Bacaan
Hangat
Terkini
Viral

Pakar Hartanah Kongsikan 20 Langkah Ramai Tak Tahu Bagaimana Miliki 4 Buah Rumah Dalam Masa 5 Tahun Selepas Mula Bekerja

One Comment

Ramai di antara kita sudah mula untuk memiliki rumah, elbih-lebih lagi jika sudah lama menyewa rumah atau bilik, sewaktu baru mula bekerja.

Mungkin keinginan untuk memiliki rumah makin terasa, sekiranya merancang untuk mendirikan rumah tangga iaitu berkahwin, kerana tidak ingin menyewa lagi setelah mempunyai pasangan.

Namun begitu, mungkin disebabkan keadaan ekonomi, atau gaji, mahu pun harga rumah, ramai di antra kita mempunyai kesukaran untuk memiliki rumah.

Bagaimana pula sekiranya mempunyai pendirian dalam membeli rumah pertama, tetapi untuk dijadikan pelaburan, bukan untuk diduduki?

Menerusi perkongsian dari seorang pakar hartanah, iaitu saudara Harith Faisal, dia telah kongsikan akan cara yang boleh dilakukan untuk memiliki rumah.

Mari kita ikuti perkongsian darinya.


20 TIP UNTUK KAU MILIKI 4 BUAH RUMAH DALAM MASA 5 TAHUN KAU MULA BEKERJA

SHARE terus supaya mudah bila kau nak rujuk balik artikel ni. Baca banyak kali sampai faham. Ajak kawan dan keluarga kau baca juga ya.

Sama-sama jadi bijak!

1. Tidak gunakan maksimum kelayakan untuk rumah pertama

Kalau boleh, nak beli rumah tu janganlah guna sampai maksimum kelayakan. Lagi-lagi kalau rumah tu kau nak buat duduk sendiri.

Contoh mudah kita ambil kau yang bergaji RM3,000, bini surirumah sepenuh masa. Pakai kereta Myvi bayar ansuran RM500 sebulan.

Katakan kau minat gila kat satu bank ni. Dia punya maksimum Debt Service Ratio (DSR) yang dibenarkan adalah 60% daripada gaji kau.

RM3,000 x 60% = RM1,800. Senang kata, bank tu benarkan bayaran hutang bulanan kau dengan bank, maksimum RM1,800 saja.

RM500 dah pakai bayar Myvi tadi, jadi kita tolak siap-siaplah. Senang lepas ni fokus kira beli rumah pula. Tak sabar betul dah ni. Kahkah!

RM1,800 - RM500 = RM1,300.

Dengan RM1,300 kau boleh beli rumah dengan pembiayaan RM260,000 lebih kurang. Tenor selama 35 tahun dan bank profit sekitar 5.0%.

Kalau dah tau yang maksimum kau layak adalah RM260,000 elakkan beli rumah yang memerlukan pembiayaan sebanyak itu.

Carilah yang murah sikit lagi. Ala, cari yang perlu pembiayaan RM200,000 ke. Atau kalau dapat yang RM150,000 pun okay. Ikut kaulah.

Sebab utama, supaya bank lebih mudah nak luluskan. Ingat! Bukan semua bank benarkan maksimum DSR 60%. Yang 40% pun ada tau.

Lagi satu sebab adalah untuk kos sara hidup kau. Gaji RM3,000 tolak maksimum komitmen tetap RM1,800 baki dalam RM1,200 sahaja.

Dengan baki itulah kau guna untuk beli pampers anak, susu anak, bayar takaful lagi, isteri nak beranak lagi dan juga hal kecemasan.

Rumah: RM1,300
Kereta: RM500
Ibu Bapa: RM200
Tol: RM200
Petrol: RM300
Takaful: RM100
Bil-bil: RM100
Barang dapur: RM600
Barang anak: RM300
TOTAL: RM3,600

Lebihan gaji: - RM600

Lebihanlah sangat. Tu negatif RM600 ya!

