Bacaan
Hangat
Terkini
Viral

Bila Mangsa Mula Menjadi Raksasa Akibat Dari Dendam Terdahulu, Hanya Berpegang Kepada ‘Api Dibalas Api, Air Dibalas Air’

One Comment
Foto: depsicologia

Mangsa dan pemangsa, dua entiti yang berbeza, tetapi akan sering dikaitkan antara satu sama lain, sekiranya berlaku apa-apa isu. Bagi mangsa, ia akan sering dilihat sebagai golongan yang mudah dipermainkan, dan akan ditindas oleh pemangsa.

Berlainan pula dengan pemangsa, akan mempunyai kuasa, dan ‘anak buah’ yang akan mengikut ke mana sahaja pemangsa pergi, dalam mencari mangsa untuk ditakut-takutkan.

Situasi sebegini adalah biasa buat mereka yang selalu dibuli. Yang mana tidak mampu untuk mempertahankan diri, atas faktor tertentu. Tapi, menurut perkongsian dari saudara Al Irfan Jani, yang pernah berada di kedua-dua situasi, iaitu mangsa, dan pemangsa.

Sedikit sebanyak, mangsa akan mula untuk berubah menjadi raksasa, yang mana mungkin akan jadi lagi teruk dari pembuli tersebut.

Mari kita ikuti perkongsian darinya.


BAGAIMANA MANGSA BOLEH JADI RAKSASA?

Akhirnya, saya jumpa juga di Google. Inilah design buaian yang sama dengan kisah saya dibuli dulu sewaktu kecil. Tangan saya dihulur keluar di ruang (anak panah) itu, lantas pembuli beramai-ramai melompat di tempat duduk lagi satu. Lalu, tangan saya dipatahkan, bersama hilai tawa mereka.

Saya terlentang, memandang langit. Meraung semahunya. Melihatkan keadaan saya waktu itu, para pembuli meluru balik ke rumah masing-masing kerana cemas.

Akhirnya, tinggal saya seorang. Dalam keadaan siku yang longlai. Tangan saya lembik. Saya terus menangis dengan kuat.

Syukur. Tidak lama kemudian, datang seorang jiran yang terdengar jeritan saya. Saya dapat bantuan daripadanya.

Pengalaman hitam itu, tidak berakhir di situ.

Setiap kali pulang dari Tadika Al-Arqam, setiap hari, ya, setiap hari, para pembuli ini pasti menunggu saya di luar pagar. Ada saja ideanya untuk menyeksa fizikal dan mental saya.

Mereka akan berlakon seolah kami ni rakan baik, pegang bahu saya dan saling tertawa. Kemudian, saya diheret ke lorong belakang rumah (backstreet), untuk dibuli.

Dilibas dengan batang tebu

Antara yang masih saya ingat. Tangan saya pernah diikat di tiang papan gelongsor, dan perut saya diterajang berkali-kali.

Ada sekali tu, mereka patahkan batang tebu kering, dan melibas saya. Dalam banyak pengalaman, inilah yang paling saya ingati, kerana inilah detik saya pertahankan diri. Entah dari mana kekuatan diri ni datang, sebab dah tak tahan sangat kena bantai, lalu saya patahkan batang tebu masak, dan melawan balik.

Walau saya hampir kalah jua, syukur saya diselamatkan oleh sergahan pakcik saya, Pakcat. - Itupun pakcik saya ingat, kami sedang bergurau pada asalnya, dan menyangka saya yang over-react kepada mereka. (Dia datang di saat scene saya melibas, bukan scene saya dibantai).

Saya tak ingat apa sebab saya dibuli rakan sebaya masa tu.

Tapi, dari tiga orang, dua daripadanya adalah anak ustazah. Saya masih ingat namanya sehingga kini. Seorang H. Dan seorang A.

Ibu dan ayah tidak tahu langsung saya dibuli, lagipula mereka setiap pagi perlu ke tempat kerja. Adik-adik saya yang kecil pula dijaga oleh orang gaji.

Saya masa tu, tak sedar langsung, kenapa saya tak laporkan hal ni pada ibu bapa. Mungkin, sebab saya rasakan jawatan "Anak Ustazah" tu terlalu mulia, dan saya yang naif waktu itu, menyangka diri saya memang 'deserve' to be bullied.

Foto: wordpress
Tuan-tuan.

Ini adalah satu khianat sosial paling besar terhadap seorang mangsa buli. Kerana kekuatan estim dirinya telah hilang, sampaikan muncul sikap terasa diri 'deserve' to be bullied; inilah seteruk-teruk penderaan. Psychological threat.

