Bacaan
Hangat
Terkini
Viral

Doktor Ini Kongsi Tips Bagaimana Untuk Mengekalkan Kesihatan Ibu Hamil Sewaktu Berpuasa

One Comment
Foto: muslimvillage

Memasuki bulan Ramadhan tidak lama lagi, membuatkan ramai di antara kita yang tidak sabar untuk melaluinya. Setelah setahun menunggun, harinya kian tiba tidak lama lagi, di mana umat Islam seluruh dunia akan mula untuk berpuasa.

Namun begitu, mungkin ada di antara kita yang gusar, takut tidak boleh bertahan pada bulan puasa nanti, disebabkan oleh sakit, atau hamil.

Buat wanita atau ibu di luar sana, yang sedang hamil pada masa kini, dan tidak tahu bagaimana untuk memastikan diri kekal bertenaga, agar boleh berpuasa penuh di bulan puasa, Dr Muhammad Izzat telah kongsikan beberapa tips yang boleh diamalkan.

Mari kita ikuti perkongsian darinya.


Tips-tips mengekalkan kesihatan unggul bagi wanita hamil yang ingin berpuasa pada bulan Ramadhan

Bertuahnya puan saat ini,” kata seorang doktor kepada pesakit wanita yang sedang diperiksanya.

“Kenapa doktor?” balasnya menyoal dengan penuh rasa ingin tahu.

“Sekarang Ramadhan. Puan pula hamil pada bulan yang banyak kelebihannya ini. Ia kesempatan yang amat baik mendidik anak puan dari dalam kandungan untuk mengenal penciptaNya. Puan sangat lah bertuah!,” jelas doktor.

Maka, tidak hairanlah, meskipun sedang hamil atau menyusukan bayi, dalam masa yang sama ibu-ibu tetap ingin melaksanakan kewajipan berpuasa.

Mereka ingin meraih keistimewaan Ramadhan untuk membanyakkan ibadah seperti membaca al-Quran, solat tarawih, iktikaf dan memburu malam Lailatulqadar yang lebih baik daripada seribu bulan.

Justeru, pelbagai alasan diberikan sekalipun mereka diberikan rukhsah (keringanan), diperboleh meninggalkan puasa sekiranya keadaan tidak mengizinkan.

Menurut mazhab Syafie, wanita hamil dan menyusui bayi apabila khuatir mengalami bahaya maka mereka wajib berbuka, tidak perlu berpuasa. Dan dalam keadaan ini mereka hendaklah menggantikan (Qada’) puasanya kelak.

Rata-rata alasan yang diberikan ibu-ibu, mereka berupaya untuk melaksanakan tuntutan berpuasa. 

Ada juga yang menyatakan, mereka enggan menggantikan puasa pada waktu lain, kerana tiada teman untuk berpuasa sama. Pendek kata, mereka ingin mengambil peluang berpuasa penuh tanpa adanya halangan haid jika di luar kehamilan.

Namun, ada juga ibu-ibu yang berdegil untuk tetap berpuasa dan nekad untuk tidak berbuka sekalipun sudah menunjukkan gejala hipoglisemia/kekurangan gula dalam darah seperti pening, loya, gementar dan pitam atau pengsan.

Mereka menangguhkan masa untuk berbuka “Tunggulah setengah jam lagi.” Betapa besarnya berpuasa sebulan penuh bagi mereka. Hal yang demikian sepatutnya tidak berlaku kerana ibu perlu mengambil kira keadaan bayi ketika ini, apabila gejala-gejala kekurangan gula berlaku, akan menimbulkan mudarat pada bayi anda.

Ibu-ibu yang terus memaksa diri untuk berpuasa tanpa menimbangkan keadaan kehamilan itu sebenarnya sedang membahayakan janin sendiri. Malah, janin juga boleh terkena hipoglisemia, kekurangan zat gula, kalori dan zat makanan/nutrisi yang berguna untuk pertumbuhannya. Kasihanilah anak-anak yang di dalam kandungan.

Segala keberkatan tidak bermakna apabila zuriat kita tidak sihat.


Di sini ingin saya berkongsi tips-tips mudah bagi ibu-ibu hamil mengekalkan kesihatan unggul semasa hamil dan berpuasa.

