Bacaan
Hangat
Terkini
Viral

(Video) Ada Artis Buat Video Kata Solat Lelaki Dan Wanita Adalah Sama, Ilmuan-Ilmuan Agama Dan Jabatan Mufti Tampil Jawab Kekeliruan

No Comment


Sejak beberapa hari lalu ada seorang artis telah menghasilkan sebuah video usrah mengajar tentang solat, namun didalam video itu beliau dengan yakin mengatakan bahawa solat antara wanita dan lelaki adalah sama..

Terpanggil dengan video yang dilihat menjadi rujukan ramai netizen itu, ramai ilmuan fiqh telah tampil menegur dan membetulkan kekeliruan itu,

Ini adalah jawapan daripada Ustaz Abdul Rahman Dan Zaujah beliau mengetengahkan padangan empat mazhab ahlisunnah.

SOLAT ORANG PEREMPUAN.

Ada satu video yang dikongsikan oleh rakan-rakan di mana dalam video tersebut, ada seorang artis mengatakan dengan tegas bahawa solat orang perempuan sama seperti solat lelaki sehinggakan kalau sujud pun tak payah nak rapatkan ketiak. Artis tersebut dengan penuh confident mengatakan bahawa perbuatan merapatkan ketiak tu SALAH.

Baik. Sekarang kita tengok, apakah pandangan EMPAT MAZHAB dalam hal ini:

M A Z H A B H A N A F I :

Disebutkan dalam Kitab Al-Durr Al-Mukhtar:


( والمرأة تنخفض ) فلا تبدي عضديها ( وتلصق بطنها بفخذيها ) لأنه أستر ، وحررنا في الخزائن أنها تخالف الرجل في خمسة وعشرين .

"Dan (ketika sujud) wanita hendaklah lengannya diturunkan / direndahkan (ke lutut) supaya dia tidak menzahirkan kedua lengannya. Dan hendaklah dia MERAPATKAN perutnya dengan kedua pehanya kerana yang demikian itu lebih tertutup. Dan kami telah tulis dalam Al-Khazain (mungkin nama kitab Hanafi) bahawa (solat) wanita berbeza dengan lelaki dalam 25 perkara".

M A Z H A B M A L I K I :

1) Kata Ibnu Abi Zaid Al-Qairawani dalam Matan Al-Risalah (matan muktabar dalam fiqh Mazhab Maliki):

وهي في هيئة الصلاة مثله غير أنها تنضم ولا تفرج فخذيها ولا عضديها.

"Dan keadaan wanita dalam solat ialah seperti orang lelaki, cuma wanita MERAPATKAN dan tidak meluaskan kedua pehanya dan KEDUA LENGANNYA".

2) Kata pengarang Al-Syarh Al-Kabir:


أن المرأة يندب كونها منضمة في ركوعها وسجودها

"Bahawasanya wanita disunatkan MERAPATKAN (anggota badannya) ketika rukuk dan sujudnya"
Kemudian Imam Al-Dusuqi menghuraikan maksud kalam di atas dalam Hasyiah-nya:

أي بحيث تلصق بطنها بفخذيها ومرفقيها بركبتيها

"Iaitu: wanita hendaklah MERAPATKAN perutnya dengan pehanya, dan sikunya dengan lututnya".

M A Z H A B S Y A F I E :

1) Untuk Mazhab Syafie, kita bagi Matan Abi Syuja' je lah:


والمرأة تضم بعضها إلى بعض.

"Dan wanita MERAPATKAN anggotanya antara satu sama lain".

2) Atau kalau nak rujuk Imam Syafie terus pun boleh. Kata beliau dalam Kitab Al-Umm:


والرجل والمرأة في الذكر والصلاة سواء ولكن آمرها بالاستتار دونه في الركوع والسجود بأن تضم بعضها إلى بعض

"Dan lelaki serta wanita adalah sama dalam hal zikir dan solat. Tetapi aku memerintahkan agar wanita menutup selain daripada apa yang dilakukan oleh lelaki ketika rukuk dan sujud, iaitu dengan MERAPATKAN sebahagian anggotanya dengan sebahagian yang lain"

M A Z H A B H A N B A L I :

Imam Ibnu Qudamah menyebutkan dalam matan Fiqh Hanbali yang masyhur yang bernama Al-Muqni':

والمرأة كالرجل في ذلك كله ، إلا أنها تجمع نفسها في الركوع والسجود

"Dan wanita sama seperti lelaki dalam semua hal tersebut, kecuali wanita menghimpunkan dirinya (merapatkan anggota badannya) ketika rukuk dan sujud".