2. Guna kad kredit sebelum beli rumah, tapi jangan boros

Fresh graduate biasanya belum pernah ada apa-apa komitmen dengan bank. Rekod masih suci murni tanpa noda dosa kewangan.

Dalam erti kata lain, CCRIS masih belum ada rekod. Kebanyakan bank susah sikit nak luluskan anda untuk beli rumah kalau CCRIS bersih sangat.

Sebabnya bank tak kenal lagi yang kau ni jenis bayar hutang on time atau asyik nak mengelat saja. Kalau orang nak pinjam duit kita pun, kita tengok dulu orangnya berjenis ke tak, kan.

Apa yang kau boleh buat, mohon kad kredit sebelum kau nak beli rumah. Gunalah seketul kad tu untuk isi petrol dan beli barang dapur. Pastikan bayar penuh setiap bulan.

Kau guna dalam 6 bulan, dah boleh beli rumah pertama. Cara ni agak membantu jugalah. Selepas dah berjaya beli rumah, bolehlah pilih sama ada nak terus guna kad kredit tu atau potong dua kad tu.

3. Rumah pertama sewakan sahaja, jangan duduk sendiri

Kalau rumah pertama tu kau beli sebab nak duduk sendiri, agak susahlah nak tambah rumah lagi selepas ni. Lagi-lagi kalau rumah tu makan banyak daripada gaji.

Nak jadi bijak sikit, rumah pertama kau khaskan untuk pelaburan, hasil sewaan boleh dikira sebagai pendapatan tambahan.

Beli rumah pertama untuk duduk sendiri adalah tindakan yang kurang bijak! Lagi-lagi kalau gaji kau memang ciput. Kau akan jadi makin lambat beli rumah kedua sebab kurang simpanan bulanan dan kurang kelayakan untuk mohon pembiayaan rumah seterusnya.

Kalau memang gaji besar, takpalah. Tapi terpulanglah kepada plan kewangan masing-masing

4. Cari tawaran untuk kau beli rumah dengan modal ciput

Cari rumah daripada pasaran subsale. Bego dengan tuan rumah bagi deposit rendah atau beli rumah daripada pemaju dengan entry cost mudah dan guna pakej 100% pembiayaan bagi yang layak.

Tapi jangan mengharap sangatlah dengan 100% pembiayaan. Bukan senang-senang boleh dapat.

Lagipun, saya kata modal minima tau. Bukannya tak perlu ada modal langsung. Jangan salah faham pula.

Walaupun sekarang ni kau belum bernafsu nak beli rumah, Tabung Rumah tetap kena ada. Sebab bila tiba-tiba datang seru, modal dah siap sedia masa tu. Boleh angkat rumah sebijik terus.

Tapi malangnya, tak ramai yang peduli pun. Lebih baik melancong setahun 4 kali, pakai kereta import, tukar sportrim sebesar alam, modify kereta Wira jadi macam Lancer takpun Myvi tayar terkangkang.

5. Mohon ASB Financing sebagai ‘force saving’ kalau perlu

Cari jalan buat duit RM550 setiap bulan untuk mohon ASB Financing RM100,000. Dengan teknik tertentu, paling cikai boleh dapat tunai RM46,000 selepas 5 tahun. Jual tudung 50 helai pun dah boleh dapat RM550 sebulan.

Tapi kalau tak mampu RM100,000 buatlah mana-mana yang mampu. RM50,000 ke kan. Kalau dah buat ASB Financing ni, wajiblah bayar setiap bulan tau. Force saving!

Katakan dalam masa terdekat kau rancang nak beli rumah, elakkan buat ASB Financing dengan amaun yang besar. Sebab ASB Financing pun akan efek pengiraan DSR dan kelayakan pembiayaan kau.

Cuma, bila dah dapat dividen nanti, bank akan kira sebagai pendapatan tambahan kau pula. Jadi, timing kena tepat.

Jangan nanti nak beli rumah, tak lepas. Kemudian menyalahkan ASB financing. Padahal kau yang melabur tak cukup ilmu.


