Bacaan
Hangat
Terkini
Viral

Zaman Sekarang Ni Bukan Macam Dulu, Jangan Terperangkap Dalam Penjara Persepsi Masyarakat, Buat Apa Yang Kau Minat, Walaupun Lari Dari Bidang

No Comment
Foto: thefederalistpapers

Kita mungkin pernah berdepan dengan situasi yang mana, kita dipengaruhi oleh orang sekeliling dalam membuat keputusan, seperti memilih kursus untuk menyambung pelajaran di universiti.

Ia mungkin nampak kecil, tapi sedikit sebanyak memberi kesan kerana kursus yang diambil itu mungkin tidak sesuai dengan minat kita.

Disebabkan itulah, ramai yang dilihat pada masa kini mula mencebui bidang kerjaya yang jauh berbeza dari apa yang dipelajari di peringkat university. Adakah ianya merugikan, atau seperti sia-sia sahaja?

Menerusi penjelasan dari saudara Ahmad Affzan Abdullah mengenai situasi ini, tidak mustahil untuk kita bekerja dalam bidang yang berlainan, kerana ia lebih baik dari kita bekerja secara terpaksa yang mana menyebabkan diri lebih tertekan.

Mari kita ikuti perkongsian darinya.

Foto: Daimlers

Semalam aku bersembang dengan kawan-kawan lama. Ada seorang ni kata minggu ini minggu terakhir untuk dia jalankan bisnes 'bento' (packed lunch). Rakan niaganya tak mahu teruskan akibat defisit berterusan.

Ramailah yang beri nasihat dan sokongan. Ada yang ingin tawarkan diri jadi rakan niaga yang baru. Kami kata bisnes ini ada potensi, cuma mungkin kurang aktiviti pemasaran atau sasaran pembeli yang kurang tepat.

Kawan aku ini memang pandai masak. Segala jenis masakan dunia dia boleh buat dengan teliti dan dihidangkan dengan cantik. Maksudnya dia memasak bukan setakat mahu sedap, tapi ada seni. Kalau kau mahu tahu apa itu seni kulinari, kau tengoklah akaun instagram dia.

Dalam ramai-ramai itu, ada juga yang bertanya kenapa dia pilih bidang F&B (food and beverages). Kenapa mahu memasak sedangkan dia ada ijazah dalam bidang perkomputeran? Bukankah lebih elok kalau kerja ikut bidang yang dia belajar dulu? Bukankah dia ada otak yang geliga dalam bidang komputer?

Aku nak tolong jawabkan dalam grup Whatsapp tapi aku rasa bagus juga kalau aku kongsi pandangan aku di sini supaya dapat aku tulis dengan panjang lebar.

Kenapa kerja dalam bidang lain?

Pada pendapat aku, manusia ini ada pelbagai jenis. Ada yang multitalented (pelbagai bakat dan kemahiran, dipanggil juga polymath, multipotentialite dan lain-lain), ada yang tahu satu benda saja dalam hidup.

Yang multitalented ini, akan berhadapan dalam dilema bila nak masuk universiti.

Waktu kita pilih kursus di universiti, kebiasaannya memang kita tidak diberi banyak pilihan atau khidmat nasihat yang menyeluruh.

Ambil contoh aku sendiri. Zaman dulu mana ada Google. Aku pun tak tau nak pilih kursus apa sebab aku tak tahu prospek kerjaya macam mana. Yang aku tahu, kena pilih jadi jurutera, arkitek atau doktor saja. Itu kerjaya tipikal yang tersemat dalam kepala aku zaman itu. Mungkin terpengaruh dengan Nyonya Mansoor.

Di sekolah pun bukan ada khidmat nasihat kerjaya. Pandai-pandailah kau tanya orang. Itu pun kalau nasihat yang kau dapat itu nasihat yang betul. Sekali dapat orang yang tak pakar, dia cakaplah jangan kerja itu ini padahal tak adalah teruk sangat.

Lalu aku pilih nak jadi jurutera aero angkasa. Main belasah saja. Konon-konon nak kerja dengan MEASAT (waktu itu MEASAT-1 baru dilancarkan). Bila sampai di UK, aku rasa prospek kerja sebagai jurutera elektrik atau bidang komputer lebih bagus. Lalu aku tukar lagi, pilih kursus kejuruteraan sistem maklumat.

Aku rasa otak aku mampu belajar kursus tersebut. Alhamdulillah, lulus walaupun dengan susah payah.

Namun, aku juga rasa bukan itu saja bakat yang aku ada. Bakat aku dalam bidang seni contohnya, terbiar begitu saja sejak aku pergi ke UK. Padahal sejak sekolah rendah, tidak sedikit pertandingan melukis, mewarna, menulis khat yang aku menangi. Pertandingan menyanyi pun aku menang juga.

Begitu juga bakat aku dalam bidang linguistik. Aku boleh menulis, mengarang sajak serta dapat menguasai bahasa asing dengan cepat. Tak masuk lagi bidang muzik, fotografi, dan macam-macam lagilah benda yang aku boleh buat dan buat dengan sangat baik.