K E S I M P U L A N :

Keempat-empat mazhab suruh wanita rapatkan lengan ketika sujud dan rukuk.

Sebagai tambahan, al-faqir ingin menyatakan beberapa perkara:
1. Saya bukan nak menyerang. Tapi cuma nak bagi terang. Supaya lepas ni jangan mudah menghukum salah.

2. Saya juga dengan rendah hati ingin menasihatkan artis tersebut agar mencari guru fiqh yang bermazhab dan bukan yang baru nak mula mencipta mazhab. Nasihat ini juga ditujukan kepada semua yang membaca tulisan yang tidak seberapa ini.

3. Akhir sekali, saya menolak sekeras-kerasnya perbuatan orang-orang yang mencaci artis tersebut. Sayangilah dia. Firaun yang jahat tu pun Allah suruh Nabi Musa dakwah dia dengan lembut. Kamu ingat si artis tu lagi jahat dari Firaun ke? Atau kamu rasa kamu lagi mulia dari Nabi Musa?
Akhukum fi Al-Sunnah,

Abdul Rahman Ibn Harman Shah Raniri Al-Azhari Al-Syafie.

Berikut adalah jawapan daripada  Ustaz Jafri Abu Bakar Mahmoodi, Mudir Maahad Darul Faizin Litahfizil mengenai perkara ini.


Ini pula adalah jawapan daripada Jabatan Mufti Kerajaan Negeri, Negeri Sembilan.

SOLAT LELAKI DAN PEREMPUAN TIADA BEZA?

SOALAN

(1) Kawan2 yg lebih arif bab fiqh..

Ada orang bg tau budak2 sekolah, solat semua orang perempuan tidak sah kerana tak ikut cara solat nabi ketika sujud, iaitu kena mengepak spt org lelaki.

Cara solat org perempuan kat Malaysia semua x sah sebab masa sujud rapatkan perut pada paha & lengan PD badan.

(Org yg cakap ni telah mengikuti kuliah solat oleh pakar hadis di UM)
Tolong bg pendapat yg soheh ye.

(2) Semalam di sebuah surau saya ditegur.



Seusai solat

Makcik : makcik nak tegur sikit boleh
Saya : ye boleh, apa makcik
Makcik : kita perempuan tangan bila sujud tak kembang, kena kuncup macamni letak dalam atas peha (sambil sujud)
Saya : ohhh terima kasih
Makcik : kita perempuan tak leh kembang2
Saya terima je teguran dia sebab ni benda khilaf. Cuma dia mesti jeling kat saya masa saya solat dan hati dia mesti dah ada rasa nak tegur "kesilapan" saya.

Bagi saya lelaki dan perempuan tiada perbezaan dalam solat sebab hanya ada satu je dalil mengatakan Sabdanya:"Solatlah kamu sekalian sebagaimana kamu melihat aku bersolat.”

BOLEH USTAZ BAGI PENCERAHAN.. TERIMA KASIH...

JAWAPAN


1. Sebenarnya asal perbuatan dalam solat adalah sama diantara lelaki dan perempuan, kerana setiap KHITAB kepada lelaki juga DIKHITABKAN kepada perempuan, melainkan perkara yang ada dalil dari syara' yang menunjuk atas adanya perbezaan antara lelaki dan perempuan.

Sabda nabi saw :


إنما النساء شقائق الرجال.
Sesungguhnya perempuan itu adalah saudara kandung lelaki
[ HR Abu Daud , at-Tirmizi dari hadith Aisyah, ad-Darimiy dari hadith Anas ]

2. Disana ada dalil yang jelas dari hadith nabi saw bahawa ada beberapa perkara tidak sama diantara lelaki dan perempuan dalam solat , kerana itulah mengambil satu dalil sahaja iaitu " Solatlah kamu sekalian sebagaimana kamu melihat aku bersolat " dan terus meletakkan hukum tidak ada perbezaan antara solat lelaki dan perempuan tanpa memandang kepada dalil-dalil lain akan MENYEBABKAN TERJADI KEPINCANGAN DIDALAM MELETAKKAN HUKUM.

Dintara perbezaan antara solat lelaki dan perempuan yang secara jelas disebut didalam hadith :
[1] lelaki melakukan solat fardhu dimasjid manakala perempuan lebih afdhal melakukan solat fardhu dirumah.

