Bacaan
Hangat
Terkini
Viral

KKM Haramkan Rawatan Terapi Ozon, Denda RM 200,000 Menunggu Yang Degil


PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengharamkan rawatan terapi ozon dan mengarahkan semua premis perniagaan termasuk klinik dan salun kecantikan agar berhenti dari menawarkan khidmat itu secara serta merta.

Menterinya, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam berkata penilaian teknologi kesihatan yang dijalankan Cawangan Penilaian Teknologi Kesihatan (MaHTAS) mendapati tiada bukti saintifik yang menyokong sebarang manfaat terapeutik penggunaan terapi ozon bagi mana-mana penyakit.

"Terapi ozon ini tidak diiktiraf oleh mana-mana negara di dunia ini. Ia juga boleh menyebabkan komplikasi perubatan yang teruk termasuk membawa kepada kematian," katanya sebagaimana lapor Bernama.

Tambah beliau lagi, tiada mana-mana pihak yang menjalankan rawatan itu mendaftarkan mesin mereka dengan Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA).

Beliau berkata, semua pembuat, pengimport dan pengedar mesin terbabit perlu menarik semula pengedaran atau penggunaan mesin itu dari pasaran selewat-lewatnya 1 Julai.

Mereka yang gagal berbuat sedemikian boleh didakwa dibawah Akta Peranti Perubatan 2012 yang membawa kepada hukuman denda maksimum RM200,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

"Pihak kementerian mendapati mesin ini kebanyakannya dipasang dalam negara manakala peralatan dalaman  diimport dari luar negara," katanya.

Malah, kata beliau, penggunaan produk heparin (ubat untuk mencairkan  darah) bagi rawatan terapi ozon juga adalah satu kesalahan di bawah Akta Racun dan Akta Jualan Dadah 1952 yang dikuatkuasakan Bahagian Penguatkuasaan Farmasi (BPF).

Katanya, tindakan undang-undang juga boleh diambil terhadap pusat penjagaan kesihatan berlesen atau berdaftar di bawah Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998, yang menawarkan rawatan terapi ozon.

Sebelum ini, isu rawatan terapi ozon tular di media sosial selepas beberapa artis terkenal tanah air mempromosikan kaedah rawatan itu yang dikatakan mampu merawat pelbagai penyakit serta melambatkan penuaan.

Bagaimanapun, artis-artis terbabit kemudiannya menarik balik sokongan mereka terhadap terapi itu selepas ia tidak diiktiraf oleh Kementerian Kesihatan.

Sumber: mStar Online
Sekiranya anda berminat untuk jimatkan kredit telefon anda boleh tekan sini.


Blogger ( 0 ulasan )

Facebook ( comments)

Sedang Hangat

©2014 Siakapkeli