6. Jangan mengada nak beli kerata dulu, sabar setahun dua

Harga kereta boleh tunggu kita. Honda City baru keluaran 2020 nanti harga lebih kurang je dengan Honda City baru tahun ni punya.

Tapi harga rumah RM200,000 tahun ni, takkan tunggu kamu dik. Tahun 2025 nanti, entah-entah dah naik menghampiri RM300,000.

Cadangan saya, kalau nak beli kereta sangat, belilah kereta patut milik yang ansuran bulanannya tak lebih 15% daripada gaji.

Atau harganya tak lebih daripada gaji setahun kau. Contoh senang untuk yang bergaji RM3,000 begini.

RM3,000 x 15% = RM450
Ansuran bulanan tak lebih RM450.

RM3,000 x 12 = RM36,000
Harga kereta tak lebih RM36,000.

Ini hanya contoh dan cadangan. Kalau nak sangat, kau pakailah kereta yang betul-betul di bawah kemampuan kau.

Contohilah Abang Ensem Meor Zaidee. Kalau tengok income dia, boleh saja dia pakai BMW atau Merc. Tapi dia tetap pakai Honda City je.

Fresh graduate sekarang, gaji RM3,000 dah menggelupur nak pakai Honda City, Toyota Vios. Haha!

Cara yang bijak macam ni pula. Beli 2 buah apartmen dengan masing-masing ansuran RM700 dan keduanya disewakan pada kadar RM900 mengikut kadar sewaan semasa.

Kalau kau dapat sewakan per kepala dan fully furnished biasanya kadar sewa lebih tinggi. Iyalah, kita sendiri pun guna banyak tenaga nak mencari penyewa dan modal masuk perabot, kan.

Dapat aliran tunai positif RM400 daripada dua rumah, boleh pakai Proton Saga Plus percuma. Nak pakai Honda City percuma macam mana pula? Ini ideanya sahaja. Jangan lurus bendul. Ambil kalkulator, kiralah sendiri.

7. Nak senang kerja, beli rumah dengan bantuan ejen

Ejen Hartanah akan bantu mendapatkan rumah yang sesuai dengan bajet kau. Lebih-lebih lagi kalau kau memang zero bab hartanah.

Jangan percaya mitos "beli dengan ejen, harga rumah jadi mahal". Biasa tu kerja broker, bukan ejen.

Ejen hari-hari berurusan jual beli rumah. Kita pula nak beli rumah setahun sekali pun belum tentu. Gunakan kepakaran mereka.

Lagi satu, kalau ejen ada tanya pasal gaji dan komitmen kau, tak payah nak berahsia bagai. Ejen tanya bukan sebab nak mengorat kau pun.

Pasal PTPTN ke, tunggakan kad kredit dan pembiayaan peribadi menggunung tinggi ya amat ke. Cerita terus. Senang ejen nak tapis awal-awal.

8. Elak beli rumah gabung gaji suami isteri

Setiap orang layak untuk dapat Margin of Financing (MOF) sampai 90%-100% untuk rumah pertama dan 90% untuk rumah kedua daripada bank. Bergantung jugalah kepada kekuatan kewangan dan skor kredit anda.

Suami isteri boleh dapat 4 kuotalah maksudnya. Jadi, bila dah selesai 4 kuota rumah dengan MOF hingga 90%-100% tu, boleh dah rasa lega. 2 rumah pembiayaan nama suami, 2 rumah pembiayaan nama isteri.

Selepas tu kena kerja kuat lagilah untuk beli rumah lain sebab MOF dah jadi 70% untuk rumah ketiga dan seterusnya.

Secara asasnya, kau perlu sediakan baki 30% daripada harga rumah dengan duit sendiri. Fuhhh. Lap peluh.

9. Konsisten simpan duit di ASB atau Tabung haji

Ikut suka kaulah nak simpan kat Tabung Haji ke, ASB ke, tabung cap ayam ke. Kalau masih bujang, simpanlah 50% daripada gaji kau tu. Tak perlu tip yang canggih-canggih pun untuk simpan banyak tu. Senang je.