Sabda nabi saw :

لَا تَمْنَعُوا نِسَاءَكُمُ الْمَسَاجِدَ، وَبُيُوتُهُنَّ خَيْرٌ لَهُنَّ.
Janganlah kalian melarang wanita-wanita kalian pergi ke masjid, akan tetapi rumah-rumah mereka lebih baik bagi mereka.
[ HR Ahmad no.5468, 5471 Abu Daud no.567 ]

Dalam Hadith Ummu Humaid r.a. katanya .


يَا رَسُولَ اللهِ، إِنِّي أُحِبُّ الصَّلَاةَ مَعَكَ، قَالَ: " قَدْ عَلِمْتُ أَنَّكِ تُحِبِّينَ الصَّلَاة مَعِي، وَصَلَاتُكِ فِي بَيْتِكِ خَيْرٌ لَكِ مِنْ صَلَاتِكِ فِي حُجْرَتِكِ، وَصَلَاتُكِ فِي حُجْرَتِكِ خَيْرٌ مِنْ صَلَاتِكِ فِي دَارِكِ، وَصَلَاتُكِ فِي دَارِكِ خَيْرٌ لَكِ مِنْ صَلَاتِكِ فِي مَسْجِدِ قَوْمِكِ، وَصَلَاتُكِ فِي مَسْجِدِ قَوْمِكِ خَيْرٌ لَكِ مِنْ صَلَاتِكِ فِي مَسْجِدِي.

Wahai Rasulallah, sesungguhnya aku suka solat bersamamu. Baginda saw bersabda : " sesungguhnya Aku tahu bahawa engkau suka solat bersamaku. ( Akan tetapi ) solatmu di tempat engkau bermalam itu lebih baik dari solatmu di dalm bilikmu, dan solatmu di dalm bilikmu lebih baik dari solatmu didalam kediamanmu, dan solatmu didalam kediamanmu lebih baik dari solatmu di masjid kampungmu, dan solatmu di masjid kampungmu lebih baik dari solatmu di masjidku ".
[ HR. Ahmad no.27090 ]

Dalam hadith lain pula nabi saw bersabda :


خَيْرُ مَسَاجِدِ النِّسَاءِ قَعْرُ بُيُوتِهِنَّ.
Sebaik-baik tempat sujud bagi para wanita adalah di dalam rumah-rumah mereka.
[ HR Ahmad no.26542 ]

[2] sebaik-baik saf lelaki adalah saf pertama, sedangkan sebaik-baik saf perempuan adalah saf belakang.


خَيْرُ صُفُوفِ الرِّجَالِ أَوَّلُهَا، وَشَرُّهَا آخِرُهَا، وَخَيْرُ صُفُوفِ النِّسَاءِ آخِرُهَا، وَشَرُّهَا أَوَّلُهَا
Sebaik-baik saf laki-laki adalah yang pertama sedangkan paling buruknya adalah yang paling belakang, dan sebaik-baik saf wanita adalah yang paling akhirnya, sedang yang paling buruknya adalah yang pertama.
[ HR Muslim ]

[3] Apabila terjadi sesuatu dalam solat lelaki mengucap tasbih, manakala perempuan pula menepuk tangan.

Rasulullah saw bersabda :

يَا أَيُّهَا النَّاسُ مَا لَكُمْ حِينَ نَابَكُمْ شَيْءٌ فِي الصَّلاَةِ، أَخَذْتُمْ فِي التَّصْفِيقِ إِنَّمَا التَّصْفِيقُ لِلنِّسَاءِ .
Wahai manusia kenapakah kamu ketika mengenai kepada kamu didalam solat kamu terus menepuk tangan, sesungguhnya menepuk tangan hanya untuk perempuan.
[ HR Al-bukhari no.1234 ]

[4] perempuan perlu memakai tudung dalam solat, sedangakan lelaki tidak disyaratkan memakai tudung.

Sabda nabi saw :

لا يقبل الله صلاة حائض إلا بخمار .
Allah tidak menerima solat wanita dewasa kecuali dengan tudung.
[ HR Abu Daud, at-Tirmizi dan Ibnu Majah ]

[5] wanita perlu tutup kakinya, sedangakn lelaki tidak disyaratkan menutup kaki dalam solat.


