Bacaan
Hangat
Terkini
Viral

Ini Sebab Pentingnya Perlu Ada Bidan Jika Bersalin Di Rumah, Profesor Ini Jelaskan Secara Terperinci

No Comment
Foto: effortlesschic

Berdepan dengan situasi melahirkan anak merupakan satu saat yang mendebarkan, banyak aspek penting yang perlu diawasi, juga diambil perhatian, tidak kiralah buat suami, keluarga, mahu pun doktor yang terlibat.

Itu jika melahirkan anak di hospital, yang mana ada mereka yang pakar untuk mengawal keadaan, bagaimana pula sekiranya di rumah?

Walau di mana sekali pun, sewaktu saat melahirkan anak, ibu seharusnya ditemani seseorang, seperti bidan, bukan hanya seorang ‘doula’ sahaja.

Menerusi perkongsian dari seorang profesor, iaitu Profesor Imelda Balchin, amat penting sekalu untuk ibu yang melahirkan anak, ada bersama dengan bidan yang terlatih, bukan ‘doula’ sahaja.

Mengapa? Mari kita ikuti perkongsian darinya.

Foto: myfriendlydoula

Kenapa binatang tidak perlukan bantuan bidan untuk melahirkan anaknya?

Kenapa pula manusia tidak digalakkan melahirkan anaknya di rumah ditemankan doula sahaja tanpa bantuan bidan yang terlatih? Baru-baru ni saya terkejut mendengar cerita seorang lagi ibu yang memilih untuk bersalin di rumah dengan ditemankan doula sahaja.

Walaupun ini hak asasi ibu-ibu untuk bersalin di mana-mana sahaja, saya ingin memberi penjelasan kenapa kelahiran manusia memerlukan lebih pengawasan daripada kelahiran binatang.

Ada DUA PERBEZAAN fizikal yang penting di antara manusia dan binatang mamalia lain yang melahirkan anak.

PERTAMA

Manusia ialah satu-satunya ciptaan Tuhan yang berjalan dengan badan yang tegak di atas DUA KAKI (bipedalism) yang juga melahirkan anak.

Kebolehan berdiri tegak ini membebaskan kedua belah tangan kita membuat pelbagai tugas lain sambil berjalan dan berlari. Binatang mamalia lain tidak diberikan keistimewaan ini, dan tangan mereka tidak selalu bebas semasa berjalan, terpaksa menanggung berat badan mereka di atas 4 kaki.

Untuk berdiri tegak tanpa bantuan kedua-dua tangan, bentuk tulang belakang kita dilenturkan untuk menanggung berat badan kita. Ia tidak lah selurus tulang belakang mamalia yang berdiri atas 4 kaki.

Sila lihat video Zirafah bersalin di dalam bahagian comment, anaknya dengan senang akan keluar tanpa apa-apa halangan tulang belakang ibu, dan saluran peranakannya berbentuk silinder dan bulat. "Baby pops out"


Allah swt ialah pakar kejuruteraan terunggul, membina tulang belakang kita dengan empat lengkungan. Tujuan kelenturan dan lengkungan ini ialah untuk keseimbangan badan, supaya tidak tersungkur ke hadapan atau jatuh ke belakang bila berdiri tegak, dan supaya 33 tulang belakang kita tidak retak oleh berat badan bila berlari dan melompat (shock absorber). 

Binatang lain yang berdiri di atas dua kaki seperti kangaroo menggunakan ekornya untuk keseimbangan badan, dan burung-burung juga menggunakan ekor dan kepah sayap.

Foto: active

Lihat pula tulang pelvis (tulang pinggul/punggung)

Untuk berlari dengan pantas, dengan lurus ke hadapan, dengan pantas, jarak di antara kaki kanan dan kaki kiri hendaklah berdekatan (supaya kita tak berkengkang bila berlari). Jadi tulang pelvis yang kecil membenarkan larian yang lebih pantas daripada tulang pelvis yang lebar. 

Disebabkan inilah lelaki berlari lebih pantas daripada wanita (tulang pelvis lelaki lebih kecil daripada wanita) dan orang bangsa Afrika selalunya pemenang Olimpik dalam acara larian pantas (tulang pelvis orang Africa lebih kecil daripada tulang pelvis orang Puteh). 

