Bacaan
Hangat
Terkini
Viral

Gunakan Duit Hantaran Untuk Majlis Perkahwinan, Gadis Ini Kongsi Tips Perbelanjaan Untuk Buat Majlis Perkahwinan Bawah RM6,000

No Comment

Majlis perkahwinan adalah antara majlis yang ramai di antara kita akan ambil serius, lebih-lebih lagi dari segi perbelanjaan kewangan, yang mana ia adalah demi kelancaran majlis dan juga untuk meraikan tetamu, dan pengantin.

Namun begitu, jika ikutkan perkiraan pada masa kini, perbelanjaan majlis perkahwinan, sering kali menghampiri RM10 ribu, yang mana jika dilihat adalah satu jumlah yang besar.

Bagi seorang gadis ini, iaitu saudari Noor Fathin Azlan, yang mana cuba sebaik mungkin untuk kawal perbelanjaan perkahwinan, telah membuatkan majlisnya secara sederhana sahaja, mengikut tips dan lebih-lebih lagi menggunakan wang hantraan untuk majlis perkahwinannya.

Mari kita ikuti bagaimana Pn Fathin membahagikan perbelanjaannya.


TIPS BAJET KAHWIN RM6000?

Ini tips dari sumber VS apa yang aku dah buat.

1) Mas kahwin 

Mengikut negeri masing-masing. Tak perlu nak lebih-lebih. Boleh rujuk pejabat agama islam negeri. Anggaran maksimun RM300

Namun di negeri Kelantan, mas kahwin tidak ditetapkan kerana mas kahwin mereka adalah wang hantaran.

Contoh, mas kahwin aku adalah RM7000 – wang hantaran. Wang hantaran ini menjadi milik pengantin perempuan sepenuhnya dan tidak boleh digunakan untuk belanja kenduri. Melainkan jika pengantin perempuan mengizinkan wang hantaran mereka digunakan.

Dan selalunya pihak pengantin perempuan akan menanggung kesemua majlis. Melainkan jika pihak pengantin lelaki sanggup memberi wang belanja kenduri.

Jadi, jangan risau. Walaupun mas kahwin berjumlah RM7000, tetapi wang belanja kenduri tidak perlu diberi melainkan seperti yang dijelaskan di atas.

2) Hantaran 

Buat ala kadar. Berbalas dulang 3-5 atau 5-7. Beli barang hantaran ketika musim promosi atau beli kat Sogo.

Perbanyakan hantaran manisan untuk jimatkan duit seperti coklat, kek, buah, pulut kuning dan lain-lain. Anggaran maksimun RM500.

Ini adalah contoh belanja barang hantaran aku.

 Handbag - Amani sponsor
 High heel – RM120
 Set mandian – Mak sedara sponsor
 Set penjagaan muka – harga sale RM120
 Set minyak wangi – harga sale RM100
 Buah-buahan – RM30
 Kek – Amani Sponsor
 Pulut kuning – Ma sponsor
 Al-Quran – Family Amer sponsor
 Telekung & Sejadah – Family Amer sponsor
 Tuala – Family Amer sponsor
 Coklat – Family Amer sponsor

Aku tak kisah pun barang hantaran aku berjenama atau tak. Yang penting ada hantaran sebagai syarat.

Jumlah keseluruhan: RM370. Jimat!

3) Cincin 

Perlu ada untuk hadiah kepada pengantin perempuan. Tak perlu mahal-mahal. Beli sebagai tanda sahaja. Nanti dah kahwin ada duit lebih baru beli rantai sebesar rantai motor hihi.

Tips beli cincin ketika harga mas turun. Anggaran maksimun RM200-RM500

Aku punya cincin – Amer yang beli. So, RM0 untuk bajet aku sendiri hihi.

4) Baju dan persalinan 

Guna baju yang sama untuk akad nikah dan majlis kahwin. Anggaran maksimun RM500

Tapi aku ada baju akad nikah dan bersanding. So, kiranya ada dua helai baju.