Kalau gaji kau RM2,000 belanjalah macam orang biasa gaji RM1,000. Baki lagi RM1,000 masuk tabung. Selesai.

Kalau dah berkeluarga, cuba simpan 30% gaji ya. Gaji suami tambah gaji isteri RM4,000. Belanja RM2,800 simpan RM1,200.

Ada situasi, memang tak cukup kalau nak harap gaji hakiki saja. Dah jimat betul pun tapi masih takda lebihan duit hujung bulan. Jadi, nak tak nak kenalah cari 2-3 side income untuk wujudkan juga simpanan bulanan.

Kenapa simpan kat Tabung Haji dan ASB? Sebab Tabung Haji ada dividen 4.25%, ASB pula dividen 6.75%. Untunglah juga kalau nak dibandingkan dengan simpan dalam tabung cap ayam bawah bantal tu.

Lagi pun, kalau simpan kat Tabung Haji atau ASB, ada rekod yang tunjukkan kau simpan konsisten setiap bulan. Bank suka orang yang konsisten. Membantu juga untuk kelulusan beli rumah nanti.

10. Mula kumpul deposit rumah walau pun tidak ‘graduate’ lagi

Masa kat universiti lagi dah boleh mula usaha beli rumah. Duit PTPTN dan biasiswa jangan guna semua, laburkan kat ASB dan Tabung Haji. Buat bisnes atau kerja part-time di KFC ke, Domino's Pizza ke, Home Tutor ke.

Mula dari bawah, biar penah rasa jadi kuli. Taklah asyik nak meninggi diri. PTPTN dan biasiswa jangan dihabiskan beli iPhone. Slip gaji pun belum ada, dah menggatal nak pakai fon mahal. Haha.

Fresh graduate biasa pula, masa belajar enjoy habis duit PTPTN dan biasiswa, masa lapang buat melepak, kerja tak dapat, PTPTN tertunggak. Jadilah fresh graduate yang luar biasa.


11. Cari kerja berjawatan tetap secepat mungkin

Masuk saja semester terakhir, terus mulakan job hunting. Nak tunggu apa lagi? Rancang nak melancong dengan coursemate ke Krabi Island ye? Lupakanlah niat tu.

Orang bijak, sibuk berebut-rebut nak cari kerja cepat, kau pula berebut nak upload gambar selfie dalam Instagram. Terpulanglah.

Lupakan niat nak honeymoon dengan kawan ke Krabi tu. Macamlah banyak sangat duit kau. Baik kau fikir macam mana nak bayar balik hutang PTPTN.

Dan takyahlah teringin nak lepak kat rumah dulu sebulan dua. Terus cepat-cepat cari kerja. Ini zaman, siapa cepat dia dapat. Kau lambat, kau melopong.

Cari kerja yang berstatus tetap. Kalau kerja kontrak berjangka masa pendek, bank susah nak beri pembiayaan perumahan.

Kalau dah memang dapat kerja kontrak, terima sahaja. Cari pengalaman. Mungkin rezeki anda memang di situ. Kerja rajin-rajin kerja supaya cepat ditawarkan jawatan tetap.

12. Rumah idaman? Bukan sekarang masanya

Semua orang teringin nak rumah besar, senibina moden, ruang tamu yang luas dan perabot yang mahal. Semua nak yang indah-indah.

Tapi cuba fikir rasional sikitlah. Mampu ke kau beli sekarang dengan gaji RM2,500 tu? Kalau belum mampu, beli rumah kecil pun tak mengapa. Takkan nak tunggu harga rumah naik lagi.

Ingat! Rumah pertama bukan rumah idaman yang kita nak duduk lepas pencen. Kalau nak pencenbaru nak beli rumah, sangatlah rugi.

Sekarang harga rumah RM400K, lagi 20 tahun entah-entah nak dekat RM1juta dah kot. Tangguhkan dulu ciri rumah idaman tu.

Takut-takut yang dikendong tak dapat, yang dikejar berciciran. Eh! Berperibahasalah pulak kita.

