Bacaan
Hangat
Terkini
Viral

Menghidap Darah Tinggi & Perlu Mengambil Ubat Mengikut Masa, Pegawai Farmasi Ini Kongsi Cara Bagaimana Pengambilan Ubat Semasa Berpuasa

No Comment
Foto: netdoctor

Bagi mereka yang perlu memakan ubat secara konsisten sudah pasti ia sedikit sebanyak memberi kegusaran, lebih-lebih lagi buat yang menghidapi darah tinggi, yang mana perlu mengambil ubat mengikut yang telah disarankan.

Tapi, dalam masa yang sama, tidak mahu meninggalkan puasa sama seperti yang lain.

Menerusi perkongsian dari pegawai farmasi, iaitu saudara Dziehan Mustapa, terdapat cara yang boleh diikuti oleh pesakit darah tinggi untuk mengambil ubat, dan sekaligus masih lagi berpuasa.

Mari kita ikuti perkongsian darinya.

Foto: springadvertiser

Pengambilan ubat-ubatan dalam rawatan Hipertensi ketika bulan Ramadan

Sedikit informasi berkaitan pengambilan ubat-ubatan yang digunakan dalam rawatan hipertensi (darah tinggi) semasa bulan Ramadan.

Ada pelbagai ubat yang digunakan dalam rawatan hipertensi. Ada yang perlu diambil sekali sehari, dua kali sehari & tiga kali sehari.

Ada ubat yang perlu diambil sebelum makan, ada yang perlu diambil selepas makan dan kebanyakkannya boleh diambil sebelum atau selepas makan.

Mesti ada yang bertanya kenapa ada sebelum makan? Kenapa ada selepas makan?

Sebelum makan kerana serapan ubat lebih baik ketika perut kosong. Sebelum makan bermaksud 30 min – 1 jam sebelum makan atau boleh juga 2 jam selepas makan kerana perut telah kosong semula.

Selepas makan lebih kepada sebab kesan iritasi gaster (sakit perut). Untuk kurangkan iritasi gaster, baik untuk diambil selepas makan ketika perut berisi makanan.

Ok, sekarang ini untuk pengambilan ubat dalam bulan Ramadan ada 2 perkara harus diteliti terlebih dahulu.

PERTAMA

Lihat dahulu nama ubat Hipertensi yang anda atau ibu-bapa atau rakan atau sanak saudara anda ambil. Rujuk jadual yang telah saya sediakan. Jika ubat tersebut diwarnakan kuning makan ubat hipertensi ini perlu diambil sebelum makan. Jika ubat tersebut diwarnakan oren maka ia perlu diambil selepas makan.

Jika tiada warna bermaksud ia boleh diambil sebelum atau selepas makan (terpulang kepada individu) kerana kehadiran makanan tidak mempengaruhi kadar resapan ubat dan ubat tidak memberi kesan iritasi gaster.

KEDUA

Ketahui terlebih dahulu berapa kali perlu diambil ubat tersebut dalam sehari. Jika ubat tersebut perlu daiambil Cuma sekali sehari , rujuk Jadual sebagai cadangan kepada masa untuk mengambil ubat. Sama ada ketika waktu sahur atau berbuka.

Untuk mudahkan mengingat, jika ubat hipertensi itu perlu dimakan sekali sehari dan perlu diambil sebelum makan, maka dicadangkan masa pengambilan ubat seperti ini ketika bulan Ramadan adalah sejam atau 30 min – 1jam sebelum bersahur.

Maksudnya, bangun awal pagi terus makan ubat, kemudian teruskan persediaan untuk makan sahur seperti panaskan lauk, goreng telur atau sayur dll, agar anda mengambil masa 30 min – 1 jam sebelum kita makan menu utama hidangan sahur. Sebagai contoh ubat Perindopril (Rujuk jadual)

(Ingat...bukan maksud sebelum makan itu betul-betul sebelum suap pertama hidangan utama. Maksudnya 30 min – 1jam atau 2 jam selepas makan).


Manakala untuk ubat rawatan hipertensi yang perlu dimakan sekali sehari selepas makan seperti ubat Frusemide, Hydrochlorothiazide, Spironolactone (Rujuk Jadual) dan perlu diambil selepas makan, maka cadangan masa pengambilan ketika bulan Ramadan adalah selepas bersahur (selepas makan menu utama sebelum masuk waktu imsak). 

3 ubat Frusemide, Hydrochlorothiazide dan Spironolactone adalah daripada kumpulan ubat diuretik. Ia berfungsi membuang air daripada tubuh. Justeru tidak sesuai untuk dimakan selepas berbuka puasa kerana akan menganggu tidur waktu malam kerana terjaga untuk buang air kecil.

Bagi ubat yang perlu diambil sekali sehari dan tidak mengira waktu sama ada sebelum atau selepas makan, maka boleh diambil sebelum atau selepas bersahur atau sebelum atau selepas waktu berbuka puasa mengikut saranan seperti dalam rajah yang saya sediakan (Rajah: Cadangan masa pengambilan ubat-ubatan dalam bulan Ramadan).