Ini lah sebabnya lebih ramai wanita Afrika yang mengalami masalah bayi yang tersekat semasa bersalin (obstructed labour) walaupun bayi mereka kecil, bila dibandingkan dengan bayi Scandinavia yang lebih besar kerana tulang pelvis orang puteh Scandinavia yang lebih lebar (tapi suruh mereka lari pecut, tak akan terkejar laju macam wanita Afrika). 

Jadi, sememangnya tulang pelvis manusia dikecilkan jika dibandingkan dengan binatang yang tidak perlu berlari dengan tegak.

Saluran peranakan kita bukan sahaja lebih sempit daripada binatang, tetapi ada pula halangan daripada lengkungan tulang belakang di bahagian sacrum, jadi saluran peranakan kita tidak berbentuk silinder dan bulat.



KEDUA

Manusia dikurniakan dengan kecerdasan otak dan kebijaksanaan untuk berfikir dan membuat pilihan /keputusan.

Ini memerlukan saiz otak dan saiz kepala yang lebih besar bila dibandingkan dengan saiz dan berat badan. Kepala bayi manusia adalah lebih besar daripada bahagian badan lain. 

Semasa dilahirkan, saiz badan bayi (3kg) ialah 5% saiz badan dewasa (60kg), tetapi saiz kepala bayi (35cm) sudah pun lebih 60% saiz kepala dewasa (56cm). 

Otak bayi manusia yang baru dilahirkan adalah lebih besar dan lebih berat (400g) daripada otak orang utan dewasa (370g).

Foto: darlingmagazine

Perbezaan

Selepas dilahirkan, bayi manusia tidak boleh terus berjalan dan mengikut ibunya seperti baby zirafah. Perkembangan otak manusia memerlukan lebih masa untuk mencapai kematangan, tidak macam anak binatang. 

Bayi manusia dilahirkan sebelum otaknya cukup matang untuk mengelakkan masalah kelahiran kepala yang terlalu besar. Jadi, bayi manusia mesti dilahirkan lebih awal, sebelum otaknya sematang otak binatang yang baru dilahirkan, kerana jika kepala bayi manusia menjadi terlalu besar, ibu tidak boleh melahirkannya secara alami.

Kita tidak boleh membenarkan tangan bayi manusia keluar dahulu seperti baby zirafah di dalam video tu, sebab kepala bayi manusia yang besar akan tersekat dan boleh menyebabkan kematian kedua-dua ibu dan anak.

Bila kita lihat lengkungan lumbar-sacral, ia menyebabkan saluran peranakan ibu tidak semacam bentuk silinder dan bulat. Ia memberi sedikit halangan kepada kepala bayi yang terpaksa berpusing untuk keluar. 

Bila kepala bayi tidak berpusing, ia selalunya memerlukan bantuan untuk dilahirkan. Ini dipanggil 'rotational delivery' yang hanya boleh dilakukan oleh pakar perbidanan yang berpengalaman. 

Foto: lifenews

Doula tak ada kemahiran ini. Sebab itulah kadang-kadang, walaupun bayi itu tidaklah besar, 3kg saja, tetapi boleh tersekat juga jika tidak berpusing keluar dan tidak diberi bantuan 'rotational delivery'.

Kita dapati lebih lagi masalah bersalin bila bayi manusia terlampau overdue dan didapati lebih lagi pembedahan Caesarean kerana kepala bayi yang tersekat. Ini ialah akibatnya bila kepala bayi manusia yang lebih besar dipaksa berpusing melalui saluran peranakan ibu manusia yang sempit.

Sebab itulah, syurga di bawah tapak kaki ibu. Memang susah untuk manusia bersalin, kelahiran manusia memakan masa yang lebih lama lagi daripada binatang, dan itulah pengorbanan ibu untuk DUA keistimewaan yang dikurniakan kepada manusia.

Janganlah abaikan kesihatan ibu dan bayi dengan kelahiran di rumah tanpa kehadiran bidan (bukan doula ya). Kita manusia. Bukan binatang.

- Siakap Keli

Sekiranya anda berminat untuk jimatkan kredit telefon anda boleh tekan sini.
Blogger ( 0 ulasan )

Sedang Hangat

©2014 Siakapkeli