13. Beli rumah bawah harga pasaran, kau dapat untung segera

Pasaran subsale pada masa ini memihak kepada pembeli. Tuan rumah ada yang terdesak menjual rumahnya. Pembeli kena bijak nego untuk dapatkan harga terbaik.

Seronoknya beli rumah bawah harga pasaran ni adalah sebab bila kita beli saja, kita terus dapat untung.

Iyalah, memanglah tak dapat untung dalam bentuk cash lagi sekarang ni. Tapi atas kertas, kita dah untung dah.

Sebagai tambahan, elakkan beli rumah atas harga pasaran. Nanti anda yang merana nak keluar modal.

14. CCRIS & CTOS mesti cun melecun & tiptop

Zaman sekarang ni, nak beli kereta, beli rumah semua kena hutang dengan bank. Semuanya melibatkan pinjaman. Lainlah kalau kita memang anak orang kaya, semua boleh bayar tunai belaka.

Dah kena hutang dengan bank tu, faham-faham sendirilah. Rekod CCRIS tu kenalah sentiasa cun melecun. Bank akan tengok CCRIS kita. Kalau CCRIS pun rabak, memang bank tak pandang.

CCRIS ni macam rekod hutang. Kat situ, akan disenaraikan semua hutang dan rekod bayaran bulanan. Kalau lambat sebulan, muncul angka 1. Kalau lima bulan tunggak, ada rekod angka '5'. Kalau semua 0, 0, 0 maksudnya kita bayar on time.

Untuk CTOS pula, Kalau sebelum ni anda pernah jadi guarantor, malas bayar hutang Court Mammoth, telco, motor ansuran kedai, sila cek CTOS ya.

15. Bayar Hutang PTPTN, jangan buat-buat lupa

Dah hutang, mestilah kena bayar, kan. Masing-masing dah sedap guna duit PTPTN tu buat beli iPhone, tengok wayang, belanja makwe, melancong ke oversea, takkan nak buat-buat lupa pula.

Kenapa PTPTN masuk CCRIS? Senang cerita, sebab ramai sangat peminjam PTPTN senior kita dulu yang ghaib dan liat nak bayar hutang. Bila hutang dah sampai berbilion ringgit masih belum langsai, PTPTN pun mula resah gelisah.

Akhirnya CCRIS muncul untuk memaksa peminjam PTPTN bayar hutang-hutang lama tu. Kalau tak nak bayar juga, tak dapatlah kita beli kereta, rumah dan tak dapat kahwin sebab personal loan tak lulus. Eh

16. Gaji pun ciput, beli rumah kecil dululah

Kalau gaji kau bermula dengan RM2,500, dapat beli rumah pertama harga RM150,000 pun dah cukup bagus. Dengan harga tu, kalau di Selangor dan pinggiran Kuala Lumpur mungkin boleh dapat flat ataupun apartmen medium cost.

Belilah rumah macam ni di pasaran subsale. Ia pasti permulaan yang bagus untuk kau pergi lebih jauh dalam pelaburan hartanah.

Rumah besar dan mewah, modal deposit dan kos-kos lain pun besar juga. Sekurang-kurangnya 15% daripada harga rumah. Rumah kecil RM100,000 perlukan modal RM15,000 je.

Rumah RM300,000 pula perlukan modal RM45,000. Keluarga kita pun kan kecil lagi. Mengapa bayar lebih untuk bilik yang tidak berpenghuni.

Dah macam iklan Trivago.

17. Rajin cari ilmu, dan jangan kedekut sangat nak beli buku

Pembeli rumah pertama biasa teruja dengan pelbagai iklan dan tawaran. Itu macam bagus. Ini pun macam bagus. Jangan ikut nafsu, tapi ikut ilmu. Ilmu bukan datang bergolek tapi perlu dicari.

Sebelum melabur pada hartanah, lebih baik melabur dahulu pada ilmu. Takut-takut nanti duit untuk melabur entah je mana. Duit 'melebur' lagi adalah. Haha.