Ada satu lagi bencana yang berlaku terhadap saya, selepas melalui hari-hari hitam yang panjang.

Baca sambungan ini...

Setelah dua tahun alami kisah hitam tu, saya dan para pembuli berpisah, kerana beralih ke sekolah rendah. Sekolah kami berdekatan namun masih di daerah yang sama.

Saya bersyukur Allah cepatkan ketinggian saya. Dalam masa sama, saya cepat matang, dan berani. Saya begitu pantas membesar menjadi leader.

Menjadi pembuli

Saya kepalai anak-anak di taman perumahan kami. Kami bina markas sendiri, di situlah kami bertemu dan bermain. Idea "Nak main apa kita hari ni?", mereka sering harapkan saya yang menjawabnya.

Pantang besar, kalau saya dapati ada rakan kami dibuli oleh anak taman yang lain. Saya akan ketuai rancangan balas dendam yang teliti. Kami akan berperang. Serang hendap dari belakang bukit. Bersenjata kayu dan batu. Ada sekali tu, mercun bola dibakar dengan sumbu panjang, dengan bot mainan kayu, kami alirkan mercun tadi ke laluan longkang, ke arah markas musuh.

Ada sekali tu, kami menyelinap di balik bukit, nantikan bas sekolah musuh kami lalu di situ. Lalu berlakulah perang hujan batu.

Selain saya bergerak berkumpulan. Saya juga bergerak solo. Di mana kepimpinan saya diketahui oleh sekumpulan anak dari taman lain. Mereka perlukan bantuan saya. Jauh tu jarak antara Jalan Perjiranan dan Taman Rinting.

Sesekali pergi melawat sepupu di Taman Kobena, JB, tu pun nak jugak abang ni datang backup. Sepupu saya dibuli di sana.

Lebih dahsyat, kami pernah ada wujudkan kumpulan penyiasat sendiri. Kerana terpengaruh dengan Lima Penyiasat Sekawan, Enid Blyton, saya mengajak tim kami tumpaskan edaran dadah di kawasan perumahan kami. Kami pernah hancurkan markas dadah. Bakar. Curi, tanam, dan hancurkan jarum-jarum suntik. Bahayanya kerja kami masa itu, sampaikan adik saya hampir diculik oleh pengedar. (Ini cerita lain yang panjang)

Masa tu, saya tak sedar, betapa dahsyatnya perubahan diri saya waktu itu. (Bila dah dewasa, baru saya terfikir akan hal ini.) Saya menjadi lebih buas. Saya tidak tahu The Power of Forgiveness. Saya tak kenal erti karma, atau takdir. Saya cuma faham satu perkara, "Api dibalas api. Air dibalas Air." Yang saya tahu, mangsa buli perlu pembelaan. Saya anggap semua orang layak menjadi leader, dan para pembuli adalah "The Worse Leader."

Mencari kembali pembuli lampau

Masa itu, apa yang berlaku kepada para pembuli saya yang terdahulu? Mana pergi H? dan A?

Setelah mendapat 'kuasa', saya menjejak H dan A ke lubang cacing. Saya pernah minta rakan-rakan mencari juga.

Ada satu hari tu, saya ada menyertai satu pertandingan di sebuah sekolah berhampiran. Pertandingan peringkat Zon. Saya dapat berita, H ada bersekolah di situ. Saya sempat terserempak dengan H sewaktu di kantin. Aku dah macam harimau lapar masa tu. Dendam lama aku pun muncul, hati mendidih, kalau bukan kerana ramainya orang, aku mungkin dah lama terbang tendang je perut kau kat situ, kan. (Eh, TER'aku-aku' pulak).

Si H ni masa nampak saya, dia dah macam cacing kepanasan. Mundar-mandir. Saya tahu dia kenal betul dengan wajah saya. Pelanduk takkan lupa dengan perangkap. Ini bukan pelanduk yang dulu. Yang jelas, tubuh saya lebih tinggi dari si H. Termasuk tingginya estim saya untuk menang saat itu.

Saya dan rakan-rakan, merancang untuk menculik si H ni bila dah habis pertandingan. Pintu pagar depan belakang kena jaga. Namun sedih sekali, si H ni telah hilang dari radar. Kami gagal mencarinya.

Foto: wellnesseveryday
Tuan-tuan,

Saya sampai sekarang, jujur, walau sudahpun besar, sudahpun beristeri dan punyai anak, jauh di lubuk hati ini, masih berdendam dengan Si H dan A.