Jika anda berpuasa, tentu sekali anda tidak boleh makan sekerap biasa, tetapi anda masih boleh makan lebih daripada dua kali di antara masa berbuka dan sahur. 

Hidangan makanan yang seimbang dan berkhasiat akan membantu mengekalkan berat badan dan mengelakkan masalah-masalah seperti sembelit, sakit kepala, ketakcernaan, lesu dan pedih ulu hati yang kesemuanya merupakan simptom-simptom biasa semasa hamil.

Apakah cara terbaik bagi wanita hamil berbuka puasa?

Tiada pelan makanan khas yang perlu anda ikuti, tetapi anda boleh mencuba tip-tip berikut sebagai cara terbaik untuk berbuka. 

1. Sewaktu berbuka

Mulakan dengan: 

- tiga biji kurma dan jus (bagus untuk menormalkan semula tahap gula yang rendah dalam darah);

- susu atau yogurt rendah lemak;

- sup jernih.

- Kemudian, makanlah hidangan seimbang yang mengandungi: sepinggan salad atau ulam-ulaman sebagai hidangan pembuka selera;

- Protein daripada ayam, daging atau ikan, kacang pis atau kekacang, karbohidrat kompleks daripada nasi beras perang dan roti bijian penuh, dan, banyak sayur-sayuran.

- Elakkan hidangan berlemak tinggi untuk mencegah pertambahan berat, pengambilan makanan kurang berkhasiat dan mengalami ketidakcernaan (indigestion)

Foto: healthylivingcoach

2. Sewaktu bersahur

Apakah saya perlu makan sahur jika saya berpuasa semasa hamil?

Bersahur sangat penting jika anda berpuasa. Ia akan mengekalkan tahap tenaga anda pada waktu siang. Jangan tinggalkan sahur kerana ia dapat membekalkan anda dengan nutrien-nutrien penting dan tenaga yang anda perlukan untuk kekal cergas pada waktu siang. Ia juga akan mengurangkan simptom-simptom kelaparan seperti sakit kepala dan mengantuk.

Hidangan sahur yang sihat mungkin mengandungi: 

- nasi beras perang dan roti bijian penuh dengan kari

- bijirin berserat tinggi atau bran dengan susu skim rendah lemak;

- dan, buah-buahan termasuk buah kurma dan pisang.

- Elakkan meminum teh semasa sahur kerana ia boleh membuat anda mengalami dehidrasi.

Foto: bbcgoodfood

3. Jus buah-buahan segar

Saya suka minum kopi dan/atau teh selepas berbuka. Bagaimana saya boleh menggantikannya?

Minumlah jus buah-buahan segar dan bukannya minuman bergas, kopi atau teh. Minuman smoothie yang mengandungi susu, yogurt, ais dan buah adalah minuman yang menyegarkan dan membekalkan banyak keperluan buah-buahan harian anda. 

Sup sayur-sayuran pula membolehkan anda makan sayur-sayuran berbeza dan memberi vitamin, mineral dan serat tambahan dalam diet anda.

4. Apakah yang perlu saya masukkan dan elakkan dalam diet saya semasa berpuasa?

Untuk mengekalkan kesihatan semasa berpuasa, amalkanlah tip-tip di atas semasa makan, dan selepas berbuka, berehat seketika, kemudian bangun dan berjalan-jalan. Lakukanlah aktiviti-aktiviti ringan.

- Elakkan makan pada lewat malam sebelum tidur, tetapi pastikan anda bangun dan makan sahur.

- Minum banyak air selepas berbuka dan sebelum bersahur untuk mengelakkan dehidrasi

Fajar ramadhan segera menghampiri dunia, selembar sutra menghapus noda, sebening embun penyejuk kalbu, sucikan hati bersihkan jiwa di bulan yang suci. selamat menunaikan ibadah puasa

Selamat beramal !

Dr. Muhammad Izzat Abdul Razak
Pegawai Perubatan Perbidanan & Sakitpuan
Kementerian Kesihatan Malaysia

- Siakap Keli
Sekiranya anda berminat untuk jimatkan kredit telefon anda boleh tekan sini.
Blogger ( 1 ulasan )
  1. Tq atas infonya..dedulu time pregnant kalau dah rasa mengigil kelaaparan sgt mmg cepat2 makan..huhu

    BalasPadam

Sedang Hangat

©2014 Siakapkeli