 Baju akad nikah – harga sewa RM250 (deposit RM100)
 Baju bersanding termasuk dalam harga pelamin.
 Pelamin + baju bersanding – RM900. Harga deposit RM300.

5) Mekap 

Mekap sendiri atau minta bantuan dari saudara mara atau kawan-kawan yang teror mekap. Anggaran percuma atau bagi hadiah untuk saudara atau kawan yang tolong mekapkan kita.

Tetapi aku tetap hire MUA. Takkan takmau nampak cantik berseri pada majlis kahwin sendiri. Ye tak?

Aku ambil mekap akad nikah sekali dengan bersanding. Maknanya sekali mekap bukan dua kali dengan harga RM300 (Deposit RM100)

Ini tips aku, buat majlis dalam hari yang sama. Pagi majlis akad nikah dan sebelah tengahari majlis bersanding. So, kat situ korang dah jimat untuk bajet mekap dan persediaan makan-makan untuk tetamu.

Total : RM200


6) Jamuan makan 

Kalau bajet sikit, buat gotong royong. Memang jimat. Menu tak perlu gah. Buat menu masakan kampung ramai orang suka. Jemputan 400-500 org sahaja. Tu pun dah ramai dan belum tentu orang datang hihi. Tak payah sampai 1000 org jemputan.

Anggaran kos :

 Ayam x 40 ekor RM600
 Beras 5 beg 10 kg RM130
 Barang-barang lain RM670
 Sewa barang surau RM200

Jumlah semua RM1600 – tips dari sumber.

** Harga barangan dapur mungkin berbeza mengikut ekonomi semasa

Aku tak buat gotong-royong sebab tak mahu menyusahkan mak ayah. Plus , jemputan tetamu aku cuma anggaran 350 orang. Aku kahwin pada minggu final exam, so ramai kawan aku tak dapat datang. Hmm nampak tak aku cuba untuk berjimat? Haha.

So aku ambil katering dengan kawan ma. Masakan dia memang sedap. Memang ramai yang puji.

1 pax – RM9 (Tahun 2014)

RM9 tapi ada macam-macam: nasi putih, ayam masak merah, gulai daging, ikan kering, kuih-muih, sambal belacan.

Agak-agak kalau makan kat kedai boleh ke dapat RM9 untuk semua ni termasuk air yang dah direfill berulang-kali. Ayam bukan ambil seketul tetapi 2,3 ketul sorang. Siap makan tambah lagi.

300 pax X RM9 = RM2700

Namun anggaran makanan tadi cecah 350 orang boleh makan. Then ada sedara mara yang boleh bungkus bawak balik rumah lagi.

7) Khemah 

Sewa khemah surau. Jimat. Khemah yang cantik dan sedikit mahal RM250 untuk 1 khemah dan dapat kain alas meja dan alas kerusi yang ada rompol-rompol. Ada jugak yang biasa-biasa harga RM150/1 khemah. Ambil 3 khemah. Anggaran maksimun RM150x3=RM450

Khemah aku? Perhhh. Aku ambil yang special terus. Yang jenis meja bulat ada alas meja pastu kat kerusi ada sarung kerusi dengan reben lagi. Warna pink + putih + grey. Harga RM900.

8) Doorgift – diy sendiri atau bajet RM1 per biji. Anggaran kos RM500.

Dan aku pula diy sendiri untuk paperbag doorgift. Total semua : RM120 – 400 pcs.

Aku cuma masukkan gula-gula, sumi, apollo – Dan ini ma yang sponsor. Tak banyak habis duit sebab beli dekat kedai borong. Sumi 100 pcs dapat harga RM15 kot. Total RM120.

Total keseluruhan RM240.

