Bacaan
Hangat
Terkini
Viral

Dulu Ambil PMR Umur 16 Tahun, Guna Kalkulator Saintifik Pun Tak Tahu, Kini Pemuda Ini Buktikan Remaja Bermasalah Itu Sementara, Mereka Mampu Berubah

No Comment

Tidak dapat dinafikan, setiap orang pasti ada kisah hidup mereka sendiri. Dari kecil, hingga dewasa, ia pasti menjadi salah satu pemangkin untuk menjadikan masa depan lebih berjaya.

Ada ketikanya, kepayahan, dan liku-liku yang terjadi pada waktu dahulu, telah membuatkan kita semakin kuat, dan tabah dalam menempuh kehiudpan, yang mana secara tidak langsung mengubah jalan hidup.

Ramai di antara kita, sewaktu di zaman persekolahan dahulu, sudah pasti mempunyai kisah akan kedegilan, atau satu tingkah laku yang memberontak inginkan kebebasan diri pada usis remaja.

Tapi, menerusi kisah lelaki ini, iaitu saudara Ahmad Muhsinin Zaidi yang mana kata-kata dari seorang sahabat, telah membuatkan dirinya lakukan perubahan, sekali gus menjadikan siapa dirinya pada masa kini.

Mari kita baca kisahnya dalam mendapatkan kembali kekuatan untuk mengubah diri, walau banyak yang sudah ketinggalan.


Ini adalah kisah benar yang benar-benar berlaku pada diri aku. Sekadar berkongsi cerita dan buat motivasi pada sahabat di luar kerana kita adalah penentu masa depan kita. Remaja yang bermasalah itu cuma sementara, apabila mereka sudah matang mereka akan kembali mencari matlamat hidup.
Jangan dibenci mereka, berilah mereka peluang.

Ditulis dengan harapan agar adik-adik yang senasib dengan aku segera berubah memperbaiki diri, cari semula laluan yang boleh bawak kita kepada kejayaan. Peluang sentiasa ada, cuma bergantung atas diri kita, mahu atau tidak.

Semuanya bermula di sebuah fakulti. Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan di UKM ini pada diri aku cukup nostalgia.

Aku tak sama seperti kawan sejawatan, seunit dan sekelas. Aku sebenarnya menempuh jalan yang jauh lebih susah dari orang lain untuk sampai ke tahap ini, untuk aku jadi aku yang hari ini.

Fakulti Sains Sosial & Kemanusiaan (FSSK), aku kerap ke sini sekitar tahun 2001, teman mak aku hadir kelas PJJ beliau. Aku ada 7 beradik, aku yang kedua. Masa tu aku baru 12 tahun. 12 tahun aku tak sama macam 12 tahun budak lain yang sebaya aku. 12 tahun budak lain bermaksud mereka darjah enam. 

Tapi aku tak, aku tak bersekolah. Aku tinggalkan sekolah rendah pada umur 10 tahun untuk masuk sekolah tahfiz. Abang aku pula darjah 5, dia pun masuk sama. Lebih kurang setahun lebih sahaja di sekolah tahfiz, aku paksa mak ayah aku keluarkan aku dari sekolah tu. Aku minta nak masuk sekolah lain. Ini masalah aku, suka-suka nak pergi sana sini tanpa fikir kesusahan orang lain. 

Kemudian aku masuk ke sekolah tahfiz di Bachok, Kelantan. Untuk memudahkan mak ayah aku tengok aku, abang aku juga terpaksa pindah sekali masuk sama sekolah dengan aku. Tapi tak lama, sebulan je aku fly balik. Panjat pagar lari masuk kebun tembikai orang di Kandis, tahan prebet sapu pergi ke Kota Bharu dan naik bas balik ke Taiping.

Diberhentikan dari sekolah tahfiz

Setelah beberapa kali buat perangai dan menyusahkan mak ayah aku, aku diberhentikan terus. Abang aku bertahan beberapa bulan lagi, akhirnya dia berpindah ke sekolah tahfiz di Ipoh. Abang aku sangat cemerlang dalam bidang hafazan. Beberapa bulan selepas di Ipoh, dia dihantar ke Mesir untuk teruskan pengajian hafazan di sana. Dia masa tu umur dia 15, aku 14. 

Lepas dia pergi Mesir, aku terus berhenti sepenuhnya dari sekolah tahfiz. Remaja umur 15 tahun yang dapat belajar di Mesir dalam bidang hafazan Al-Quran memang satu perkara luar biasa di dalam keluarga aku dan di kampung aku. 

Kawan-kawan mula membandingkan aku dengan abang aku. Aku jadi semakin liar, mula merokok, modify motor C70 bagi jadi laju sikit dari moto C70 Pak Imam, keluar ajak budak EX5 race malam minggu, macam-macam lagi.