عن أم سلمة رضي الله عنها قالت: سألت النبي صلى الله عليه وسلم : أتصلي المرأة في درع وخمار وليس عليها إزار؟ قال : إذا كانت الدرع سابغاً يغطي ظهور قدميها.
Dari ummi Salamah r.anha katanya : " Adakah seseorang perempuan itu boleh bersolat dalam keadaan memakai baju dan tudung kepala sahaja, tetapi tidak memakai kain sarung?” baginda saw menjawab " Boleh, jika bajunya itu labuh sehingga menutup zahir (bahagian atas) kedua kakinya ".
[ HR Abu Daud ]

[6] lelaki boleh menjadi imam kepada lelaki, manakala perempuan tidak boleh menjadi imam kepada lelaki.

Sabda nabi saw :


لَنْ يُفْلِحَ قَوْمٌ وَلَّوْا أَمْرَهُمْ امْرَأَة.
Tidak akan berjaya suatu kaum yang melantik pemimpin mereka seorang wanita.
[ HR al-Bukhari ]

3. Berkenaan dengan kedudukan wanita dalam rukuk dan sujud adakah sama dengan lelaki atau tidak sama, MAKA HAL INI ULAMA BERSELISIH PANDANGAN

PADA MENETAPKAN HUKUMNYA.

Ada sebahagian ulama berpandangan TIDAK ADA PERBEZAAN antara kedudukan lelaki dan kedudukan perempuan didalam rukuk dan sujud. Bahkan sebagaimana disunatkan kepada lelaki merenggangkan anggotanya begitu juga disunatkan kepada perempuan merenggangkan anggotanya.
Namun ada sebahgian ulama mujtahid yang lain pula bahkan ini adalah pandangan majoriti, mereka berpandangan bahawa DISUNATKAN KEPADA PEREMPUAN MERAPATKAN ANGGOTANYA KETIKA RUKUK DAN SUJUD.

Perlu kita tahu bahawa khilaf disini BUKANLAH KHILAF DIANTARA WAJIB ATAUPUN HARAM , BUKANLAH JUGA KHILAF ANTARA SAH SOLAT ATAU BATAL SOLAT , bahkan khilaf disini adalah KHILAF ANTARA MANA YANG LEBIH AFDHAL, hal ini dari kerana samaada perempuan itu merenggangkan atau merapatkan anggotanya didalam rukuk dan sujud maka kedua-dua keadaan tersebut masih lagi tidak terkeluar dari panggilan rukuk dan sujud, maksudnya masih dinamakan ia melakukan rukuk dan sujud, sebab itulah kedua-dua pandangan tersebut sepakat mengatakan SAH SOLAT PEREMPUAN YANG MERENGGANGKAN ATAU MERAPATKAN ANGGOTANYA ketika rukuk dan sujud , walaupun mereka berbeza pandangan pada manakah yang lebih afdhal.

4. Tidak ada dalil yang SOREH (jelas) lagi SAHIH dari nabi saw yang secara khusus menuntut supaya perempuan merenggangkan atau merapatkan anggotanya dalam rukuk dan sujud.
Cuma disana ada hadith yang dinilai dhaif oleh sebahagian ulama hadith, menuntut supaya perempuan merenggangkan anggotanya ketika rukuk dan sujud.

Antaranya ialah .


(1) riwayat dari 'Ata' ibn al-'Ajlaan, dari Abu Nadrah al-'Abdi, dari Abu Sa'id al-Khudri :
أنه كان يأمر الرجال أن يتجافوا في سجودهم ، ويأمر النساء ينخفضن في سجودهن .
bahawa Nabi saw memerintahkan kaum lelaki meluaskan lengan tangan mereka ketika sujud, dan memerintahkan kaum wanita supaya menjaga (merapatkan) lengan mereka ketika mereka sujud.
[al-Baihaqi mengatakan hadith ini munkar].

(2) riwayat dari Abu Mutee' al-Hakam ibn Abdullah al-Balkhi, dari Umar ibn Dharr, dari Mujahid, dari Abdullah ibn Umar berkata : Rasulullah saw bersabda :


إذا جلست المرأة في الصلاة وضعت فخذها على فخذها الأخرى وإذا سجدت ألصقت بطنها في فخذيها كأستر ما يكون لها وإن الله تعالى ينظر إليها ويقول يا ملائكتي أشهدكم أني قد غفرت لها.
Apabila seorang wanita duduk, maka dia hendaklah meletakkan pehanya diantara kedua-duanya, dan apabila sujud dia menekan perutnya pada pehanya, seperti apa yang lebih tertutup untuk dirinya, dan sesungguhnya Allah swt melihatnya dan berkata :'Ya Malaikatku, Aku menyaksikan kamu sesungguhnya aku telah mengampunkan dosanya'.
[ Sunan al-Kubra, lil-Baihaqiy 2/222 ]