9) Kad kahwin 

Buat yang paling simple atau print sendiri. Lagi murah. Kalau jemputan 500 orang, kad jemputan 300 sahaja. Selebihnya jemput di Facebook untuk orang-orang jauh. Kadang-kadang 300 pcs belum tentu habis diedar.

Anggaran maksimun RM250. Kalau buat sendiri RM150. Kad kahwin aku berharga RM200.

10) Fotografi 

Suruh saudara mara atau kawan-kawan shoot guna Iphone7 hehe.

Tetapi maaf sekali lagi, aku terpaksa hire photographer untuk merakam majlis sekali seumur hidup aku yang berharga RM1500 (Deposit RM250)

Total RM1250


11) Pelamin 

Diy sendiri. Guna kreativiti anda. Kalau ada bajet lebih, silakan. pelamin juga boleh menggunakan meja makan pengantin sahaja, letakkan backdrop di belakang meja makan. Settle.

Pelamin aku tak sempat nak ber-diy sebab aku balik kampung pun seminggu sebelum majlis kahwin. Itu pun semua aku buat sendiri. Aku tak izinkan famili aku buat sebab tak mahu menyusahkan mereka.

Kalau aku ber-diy pun still dalam lingkungan RM400-RM500 untuk sediakan backdrop, bantal-bantal, stage, bunga, lampu dan etc.

So, better aku sewa pelamin yang berharga RM900 termasuk baju bersanding sekali. Nampak tak relevannya di mana?

Aku ambil pelamin dengan bridal Rins Suzana waktu dia buat promosi gila-gila. RM900 termasuk baju bersanding kedua-dua pengantin & dapat kasut pengantin perempuan, veil dan payung lagi.

Tips aku, bila dah bayar deposit pelamin, kau kena kuatkan iman supaya tak tergoda dengan pelamin yang lain.

12) Hiburan 

Tak perlu hire dj. Download lagu-lagu pilihan kahwin dan susun atur lagu dan pasang sendiri.

Ini lagu yang aku download dulu.

LAGU MELAYU

1. Indigo – Istimewa
2. Nora – Hanya Satu
3. Siti Nur Haliza – Cahaya Cinta
4. Anuar Zain – Semua Untukmu
5. Anuar Zain – Keabadian Cinta
6. Siti Nur Haliza – Kau Kekasihku
7. Once – Dealova
8. Ungu – Tercipta Untukku
9. Rossa – Ayat-ayat Cinta
10. Glenn Fredly & Amy Mastura – Dengarkanlah
11. Ning Baizura – Pasti
12. Glenn Fredly – Aku Cinta Padamu
13. Radiostar – Pada Senyum Mu
14. Sempurna – Andra & The Backbone
15. Yuna – Terukir di Bintang
16. Anuar Zain – Ketulusan Hati
17. Anuar Zain – Ajari Aku
18. Saloma – Selamat Pengantin Baru
19. Rossa & Ungu – Ku Pinang Kau Dengan Bismillah
20. Wali Band – Baik-Baik Sayang
21. Awie – Iris
22. Siti Nur Haliza – Cintamu

LAGU ENGLISH

1. Thank God I’ve Found You – Mariah Carey ft. Joe and 98 Degrees
2. When You Tell Me That You Love Me- Diana Ross
3. I don’t Wanna Miss a Thing – Aerosmith
4. Everything I do, I do it for You – Bryan Adams
5. I’m Yours – Jason Mraz
6. I Knew I Love You – Savage Garden
7. If You’re not the One
8. O.V.E – Nat King Cole
9. My Baby You – Marc Anthony
10. Endless Love – Lionel Richie (duet with Diana Ross)
11. Only You – Flying Picket
12. Can You Feel The Love Tonight – Elton John
13. Can’t Take My Eyes of You – Andy Williams
14. I Live My Life For You – Firehouse
15. Love of A Lifetime – Firehouse
16. All The Love In The World – The Corrs
17. You’re My Everything
18. Let there be Love – Nate King Cole
19. You’re Still the One – Shania Twain
20. Hanging By A Moment – Lifehous

13) Bilik pengantin 

Aku cuma kemaskan bilik dan hias sendiri. Aku guna cadar yang sedia ada. Kos RM0.