Tidak bersekolah

Masa itu memang aku terus melepak di rumah. Sia-siakan umur aku berhari-hari, bertahun-tahun. Mak aku seorang cikgu, jenuh dah aku kena marah dengan dia, sampai dia pun dah malas nak cakap apa. "Aku pagi-pagi lagi keluar rumah pegi mengajar orang kat sekolah, anak sendiri taknak pegi sekolah." Itu ayat dia yang aku selalu dengar.

Masalah malas pegi sekolah dan malas belajar ni sebenarnya memang normal bagi budak-budak umur macam aku masa tu. Yang tak normalnya bila aku malas dan aku pilih untuk kekal malas dan berhenti terus. Mujur masa tu bukan zaman internet lagi. Rutin harian duduk rumah hafal lagu Linkin Park, alhamdulillah lagu itu semua aku masih ingat sampai sekarang terutamanya album Hybrid Theory.
Ikut mak datang Bangi

Dalam tempoh itu ada juga aku pernah buat kerja kontrak, sempat la dalam setahun. Bukan kerja dengan orang lain, kerja dengan ayah aku jugak. Ayah aku buat part time construction kecil-kecilan. Punya la penat kena bancuh simen tengah panas terik, macam nak rentung rasa. Sorong konkrit dalam kereta sorong berpuluh kilo. Orang panggil chap kang.

Dalam tempoh aku tak sekolah, setiap kali mak aku datang Bangi untuk hadir kelas hujung minggu aku mesti nak ikut. Ye la nak pergi berjalan kan, budak mana yang taknak. Bagi budak umur macam aku, ia satu suasana yang aku tak pernah rasa bila berada di fakulti-fakulti begini. 

Nampak pelajar-pelajar ke sana sini bawak buku, mereka tak perlu pakai uniform macam di sekolah. Ada yang cuma pakai tshirt, ada yang pakai seluar jeans. Aku merayap-rayap dalam fakulti tu, tengok poster dengan gambar yang digantung di situ. 

Lepas penat berjalan, aku pergi melepak di Pusanika beli air dan makanan. Dari pagi sampai ke petang, tunggu mak aku habis kelas. Setiap kali datang, itu la rutin aku. Aku sampai boleh dah hafal nama kolej-kolej dalam UKM.


Buat keputusan untuk bersekolah kembali

Datang ke fakulti sains sosial UKM ni memang memberi impak besar dalam hidup aku. Mula terdetik rasa di hati untuk jadi salah seorang pelajar di sini. Aku tahu sebagai seorang remaja yang sudah bertahun-tahun tercicir dalam pembelajaran, yang sudah tersimpang jauh dari laluan pendidikan sebenar, cita-cita itu sebenarnya adil jika dikatakan sebagai mustahil. 

Beberapa tahun kemudian, tahun 2005, aku berumur 16 tahun. Walaupun aku tidak bersekolah tapi aku mempunyai hubungan baik dengan rakan-rakan sebaya di kampung aku. Satu hari seorang rakan aku yang digelar John berbual dengan aku.. Perbualan ringkas inilah yang mengubah hidup aku.

"Sen, hang takmau pi sekolah ka? Zaman la ni orang ada degree pun payah nak dapat kerja. Aku tengok hang rilek ja. Sekarang hang tak rasa apa-apa sebab hang dok dengan mak ayah hang, nanti hang dah besaq hang menyesal Sen." 

Ringkas sahaja ayat dia, tapi langsung buat aku tak lena berminggu-minggu. Tak lama kemudian aku buat keputusan untuk masuk ke sekolah swasta di Gunong Semanggol. Maahad Al-Ehya' Asy-Syariff nama sekolah ini, banyak lagenda dihasilkan dari sini. 

Sebenarnya itu cubaan ketiga aku untuk belajar di situ. Dua tahun berturut-turut sebelum itu aku dah cuba masuk belajar, tapi hari daftar sahaja aku ada. Kemudian hilang sepanjang tahun.

Ulang alik lebih kurang 40km menaiki motor

Masa tu dah bulan 4, susah sebenarnya sekolah nak terima pelajar masuk bila dah tengah tahun macam tu. Apatah pula kalau aku yang dah ada rekod datang pada hari pertama sahaja. Tapi atas hubungan baik arwah ayah aku dengan beberapa orang Ustaz di sana, aku diterima masuk ke kelas tingkatan 3. Ya, umur 16 tapi ambil PMR. Memang memalukan, tapi aku tebalkan muka. 

Berulang alik lebih kurang 40km sehari dari rumah ke sekolah guna Honda C70 memang memenatkan. Tayar pancit kemudian tolak berbelas kilometer tu aku pun sempat merasa 2 3 kali. Belum campur dengan minyak habis tengah jalan. 

