jangan memandu (memang parking kat lobi pejabat dah masa ni), dan jawab semua soalan yang bakal dikemukakan.

7) Kemudian Abam dapat panggilan dari talian 04-222 1152, dan Sarjan Rosdi pun memulakan soalannya. Ketika ni soalan lebih kurang mengulang semula maklumat yang Abam dapat dari pihak bank. Kemudian dia tanya fizikal Abam - rambut panjang ke pendek (Abam jawab panjang, blank jap tak tau nak jawab pendek ke panjang). Pastu dia tanya panjang sampai mana? (Abam cakap panjang kat atas je, keliling pendek, potongan biasalah). Berat dan tinggi Abam berapa? (Abam jawab 168 cm, berat 70 kg je). Kulit warna apa? (Abam jawab kulit gelap la). (Tu ciri-ciri tall, dark, and handsome okayyy!) Dia cakap tujuan dia minta butiran tu sebab nak buat penelitian kat video CCTV bank. Sampailah satu ketika, dia minta masa untuk semak kad pengenalan Abam dengan bahagian rekod kalau-kalau ada kes lain yang melibatkan nombor IC Abam. Abam mengiyakan aje. Abam dengar dia bercakap melalui radio polis minta bahagian rekod semak nombor Abam. Sebijik macam selalu dengar, siap Over, Over lagi.



8) Lepas tu nada suara dia bertukar dah. Sarjan Rosdi mulai serius. Dia cakap nombor kad pengenalan Abam ada terkait satu kes pengedaran syabu di Pulau Pinang yang melibatkan seorang Cina bernama Lee Tek Keong dengan jumlah RM640 ribu. Dan Cina tu cakap Abam bagi sewa akaun peribadi Hong Leong Bank atas nama Abam kepada dia untuk masukkan duit dadah tu. Tapi bila polis periksa akaun, akaun dah kosong. Sarjan Rosdi minta Abam cakap betul-betul "jangan tipu sama polis kalau tak mau hukuman lebih berat". Sarjan Rosdi cakap Abam dah keluarkan duit awal-awal dan belanja. Dia tak tahu Abam beli iPhone pun secondhand siap trade-in handphone lama lagi.

9) Abam tergelak masa ni sebab Abam tau Abam tak salah pun. Bila tergelak tu, Sarjan naik angin kat Abam. "Awak jangan main-main, jangan tipu sama polis tau!" Dalam hati Abam geram juga sebab kita nak buat repot orang salahguna maklumat kita, tapi tiba-tiba nak tangkap sebab kes lagi berat pulak. Abam cakap kat Sarjan tu, Abam memang tak ada akaun Hong Leong Bank. Memang tak tahu-menahu pasal apa-apa duit yang dimaksudkan. "Kalau saya ada buat salah, buat apa saya nak buat laporan pasal pinjaman ni pulak?"

10) Kemudian Abam cakap Abam akan minta adik ipar Abam yang juga polis di IPK Pulau Pinang untuk follow up laporan ni. Dia tanya siapa nama adik ipar Abam. Abam pun cakap la Konstabel Shazali (ada jugak kegunaan engkau, Zali, hahahahaha). Dia cakap jangan bagitau sesiapa termasuk saudara-mara sebab nanti akan ganggu siasatan.

11) Lepas tu Sarjan tu minta Abam bagi nombor akaun bank-bank lain untuk dia semak kalau-kalau Abam ada simpan duit kat sana. Dia cakap nak nombor akaun je, tak payah bagi nombor pin atau nombor sekuriti. Masa ni baru Abam tersedar ada benda tak kena. Lepas tu Abam cakap, "Kejap, encik, macamana saya nak tau ini IPD Pulau Pinang yang sebenar?" Masa ni lagi la hangin Sarjan Rosdi. Dia dah tinggi suara dah minta Abam jangan berdolak-dalik dan mengaku cepat.

12) Abam cakap kat Sarjan tu, Abam nak pergi Balai Polis Rompin untuk buat semakan (sebab kat Rompin ni Abam ada kenal seorang sarjan kawan Abam). Dia cakap boleh pergi, tapi Abam jangan letak telefon sebab rakaman sedang berlangsung, dan dia nak cakap sendiri dengan pegawai kat balai tu. Abam cakap kat dia, Mersing ke Rompin dekat satu jam juga perjalanan, "takkan encik nak tunggu kat telefon je?" Lepas tu dia tanya tak ada ke balai polis terdekat. Abam kata okay la, pergi Balai Polis Mersing je. Dia suruh Abam serah diri kat BP Mersing. Dalam hati risau jugak sikit-sikit sebab buatnya betul dan kena tangkap, takde orang kenal kat balai tu. Mau berbuka kat dalam lokap nanti.

13) Sepanjang lima minit memandu tu memang dia bagi amaran jangan letak telefon sebab dia nak bercakap dengan pegawai kat balai. Kalau letak mereka akan anggap Abam lari dari pihak polis. Masa ni juga dia cakap nak pas kat pegawai atasan dia untuk bincang, tapi oleh kerana talian kurang jelas, Abam tak bagi perhatian sangat. Pastu dengar la juga dia cakap "Siaplah kau, kalau kena tangkap nanti terus masuk lokap, biar padan muka kau." Abam tergelak lagi. Abam cakap, buat apa nak lari sebab memang tak salah. Bila dia diam, Abam hello, dia jawab lagi, "Kau jangan lari, baik kau serah diri kat balai terdekat." Abam gelak je. Kemudian tiba-tiba talian putus.

14) Ingatkan dia nak telefon balik. Tapi sampai la Abam habis buat laporan kat BP Mersing yang hampir masuk waktu berbuka, Sarjan Rosdi tak telefon dah. Dia pergi cari makanan berbuka agaknya.

15) Pihak polis cakap memang banyak kes macam ni kebelakangan ni. Minggu lepas pun ada dah mangsa yang kena. Abam bernasib baik sebab tak sempat bagi apa-apa maklumat akaun lagi. Bila cerita kat kawan-kawan di whatsapp group, baru tau ada kes sama di Pulau Pinang beberapa hari lepas yang sudah pun tular. Memang modus operandi sama, cerita sama. Siap cross line talian telefon Bukit Aman lagi.





KESIMPULANNYA, bawalah stok makanan dan minuman yang sedap-sedap dalam kereta supaya mudah berbuka di mana-mana selepas ni.

Macam-macam taktik nak menipu orang. Haih...

- Siakapkeli.my
Sekiranya anda berminat untuk jimatkan kredit telefon anda boleh tekan sini.
Blogger ( 0 ulasan )

Sedang Hangat

©2014 Siakapkeli