Pesakit boleh membuat pilihan dan teruskan pengambilan pada waktu pilihan yang sama setiap hari. Tapi Ingat sebelum bersahur itu bermaksud 30 min – 1jam sebelum menu utama dan sebelum berbuka puasa itu 30min selepas berbuka ringan (Buah kurma dan air kosong) sebelum menu utama berbuka.

*******************************************
Bagi ubat yang perlu dimakan dua kali sehari, sebelum makan (tiada contoh ubat seperti dalam jadual untuk ubat Hipertensi) maka makanlah ubat tersebut 30 min – 1jam sebelum bersahur dan untuk dos berikutnya selepas berbuka sebelum menu utama.

Maksud selepas berbuka sebelum menu utama adalah....Apabila masuk sahaja azan Maghrib ambil sebiji buah kurma dengan air kosong kemudian makan ubat. Selepas tu teruskan untuk bersolat Maghrib. Selepas selesai solat Maghrib dan sedikit berehat dalam 30min barulah berbuka puasa dengan menu utama.

Bagi ubat yang perlu dimakan dua kali sehari, selepas makan seperti Carvedilol (Rujuk jadual) maka makanlah ubat tersebut selepas menu utama waktu bersahur dan selepas menu utama waktu berbuka puasa.

Bagi ubat yang perlu diambil dua sehari dan tidak mengira waktu sama ada sebelum atau selepas makan, maka boleh diambil sebelum atau selepas bersahur atau sebelum atau selepas berbuka puasa. Tapi Ingat sebelum bersahur itu bermaksud 30 min – 1jam sebelum menu utama dan sebelum berbuka puasa itu 30min selepas berbuka ringan (Buah kurma dan air kosong) sebelum menu utama berbuka.
Bagi ubat yang perlu dimakan tiga kali sehari sebelum makan seperti Captopril (rujuk jadual) maka makan ubat ubat tersebut 30 min – 1jam sebelum bersahur, makan dos kedua selepas berbuka sebelum menu utama dan makan dos ketiga sebelum tidur.

Jika boleh lewatkan sikit waktu tidur sekitar jam 11-12 malam. Masa selepas solat terawih, duduk rehat sekejap kemudian jam 11-12 malam baru masuk tidur.

Bagi ubat yang perlu dimakan tiga kali sehari, selepas makan makan (tiada contoh ubat seperti dalam jadual untuk ubat Hipertensi) maka makanlah ubat tersebut selepas menu utama bersahur, dos kedua selepas menu utama berbuka dan dos ketiga sebelum tidur. Juga jika boleh lewatkan sikit waktu masuk tidur hingga jam 11-12 malam.

*********************************************
Bagi ubat yang perlu dimakan empat kali sehari, saya mencadangkan agar berbincang dengan doktor dan ahli farmasi untuk melihat kesesuaian anda untuk berpuasa. Jika anda sesuai untuk berpuasa sambil menerima rawatan kerana penyakit yang terkawal, doktor akan menukarkan ubat sedia ada kepada alternatif daripada kumpulan ubat yang lain bagi tujuan rawatan dan tidak memerlukan kekerapan pengambilan seperti empat kali sehari semasa dalam bulan Ramadan ini.

*********************************************
Jadual contoh ubat yang saya berikan ini cuma berdasarkan kepada dos kebiasaan ubat yang diambil dalam rawatan Hipertensi. Ada juga ubat-ubatan yang diarahkan untuk diambil lebih atau kurang daripada apa yang tercatat dalam jadual berdasarkan keputusan doktor yang merawat anda.

Oleh itu, pastikan anda membaca dahulu label ubat anda terlebih dahulu untuk melihat maklumat dos yang diarahkan dan kekerapan pengambilan ubat dalam sehari. Seterusnya ikut panduan perkara PERTAMA DAN KEDUA seperti di atas.

Rujuk Rajah; Cadangan Masa Pengambilan Ubat-ubatan Dalam Bulan Ramadan bagi mendapatkan gambaran yang lebih jelas berkaitan masa-masa yang dicadangkan dalam artikel ini.

Panduan makan sebelum dan selepas makan dalam jadual juga boleh diguna-pakai untuk ubat-ubatan selain daripada ubat untuk tujuan rawatan Hipertensi. Hanya perlu diketahui melalui bacaan label sama ada sebelum atau selelapas makan serta kekerapan pengambilannya dalam sehari.

Sebarang pertanyaan lanjut berkaitan ubat-ubatan, pesakit atau orang awam boleh menghubungi Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (NPCC) melalui talian 1 800-88-6722 (Isnin hingga Jumaat jam 8.00 pagi - 5.00 petang).

Pegawai Farmasi Anda
Mohd Dziehan Mustapa
Medical Mythbusters Malaysia (M3)

- Siakap Keli


Sekiranya anda berminat untuk jimatkan kredit telefon anda boleh tekan sini.
Blogger ( 0 ulasan )

Sedang Hangat

©2014 Siakapkeli