14) Meja makan pengantin 

Aku guna satu meja bulat yang disewa sekali dengan khemah then aku hias sendiri.

Aku cuma hiaskan dengan pasu bunga dan frame gambar yang ada gambar aku dengan Amer.

15) Photobooth

Props photobooth, candy booth & backdrop aku buat sendiri. Aku design sendiri. Aku print sendiri.


Mesti ada yang tertanya kenapa total aku tolak terus dari deposit. Contohnya mekap aku RM300, deposit bayar RM100, so aku letak total RM200?

Sebabnya semua duit deposit yang aku bayar, aku guna duit bisnes online. So, itu duit simpanan aku sendiri. Deposit dan barang hantaran semuanya aku beli dengan duit bisnes online.

Aku kumpul duit kahwin sikit-sikit. Kalau minggu ni aku dapat duit untung berniaga RM300, aku terus bayar deposit untuk pelamin. Minggu depannya, aku bayar untuk deposit photographer.

Keseluruhan majlis aku dari mula sampai habis RM7240 beb! Dah short RM1240.

Tapi, untuk kiraan kali ini, aku nak kira total yang aku perlu bayar selepas ditolak deposit pada hari majlis aku selepas aku menerima wang hantaran sebanyak RM7000. Jomm!

RM7000 – RM5800 (selepas ditolak bayaran baki yang perlu dibayar selepas majlis) = RM1200 - baki

Aku dah deal dengan bridal, photographer, MUA, tukang khemah & katering untuk bayar selepas majlis sebab waktu tu aku baru dapat duit mas kahwin RM7000.

Namun alhamdulilah, pada majlis kahwin aku dapat duit (ngele) dari sedara mara dan tetamu-tetamu yang hadir sebanyak RM1500. Rezeki Allah.

RM1200 (baki) + RM1500 (duit dari tetamu) = RM2700 – ini baki terbaru.

RM7000 – RM2700 = RM4300

Jadi, total keseluruhan yang aku belanjakan pada hari majlis aku sebanyak RM4300 je!


Walaupun Amer dah bagi mas kahwin sebanyak RM7000, dia dah tak perlu hulurkan duit belanja kenduri sebab dengan duit hantaran itulah aku dengan rela hatinya gunakan untuk keseluruhan majlis aku.

Duit yang lebih, aku hulurkan sedikit pada ma ayah yang telah berpenat lelah menguruskan majlis aku.

Majlis aku mungkin tak berapa simple, tapi masih di bawah bajet RM6000 namun aku dapat semua. Pelamin, baju akad nikah, baju bersanding, mekap dari kak Nurleez (MUA tersohor), khemah cantik, photographer, katering dan lain-lain.

CARA KURANGKAN BAJET ATAU KOS KAHWIN

1. Tetapkan jumlah tetamu
2. Majlis yang diadakan secara gotong-royong atau katering yang murah.
3. Elakkan membuat majlis ketika cuti sekolah
4. Gunakan bunga tiruan
5. Buat tempahan perkhidmatan, fotografi, katering dan kad jemputan semasa promosi
6. Elakkan menempah pakaian yang baharu
7. Elakkan berbalas hantaran dengan jumlah yang tinggi
8. Majlis akad nikah dan persandingan diadakan pada satu hari
9. Jangan tempah kad perkahwinan yang terlalu mahal

Tak salah kalau kita nak dapatkan majlis yang kita inginkan, tetapi kita HARUS bijak!

- Siakap Keli
Sekiranya anda berminat untuk jimatkan kredit telefon anda boleh tekan sini.
Blogger ( 0 ulasan )

Sedang Hangat

©2014 Siakapkeli