Bacaan
Hangat
Terkini
Viral

Buat Pesakit Juga Ahli Keluarga, Panduan Ini Boleh Dijadikan Rujukan Dalam Menghadapi Rawatan Kanser

No Comment
Foto: wikiHow

Setiap penyakit ada ubatnya, dan rawatn yang diberi supaya ianya boleh dikurangkan, dirawat mahu pun dicegah. Ianya harus dilakukan dari semasa ke semasa mengikut jadual rawatan yang telah ditetapkan.

Bagi mereka yang berhadapan dengan penyakit yang lebih serius, tumpuan harus diberikan kepada mereka. Begitu juga dengan ahli keluarga, dalam memberi kata semangat juga sokongan buat mereka.

Menerusi perkongsian dari laman Kementerian Kesihatan Malaysia, telah kongsikan akan artikel mengenai panduan menghadapi rawatan kanser, hasil nukilan dari Pegawai Farmasi, Zuhailah Mohd Shafawi.

Mari kita baca dengan lebih lanjut.

Foto: nhschoices

Panduan Menghadapi Rawatan Kanser

Kanser ialah penyakit yang sangat digeruni sehingga penghidapnya mahupun ahli keluarga sanggup melakukan apa sahaja yang difikirkan boleh menyembuhkan kanser. Pengesanan dan rawatan awal sangat penting untuk menyelamatkan nyawa. Malah anda digalakkan menjalani saringan walaupun belum menunjukkan tanda-tanda kanser.

Antara kaedah rawatan kanser ialah pembedahan, kemoterapi (rawatan dengan ubat makan atau suntikan), radioterapi (menggunakan sinar radiasi), terapi sasaran (menggunakan antibodi monoklonal) dan terapi hormon. Pemilihan kaedah rawatan dilakukan oleh pakar onkologi berdasarkan jenis kanser, tahap kanser dan keadaan pesakit.

Namun begitu, rawatan kanser selalu dikaitkan dengan kesan sampingan yang tidak menyenangkan sehingga pesakit takut menjalani rawatan. Walau bagaimanapun, pesakit harus tahu bahawa kesan sampingan ini dapat dielakkan atau dikurangkan dengan langkah-langkah tertentu.

Artikel ini bertujuan sebagai panduan umum kepada pesakit dan ahli keluarga pesakit kanser yang bakal menjalani rawatan. Berikut antara perkara yang patut dilakukan sebelum, semasa dan selepas menjalani rawatan kanser.

a. Sebelum menjalani rawatan 

Dapatkan penerangan yang jelas mengenai penyakit, tahap penyakit dan tujuan rawatan.
Dapatkan nasihat doktor jika anda merancang untuk memiliki zuriat dalam masa terdekat. Rawatan kanser mungkin menyebabkan ketidaksuburan dan kecacatan janin. Doktor mungkin mencadangkan kaedah penyimpanan air mani (sperm banking) untuk sesetengah pesakit.
Dapatkan nasihat doktor tentang kaedah seks yang selamat semasa dan selepas habis tempoh rawatan kanser.
Meminta risalah atau buku panduan tentang ubat dan rawatan dari anggota kesihatan untuk bacaan lanjut.
Meminta pegawai farmasi menerangkan tentang ubat kanser anda termasuk kesan sampingan umum dan khusus serta cara-cara mengatasi kesan sampingan tersebut.
Menunjukkan ubat-ubat, suplemen dan makanan kesihatan yang diambil supaya pegawai farmasi dan doktor boleh memastikan keselamatan dan kesesuaiannya dengan rawatan.
Memahami dengan jelas tentang fungsi dan cara makan ubat-ubat lain seperti ubat tahan sakit, ubat sembelit dan ubat tahan muntah yang perlu dimakan di rumah.

b. Semasa tempoh rawatan

Mematuhi jadual rawatan yang ditetapkan. Hubungi pihak hospital dengan segera jika terdapat halangan.
Memberitahu anggota kesihatan jika mengalami reaksi alahan dan kesan sampingan.
Segera ke hospital jika mengalami demam atau kesan sampingan yang teruk.

c. Selesai tempoh rawatan

Menghadiri temujanji yang ditetapkan untuk memantau perkembangan penyakit.
Mendapatkan rawatan segera jika berlaku sesuatu yang tidak normal.