Bukan tak ada bengkel motor atau pam minyak sepanjang jalan, tapi duit nak repair yang tak ada. Jadi menolak sampai ke rumah sahaja cara yang ada. Telefon bimbit memang mustahil zaman aku. Duit belanja sekolah kena bahagi dua, makan dengan duit minyak motor.

Tidak tahu guna kalkulator saintifik

Susah, memang susah. Aku nyaris nak give up semula dan berhenti sekolah macam biasa. Tapi kata-kata John tu yang buat aku terus cekal hadap semua tu. Habis sahaja PMR, aku minta masuk sekolah menengah harian yang dekat dengan rumah aku. Sekolah kerajaan. Berbekalkan result PMR yang entah apa-apa, aku dapat masuk kelas akaun. 

Masa tu aku masih tak pandai nak mengira, tak tahu bezakan positif dengan negatif, tak tahu guna kalkulator saintifik, tak pandai itu ini. Memang tekanan betul nak belajar. Aku ketinggalan semua benda. Balik rumah orang lain pergi CC main Ragnarok, aku kena duduk rumah baca buku tingkatan 1, 2 dan 3. Kena belajar asas mengira balik. Allah je yang tahu susahnya macam mana nak kejar balik apa yang aku tertinggal.

Apa yang cikgu ajar dalam kelas langsung tak faham. Ye lah macam mana nak faham kalau aku tak pandai asas sekolah menengah. Mujur ada beberapa kawan yang kental mengajar aku. Hampir setiap malam datang rumah buat homework dengan aku. Antaranya Najib, Meor, Saleh, Assyura, Epoi Pisang dan lain-lain.


Dipilih masuk program separa perubatan

Dipendekkan cerita, aku akhirnya ada SPM dan terpilih masuk ke program separa perubatan oleh KKM, dihantar belajar di kolej bernama KIST di Bachok. Yang kelakarnya, KIST ni adalah satu kolej baru, kolej ini dibina atas tanah Maahad Tahfiz yang aku selalu fly dulu. 

Aku masuk semula ke kolej ni sebagai pelatih Dressar. Bangunan-bangunan lama, asrama lama aku duduk pada tahun 2002 dulu bertukar menjadi kelas aku, dewan makan bertukar jadi perpustakaan. Tergelak aku pada hari daftar diploma MA kat sana, dulu aku selalu lari balik, tapi dihantar semula ke tempat yang sama untuk belajar benda yang lain pula. 

Berjaya temuduga SPA8 dan masuk jadi pelatih MA ni mungkin cuma picisan di mata sesetengah orang, namun bagi aku satu kejayaan yang amat besar. Dapat duduk sama tinggi dengan budak-budak lepasan MRSM atau Matrikulasi memang satu perkara yang aku tak pernah fikir beberapa tahun sebelum itu.

Menjadi pelajar di FSSK

Hari ini, aku sudah jadi salah seorang pelajar di FSSK di UKM, pelajar PJJ dalam bidang Psychology. Ya, ia bukanlah satu pencapaian yang hebat secara umumnya, namun ia adalah kejayaan besar buat diri aku sendiri kerana 16 tahun lepas aku merayap di fakulti ini sebagai seorang remaja yang tidak bersekolah, yang cuma berangan-angan. Kini aku kembali dengan impian yang sudah jadi realiti. 

Ya, kedudukan aku sekarang masih tidak setanding dengan sahabat-sahabat yang sudah jauh maju ke hadapan, ada yang sudah jadi jurutera, peguam, doktor perubatan, ada juga yang dah tamat kursus sarjana. Namun realitinya halangan yang kita hadap langsung tak sama. 

Aku sama sekali tidak pernah membandingkan kejayaan aku dengan orang lain. Aku bandingkan kejayaaan aku dengan diri aku juga. Siapa aku sebelum ini dan siapa aku sekarang. Setiap kali teringat kesusahan dulu dan melihat diri aku sekarang, aku sangat bersyukur.

Aku nyaris hanyut dalam arus kehidupan. Aku hampir-hampir lemas akibat ego diri sendiri di zaman remaja. 

Setiap dari kita masing-masing ada kelebihan, tapi pengaruh sekeliling membuatkan kita lebih suka tutup kelebihan itu dengan perkara negatif dan kebolehan itu terus terkambus. Aku juga percaya setiap orang layak diberi peluang untuk tunjuk prestasi sebenar.

Inilah kisah seorang remaja yang pernah tidak bersekolah bertahun-tahun tapi bercita-cita besar.
Doakan aku dan kawan-kawan terus berjaya.
Wallahualam
Sekiranya anda berminat untuk jimatkan kredit telefon anda boleh tekan sini.


Blogger ( 0 ulasan )

Facebook ( comments)

Sedang Hangat

©2014 Siakapkeli