(3) Riwayat dari Yazid ibn Abi Habib, berkata bahawa Rasulullah melalui 2 orang wanita yang sedang bersolat, baginda saw bersabda :


إذا سجدتما فضمَّا بعض اللحم إلى الأرض ؛ فإن المرأة ليست في ذلك كالرجل
Apabila kamu sujud, tekankan sebahagian daging (badan) kebumi, kerana sesungguhnya wanita tidak sama seperti lelaki didalam hal itu.
[ Abu Daud (al-Maraasiil) dan al-Baihaqi, 2/223 ]

5. Sebahagian ulama feqh melihat kepada asal perempuan adalah " مبناها على الستر " BINAANNYA ATAS TERTUTUP, maka apa yang sesuai dengan perempuan ketika melakukan rukuk dan sujud adalah dengan merapatkan anggotanya.

Sebab itulah kita dapati Imam as-Syafie rahimahullah di dalam kitab الأم juz.1 hlm.138 menjelaskan :


وَقَدْ أَدَّبَ اللَّهُ تَعَالَى النِّسَاءَ بِالِاسْتِتَارِ وَأَدَّبَهُنَّ بِذَلِكَ رَسُولُهُ - صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ - وَأُحِبُّ لِلْمَرْأَةِ فِي السُّجُودِ أَنْ تَضُمَّ بَعْضَهَا إلَى بَعْضٍ وَتُلْصِقَ بَطْنَهَا بِفَخِذَيْهَا وَتَسْجُدَ كَأَسْتَرِ مَا يَكُونُ لَهَا وَهَكَذَا أُحِبُّ لَهَا فِي الرُّكُوعِ وَالْجُلُوسِ وَجَمِيعِ الصَّلَاةِ أَنْ تَكُونَ فِيهَا كَأَسْتَرِ مَا يَكُونُ لَهَا ...
Sungguh Allah Ta’ala telah mendidik kepada para wanita dengan bertutup, begitu juga Rasulullah SAW telah mendidik mereka seperti itu, dan aku suka bagi wanita di dalam sujudnya bahawa dia merapatkan sebahagian anggotanya kepada sebahagian yang lain, dan dia melekatkan perutnya pada kedua pahanya, dan dia bersujud seperti keadaan yang paling menutupi sesuatu yang ada baginya, dan seperti ini aku suka bagi perempuan di dalam rukuk, duduk serta di dalam keseluruhan solatnya bahawa adalah dia didalam solatnya seperti yang paling menutupi sesuatu yang ada untuknya ...
Begitu juga imam Ahmad bin Hanbal.

Didalam مسائل أبي داود hlm.75 kata beliau :


سألت أحمد عن المرأة، كيف تسجد؟ قال: تضم فخذيها، قلت لأحمد: فجلوسها مثل جلوس الرجل؟ قال: لا.
Aku pernah bertanya imam Ahmad berkenaan perempuan bagaimanakah cara sujudnya, beliau menjawab : " perempuan perlu merapatkan kedua pehanya ", aku bertanya lagi kepada imam Ahmad " adakah duduknya sama seperti duduk lelaki ?", beliau menjawab : " tidak sama ".

Berkata imam Malik seperti apa yang disebut didalam kitab النوادر لابن أبي زيد juz.1 hlm.186 :


تضم بعضها إلى بعض، بقدر طاقتها، ولا تفرج في ركوع ولا سجود، ولا جلوس بخلاف الرجل.
Perempuan perlu merapatkan sebahagiannya kepada sebahagian yang lain sekadar mampu, dan tidak boleh ia merenggangkan pada ketika rukuk, sujud dan duduk. berbeza dengan lelaki.