Foto: wikiHow

Peranan ahli keluarga

Ahli keluarga memainkan peranan yang sangat penting dalam urusan harian pesakit kanser. Secara langsung mereka juga menjadi nadi penggerak kejayaan rawatan dan motivasi utama pesakit untuk terus berjuang.

Antara peranan ahli keluarga yang boleh membantu pesakit kanser adalah seperti: 

- Hadir bersama-sama semasa perbincangan mengenai penyakit dan rawatan

- Memberitahu ahli profesional kesihatan tentang kebimbangan-kebimbangan yang dialami pesakit dan keluarga termasuk kebimbangan dari segi psikologi, kewangan, pemakanan, penjagaan pesakit, pelajaran pesakit dan sebagainya. Anggota kesihatan sedia membantu mencari penyelesaian.

- Boleh sama-sama mendengar penerangan yang diberikan pegawai farmasi tentang ubat dan cara-cara mengatasi kesan sampingan, meminta nasihat doktor atau pegawai farmasi sebelum memberi suplemen dan makanan kesihatan kepada pesakit dan segera bertanya dengan perawat jika ada perkara yang kurang difahami.

- Memberi sokongan kepada pesakit kanser seperti menemani pesakit semasa temujanji di klinik dan semasa rawatan di wad, menemani pesakit menyertai aktiviti kumpulan sokongan kanser dan belajar tentang cara penjagaan khusus pesakit yang terlantar.

- Boleh membantu dalam menyediakan kemudahan yang sesuai dan selesa digunakan oleh pesakit di rumah supaya pesakit mudah mengurus diri tanpa risiko kemalangan dan menyimpan nombor telefon pihak yang boleh dihubungi jika memerlukan pertolongan seperti perkhidmatan ambulans swasta dan perkhidmatan jururawat bergerak.

Sumber Informasi rawatan kanser

Terdapat beberapa laman sesawang, buku panduan dan khidmat pusat panggilan yang boleh memberikan maklumat lanjut mengenai saringan, rawatan dan kumpulan sokongan bagi pesakit kanser seperti:

www.cancer.org.my (Persatuan Kebangsaan Kanser Malaysia, NCSM)
• Talian Bantuan Kanser NCSM 1-800-08-100 (Isnin – Jumaat, 8.30 pagi hingga 4.30 petang)
• makna.org.my (Majlis Kanser Nasional)
• Talian Bantuan Kanser MAKNA 1-800-88-62562 (Isnin – Jumaat, 9.00 pagi hingga 5.00 petang)
www.hopehandbook.org (buku panduan pesakit kanser yang baru didiagnosis dan buku panduan penjaga pesakit kanser terbitan Persatuan Onkologi Malaysia dan Pfizer Malaysia)

Manakala untuk pertanyaan mengenai ubat-ubatan, anda boleh menghubungi Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (NPCC) di talian 1-800-88-6722 (Isnin – Jumaat, 8.00 pagi hingga 5.00 petang).

Disediakan oleh
Zuhailah Mohd Shafawi,
Pegawai Farmasi Hospital Shah Alam

- Siakap Keli

BACA: Durian Belanda Boleh Rawat Kanser Beribu Kali Lebih Baik Dari Kemoterapi? Jika Terlalu Kerap Diambil Boleh Undang Parkinson
Sekiranya anda berminat untuk jimatkan kredit telefon anda boleh tekan sini.
Blogger ( 0 ulasan )

Facebook ( comments)

Sedang Hangat

©2014 Siakapkeli