Kalau kau bijak, memang boleh cepat tangkap. Kalau tak, sampai ke sudahlah tak yakin nak beli rumah. Selepas dapat ilmu, pasti datang sekali keyakinan.

Banyak sangat cara nak dapat ilmu tu semua. Datang seminar, baca buku, ebook atau boleh follow FB sifu-sifu berkaitan yang langsung tak lokek ilmu.

Tak nak yang berbayar, yang FREE pun berlambak.

18. Abaikan kawan-kawan negatif dan yang bermulut puaka

Bila nak beli rumah, kita kena berjimat simpan duit. Kalau dah berjimat tu, faham-fahamlah. Setakat kena ejek dan perli tu biasa. Sekali sekala, sembanglah pasal kewangan dan hartanah kat kawan-kawan kita.

Untung-untung, kawan kita yang negatif tu, semua akan jadi positif untuk beli rumah cepat. Kalau tak dapat nak buat apa lagi, tukar kawan terus. Haha.

Tak saya nafikan, memang generasi Y sekarang ni lain macam. Tak boleh langsung dinasihat melainkan mereka sendiri yang bersedia untuk menerima. Yang ego tinggi sangat tu, rugilah anda.

Ingat ni, orang lain takda hak untuk tentukan cara kita berbelanja. Duit kita adalah hak kita. Bila kita susah, bukannya mereka akan bayarkan hutang-hutang kita tu pun.

19. Berkawan dengan ejen hartanah, pegawai bank, dan pelabur hartanah

Kalau nak tanya apa-apa, senang. Boleh tanya dan terus dapat jawapan. Macam saya, saya ada group WhatsApp STALKER HARTANAH dan beberapa group yang lain.

Daripada group ni, saya dapat info hartanah dan networking kaw-kaw daripada sifu-sifu, banker, lawyer, ejen hartanah.

Walaupun anda masih belum bersedia untuk beli rumah, tapi bila dah diberi peluang masuk group tu, binalah ukhwah semantap-mantapnya dengan ahli dalam group tu.

Layan macam family. Bukan bila ada soalan je kau muncul. Bila dah dapat jawapan yang kau nak, terima kasih pun takda.

20. Carilah pasangan yang dah memang ada 4 buah rumah, hahaha

Ni memang tip ekspress nak capai matlamat miliki 4 rumah selepas 5 tahun bekerja. Kalau kau kahwin lepas 5 tahun bekerja pun, masih sempat. Automatik achieve.

Tapi sebaiknya kau sendirilah kena usaha beli rumah. Jangan mengharap benda yang tak pasti. Banyak bagus kalau kau beli rumah sebelum kahwin ni.

Bakal pak mertua pun seronok bila tahu bakal menantunya dah ada rumah. Terus green light. Rumah dapat, orang rumah pun dapat. Bijak!

Pesanan saya, kalau kau belum berkahwin, belilah rumah pertama dulu. Akhir kata, jangan dikejar status kahwin muda kalau kita sendiri tak reti nak bersedia.

Biarlah kahwin lewat pun takpa, lebih banyak masa untuk berbakti kepada ibu bapa.

Jadi, dah tahu macam mana nak memiliki 4 rumah selepas 5 tahun bekerja? Guna kesemua 20 tip ni untuk beli rumah pertama, lepas tu anda automatik akan tahu dah macam mana nak beli rumah kedua, ketiga dan keempat.

Kalau tak sempat kejar, kau ikut tip yang nombor 20 tadi tu. Kahwin dengan orang ada 4 rumah. Minta dia hibahkan rumah tu kat nama kau. Siap! Settle! Haha! – HF

- Siakap Keli




Sekiranya anda berminat untuk jimatkan kredit telefon anda boleh tekan sini.
Blogger ( 1 ulasan )
  1. Ayo bermain bersama kami di ARENADOMINO anda menang kami senang silahkan daftar dan bermain ya 100% aman dan nyaman silahkan dibuktikan sendiri..

    BalasPadam

Sedang Hangat

©2014 Siakapkeli