Ramai sekali ulama dizaman salaf berpandangan seperti diatas, diantaranya boleh kita lihat dibawah ini :

Berkata imam Abdurrazzak didalam المصنف juz.3 hlm.137 :


[باب تكبير المرأة بيديها، وقيام المرأة وركوعها وسجودها]
[ Bab takbir perempuan dengan dua tangannya , berdiri , rukuk dan sujudnya ]

عن ابن جريج قال: قلت لعطاء: أتشير المرأة بيديها كالرجال بالتكبير قال: «لا ترفع بذلك يديها كالرجال، وأشار فخفض يديه جدا وجمعهما إليه» وقال: «إن للمرأة هيئة ليست للرجل».
Dari ibni Juraij katanya , aku berkata kepada 'Atho´ " adakah perempuan mengisyaratkan dengan dua tangannya seperti lelaki pada takbir ?", beliau menjawab " perempuan tidak mengangkat dua tanganya pada perbuatan tersebut seperti lelaki ", beliau menunjuk caranya lalu beliau merendahkan kedua tangannya dan merapatkan kedua-duanya kepada dirinya, beliau berkata " sesungguhnya bagi perempuan keadaan tidak seperti lelaki ".

عن الحسن، وقتادة، قالا: «إذا سجدت المرأة فإنها تنضم ما استطاعت، ولا تتجافى لكي لا ترفع عجيزتها».
Dari al-Hasan al-Basriy dan Qatadah keduanya berkata " apabila perempuan sujud maka perlu ia merapatkan semampu-mampunya, dan tidak merenggangkan supaya tidak terangkat tinggi punggungnya.

عن إبراهيم قال: «ولا تتجافى كما يتجافى الرجل، لكي لا ترفع عجيزتها».
Dari Ibrahim katanya " dan perempuan tidak merenggangkan seperti lelaki supaya tidak terangkat tinggi punggungnya ".

عن علي قال: «إذا سجدت المرأة فلتحتفز، ولتلصق فخذيها ببطنها».
Dari 'Ali katanya " apabila perempuan sujud maka hendaklah ia merapatkan, dan hendaklah ia rapatkan dua pehanya pada perutnya ".

Berkata imam Ibnu Abi Syaibah didalam المصنف juz.1 hlm.241 :


[المرأة كيف تكون في سجودها؟]
[ Perempuan bagaimanakah kedudukannya dalam sujud ]

عن علي، قال: «إذا سجدت المرأة فلتحتفر ولتضم فخذيها».
Dari 'Ali katanya " apabila perempuan sujud maka hendaklah ia merapatkan dua pehanya ".

عن ابن عباس أنه سئل عن صلاة المرأة، فقال: «تجتمع وتحتفز».
Dari Ibni Abbas bahawasanya beliau ditanya tentang solat perempuan, beliau menjawab " perempuan perlu merapatkan ".

عن إبراهيم، قال: «إذا سجدت المرأة فلتضم فخذيها، ولتضع بطنها عليهما».
Dari Ibrahim katanya " apabila perempuan sujud maka hendaklah ia merapatkan dua pehanya dan hendaklah dia meletakkan perutnya atas dua pehanya ".

عن مجاهد أنه «كان يكره أن يضع الرجل بطنه على فخذيه إذا سجد كما تضع المرأة».
Dari Mujahid bahawasanya beliau tidak suak lelaki meletakkan perut atas dua pehanya apabila ia sujud seperti apa yang dilakukan oleh perempuan.

عن الحسن، قال: «المرأة تضطم في السجود».
Dari al-Hasan al-Basriy katanya " perempuan merapatkan pada ketika sujud ".

6. Oleh kerana masaalah ini masih lagi didalam lingkungan masaalah khilafiyah diantara ulama muktabar MAKA KITA PERLU BERLAPANG DADA.

Ana sendiri lebih cenderung kepada pendapat imam Syafei dan lain-lain yang mengatakan perempuan perlu merapatkan anggotanya ketika sujud dan rukuk,
bukanlah kerana ana menganggap meraka ini adalah maksum, akan tetapi kerana ana yakin mereka ini adalah AHLI HADITH DAN AHLI FEQH yang dikitiraf keilmuannya dan diiktiraf mempunyai kemampuan yang tinggi didalam memahami nas-nas syara'.

dalam masa yang sama kalau ada pihak lain yang ingin mengambil pandangan yang mengatakan perlu MERENGGANGKAN maka terpulanglah.

والله أعلم بالصواب

وفقنا الله وإياكم لما يحبه ويرضاه ، أكتب ما ترون وأستغفر الله العظيم لي ولكم.
أبو أسامة محمد حنفية الشافعي

- Siakapkeli.my
Sekiranya anda berminat untuk jimatkan kredit telefon anda boleh tekan sini.
Blogger ( 0 ulasan )

Sedang Hangat

©2014 Siakapkeli