Kesimpulannya, aku rasa orang macam aku ini ramai di Malaysia dan seluruh dunia. Namun kami selalunya terperangkap dengan apa yang kami pilih sewaktu di universiti.

Foto: Daimlers

Aku teringat sewaktu aku pulang ke kampung tempoh hari. Orang tanya aku buat apa sekarang, aku jawab meniaga tulisan khat. Reaksi pertama yang aku dapat,

"Apasal jauh beno lari bidangnya?"

Ya, orang tahu aku ambil kursus kejuruteraan di universiti. Tapi orang tak tahu kemahiran lain yang aku ada.

Aku tak tahu ini budaya di Malaysia sahaja atau di merata dunia. Bila kau ambil satu kursus tertentu di universiti, kau mesti dan wajib kerja bidang itu saja. Kalau kau tiba-tiba berhajat nak kerja bidang lain, seolah-olah macam satu kerugian dan dosa besar kepada masyarakat.

Bagi aku, kalau kau ada kemahiran yang pelbagai, tak salah untuk kau pilih mahu kerja sebagai apa, ikut kemahiran yang kau ada. Tak semestinya sama macam apa yang kau belajar di universiti.

Kau ada 5 kemahiran contohnya. Bukan semua pun kau boleh ambil kursusnya di universiti. Kau kena pilih satu saja. Waktu kau pilih pun, bukan kau tahu sangat prospek kerjaya macam mana. Macam aku, terpaksa tinggalkan minat aku dalam bidang seni, muzik dan kemahiran otak kanan ini sebab ramai orang kata, prospek kerjayanya tidak sehebat kemahiran otak kiri.

Siapa pandai, kena ambil subjek sains tulen.

Kurang pandai, ambil subjek seni atau sains sosial.

Minat kau yang lain macam mana? Korbankan.

Sekurang-kurangnya, itulah yang aku rasa apa yang berlaku dulu.

Akhirnya, bila kau dah mula kerja, kau sedar kerjaya itu tak sesuai dengan perwatakan dan jiwa kau. Kau mungkin ada kemampuan akal dan fizikal yang cukup untuk kerja tersebut, tapi jiwa dan minda kau ke tempat lain. Kau terperangkap dan memberontak. Kau nak tukar bidang, tapi kau takut kecaman orang dan tekanan dari keluarga dan masyarakat.

Sebab itu, tak hairanlah ramai yang kerja dalam keadaan stress, tertekan, sakit jiwa. Kerja pun jadi tak efisyen, tak produktif, curi tulang, rasuah. Lepas itu kau dapat sakit jantung, darah tinggi, dan macam-macam penyakit lain. Akhirnya merosakkan diri kau juga.

Ada yang tak boleh nak tukar bidang sebab sudah ada komitmen. Yang ini cerita lain. Contohnya isteri yang bekerja makan gaji, teringin nak jadi surirumah tapi tak boleh sebab takut pendapatan keluarga berkurang sedangkan komitmen banyak. Itu aku faham.

Begitu juga suami yang sudah bergaji besar, terasa nak buat bisnes tapi takut nanti pendapatan tak menentu, tak ada jaminan, macam mana nak bagi nafkah? Ini pun aku faham juga.

Foto: Freepik

Salahkah bekerja dalam bidang yang lain?

Tapi bila kau tak ada kekangan itu semua, salahkah kau bekerja dalam bidang lain dari yang kau belajar di universiti?

Asalkan kau memang berkemahiran dan berbakat dalam bidang itu, aku katakan, "kenapa tidak?"

Bahkan, mungkin kau akan lebih berjaya dalam bidang yang kau betul-betul minat, yang kau ada 'drive and passion' dalam bidang tersebut berbanding kau kerja sebab terpaksa. "Dah ambil subjek sains, terpaksalah kerja bidang sains," keluh hati kecil kau.

Rugikah kalau tukar bidang? Pendapat aku, apa-apa bidang pun asalkan ia halal dan boleh memberi manfaat kepada masyarakat, ia bukan satu kerugian.

Kau tidak seharusnya terus dihukum hanya kerana pilihan-pilihan yang kau buat masa lalu.

Aku ulang lagi sekali.

Kau tidak seharusnya terus dihukum dan diperangkap hanya kerana pilihan-pilihan yang kau buat masa lalu.

Dulu kau bodoh, sekarang kau dah pandai. Dulu tak tahu, sekarang kau dah tahu. Dulu kau tak nampak, sekarang dah nampak. Salahkah kau merubah kehidupan kau? Sudah tentu tidak.

Hidup ini bukan 'one way straight'. Kau sentiasa ada pilihan untuk ubah sama ada jadi lebih baik, jadi lebih buruk atau kekal begitu sahaja sampai kau mati.

Jangan terperangkap dengan penjara persepsi masyarakat. Kau lebih faham keadaan diri kau, minat kau, kebolehan kau berbanding orang lain.

Be yourself, not what others want you to be!

- Siakap Keli



Sekiranya anda berminat untuk jimatkan kredit telefon anda boleh tekan sini.


Blogger ( 0 ulasan )

Facebook ( comments)

Sedang Hangat

©2014 Siakapkeli