Tak payahlah nak ajet-ajet suci nak nasihat aku, "Maafkanlah dia..." "Lupakanlah kisah lama..." "Ala... kau dah besar, bro. Chilled la."

Anda tak tahu, apa yang telah dilalui oleh mangsa buli. Lebih menakutkan, jika si mangsa cenderung menjadi raksasa. Dalam statistik pun jelas menunjukkan, banyak jenayah berpunca dari si penjenayah yang berasal dari pengalaman menjadi mangsa.

Saya cukup bersyukur, kerana saya dihadiahkan pengalaman ditampar Ustaz, berpusing, rebah ke lantai, yang akhirnya saya menjadi Al Irfan Jani yang baru. (Ustaz Fakih, saya ingat lagi nama dia. Semoga beliau dirahmati Allah sentiasa. Ok ni cerita lain.)

Mangsa, adalah orang paling layak ditanyakan, "Salah siapa sebenarnya?"

Menjadi bapa, sebuah hal yang amat menakutkan bagi saya, apatah lagi Al-Amin tak lama lagi akan masuk sekolah tahun depan.

Apa yang saya takutkan?

Saya tidak pernah bimbang jika anak saya dibuli. Sungguh. Kerana ia menjadikan saya sehingga kini. Namun, saya paling takutkan, jika anak saya menjadi PEMBULI.

SEMUA IBU BAPA, perlu pantau keadaan anak-anaknya sewaktu tidak bersama. Kita perlukan 'mata-mata' atau 'spy' yang terlantik. Siapakah 'Spy' tidak berupah ini?

Jawapannya, JEMAAH.

Hidup berkeluarga tanpa jemaah, menjadikan 'Aku, semakin Aku.'

Saya pernah ceritakan kenangan hitam ini pada seorang Sensei di Jepun dulu. Dan saya nyatakan ketakutan saya ini, "Takut anak saya jadi PEMBULI."

Sensei saya ajar, kita sebagai mak ayah, kena selalu jemput kawan-kawan anak kita bertandang ke rumah. Ayah kena kenal kawan-kawan anaknya. Ayah kena tanya pandangan kawan-kawan anaknya, mengenai siapakah anaknya (jangan tanya berdepan anaklah). 

Menurut sensei saya, ini antara tips yang diberi oleh Jabatan Sosial. Masyarakat Jepun juga tidak kurang hebatnya dengan budaya buli, bagi yang belum tahu.

Satu hal yang saya sedari.

Mereka yang membuli, kalau kita perasan, hidup mereka tiada senang di muka bumi.

Contohnya, saya tercari-cari Senior S ni, yang dulunya pernah membuli kami. Sewaktu di asrama lelaki, kami pelajar lelaki Tingkatan 4 disusun secara sisi. Dari hujung koridor sampai ke hujung satu lagi. Senior S ini menumbuk dada kami, seorang demi seorang. Alasannya, "Hari ni aku stres studi, jadi aku tak puas hati dengan korang semua."

Kini, apa yang berlaku oleh Senior S ini? Wallahu alam. Saya pasti tidak keruan hidupnya dibelenggu rasa bersalah, hadapi doa-doa laknat dari para mangsa.

Tak percaya? Cuba cari mana-mana pengakuan si pembuli. Ada? Saya tertunggu-tunggu di Laman Confession, kalau ada si pembuli ni tampil ceritakan pengalamannya.

Lebih risaukan si pembuli, andai mangsa ada yang telah pergi menghadap Allah lebih dahulu. Macam mana nak minta maaf?

Macam kes saya dan rakan lelaki seluruh Tingkatan Empat yang ditumbuk Senior S tadi, bayangkan, ada 100 orang lebih tu. Macam mana nak minta maaf satu-satu? Bukankah Allah, mendengar sayu pinta Hamba-Nya yang dikhianati.

Buat para ayah ibu, jangan risau andai anak anda dibuli. Namun, risaulah dengan lebih, jika anak kita yang jadi pembuli.

Kerana,
anak yang jadi pembuli,
juga dididik oleh raksasa,
adakah anda raksasa itu?

Al Irfan Jani

- Siakap Keli
Sekiranya anda berminat untuk jimatkan kredit telefon anda boleh tekan sini.


Blogger ( 1 ulasan )
  1. Mmg patut pun arqam diharamkan. Ustaz ko bleajar kt ner bole suka2 tampar muka? Dah tu x didik jd jiwa penyayang. Mati la ko dengan sifat amarah gila ko tu...

    BalasPadam

Facebook ( comments)

Sedang Hangat

©2014 Siakapkeli