Bacaan
Hangat
Terkini
Viral

Lebih Baik ‘Mengajak’ Dari ‘Menyuruh’ Dalam Melakukan Sesuatu Perkara Supaya Anak Ikhlas & Bukannya Kerana Takut Kepada Ibu Bapa

No Comment

Mendidik anak bukanlah tugas yang mudah, ia memerlukan pengorbanan dari segi masa, dan kesabaran yang tinggi. Ini kerana, setiap anak mempunyai perilaku mereka yang tersendiri, dan dalam mendidik anak, ibu bapa harus tahu bagaimana karakter anak mereka terlebih dahulu.

Bukan itu sahaja, dalam mengajar anak, sebagai ibu bapa, kita seharusnya menggunakan bahasa, ayat, atau contoh yang baik buat mereka. Jika kita sebagai dewasa, yang tidak suka mendengar perkataan yang berunsurkan arahan, apatah lagi anak-anak.

Sebolehnya, jika kita ingin anak melakukan sesuatu, lebih baik jika ibu bapa memberikan contoh kepada mereka, dan anak-anak boleh mengikuti dengan rela hati. Bagi saudara Salkukhairi Abd Sukor, cara yang baik dalam mendidik, atau mengajar anak adalah dengan ‘mengajak’ mereka, bukan ‘menyuruh’ mereka, ingin tahu bagaimana, mari kita ikuti perkongsian darinya.


AJAK ANAK-ANAK KITA LAKUKAN 10 PERKARA INI BUKANNYA SURUH MEREKA LAKUKANNYA.

Sebagai ibu bapa kita sering menyuruh anak-anak kita melakukan sesuatu perkara yang kita rasa mereka perlu lakukannya.

Misalnya ramai ibu bapa yang menyuruh anak-anak mereka pergi mengaji AlQuran sedangkan mereka sendiri tidak mengaji AlQuran, sebaliknya hanya bermain henfon sahaja tatkala anak-anak mengaji AlQuran.

Sebenarnya cara yang terbaik untuk meminta anak-anak kita melakukan sesuatu adalah dengan cara MENGAJAK mereka melakukan sesuatu, bukannya MENYURUH mereka melakukannya.

Kenapa saya kata begitu? Ini kerana apabila kita suruh anak-anak kita melakukan sesuatu perkara sedangkan kita sendiri pun tidak melakukannya bersama-sama mereka, mereka akan melihat arahan/ suruhan tersebut hanyalah sekadar cakap tak serupa bikin sahaja.


Kesannya mereka akan melakukan suruhan tersebut dengan terpaksa sebab takut kepada ibu bapa dan bukan melakukannya dengan penuh keikhlasan.

Jika begitulah keadaannya manakan mungkin datangnya keberkatan dalam sesuatu perkara yang dilakukan oleh anak-anak kita. Sebab kita hanya pandai memberi arahan sahaja kepada anak-anak tanpa kita sendiri mempraktikkannya bersama sama mereka sebagai contoh ikutan dan tauladan yang baik buat mereka.

Nabi sendiri pun tidak menyuruh umat umatnya melakukan sesuatu perkara tetapi sebaliknya baginda mengajak kita melakukan sesuatu perkara sebagaimana yang baginda sendiri lakukannya.


Disini saya ingin kongsikan sedikit pengalaman saya antara beberapa perkara yang saya biasa AJAK anak-anak saya lakukannya. Mungkin coretan perkongsian ini dapat sama sama kita jadikan iktibar dan secara tidak langsung dapat memperbaiki diri dan kelemahan saya sendiri, insya Allah.

1. Saya AJAK anak-anak saya solat berjemaah di masjid, terutamanya pada waktu solat maghrib. Cara ini dapat mendekatkan jiwa anak-anak kita dengan masjid.

2. Saya AJAK anak-anak saya membaca dan memahami ayat ayat AlQuran dan terjemahan nya secara bergilir gilir. Melalui cara ini kita dapat menyemak bacaan AlQuran anak-anak kita dan dapat sama- sama mengambil iktibar dan pengajaran daripada terjemahan ayat ayat yang dibacakan tadi.

3. Saya AJAK anak-anak saya bermain bola bersama sama pada waktu petang di halaman rumah. Cara ini dapat mengeratkan hubungan kita dengan anak-anak dan anak-anak akan rasa disayangi kerana kita sanggup "turun padang" bermain bersama sama mereka.

4. Saya AJAK anak-anak melakukan kerja-kerja rumah seperti sapu sampah, angkat barang, basuh pinggan, jemur kain dan lain-lain. Cara ini dapat melatih mereka supaya lebih berdikari dan biasa dengan kerja kerja rumah. Tak de lah nanti mereka "mengkulikan" ibu bapa bila besar kelak.

5. Saya AJAK anak-anak saya bergurau dan berlawak. Cara ini dapat mengurangkan gap antara kita dengan anak-anak dan anak-anak akan rasa lebih enjoy untuk bersama dengan kita.


6. Saya AJAK anak-anak saya mengulangkaji pelajaran dan buat homework sambil saya bantu guide mereka untuk selesaikan homework mereka. Cara ini dapat menjadikan mereka lebih faham terhadap pelajaran yang dipelajari di sekolah.

7. Saya AJAK anak-anak saya mengasah bakat-bakat yang mereka ada seperti bernasyid, bersyarah, public speaking dan lain-lain. Cara ini dapat melatih mereka lebih yakin pada diri sendiri dan mendedahkan mereka kepada ciri-ciri kepimpinan.

8. Saya AJAK anak-anak tengok tulisan-tulisan saya yang disiarkan di akhbar, dan melihat buku-buku tulisan saya. Cara ini dapat memberi motivasi kepada mereka untuk memberi sumbangan sesuatu kepada masyarakat pada masa hadapan.

9. Saya AJAK anak-anak saya memberi sedekah, sumbangan dan bantuan kepada pihak pihak yang memerlukan. Cara ini dapat melatih anak-anak kita supaya ambil berat terhadap masalah orang lain dan tidak kedekut untuk menyumbangkan sesuatu untuk orang lain.

10. Saya AJAK anak-anak join program-program saya supaya mereka dapat bercampur gaul dengan orang lain dan dapat belajar serta membiasakan diri tentang bagaimanakah cara deal dan berhadapan dengan orang lain di dalam sesuatu urusan pada masa akan datang.

Bagaimana cara terbaik untuk kita AJAK anak-anak kita itu, ianya banyak bergantung kepada skill, ilmu dan pengalaman masing masing. Apa yang penting jangan mudah putus asa untuk terus AJAK dan AJAK anak-anak dan keluarga kita melakukan sesuatu kebaikan kerana Allah Taala. Insya Allah.

SALKUKHAIRI ABD SUKOR

- Siakap Keli

BACA: Benarkah Kita Menghukum Untuk Mendidik Anak, 7 Perkara Ini Perlu Diambil Kira Terlebih Dahulu Sebelum Menghukum Anak
Sekiranya anda berminat untuk jimatkan kredit telefon anda boleh tekan sini.
Blogger ( 0 ulasan )

Sedang Hangat

©2014 Siakapkeli