Bacaan
Hangat
Terkini
Viral

Perunding Hartanah Ini Ada Jawapan Bagi Persoalan, Benarkah Hartanah Rizab Melayu Sukar Dijual

No Comment

Seperti yang sedia maklum, hartanah rizab Melayu sudah semestinya, hartanah tersebut adalah dimiliki oleh bangsa Melayu sahaja, jadi segala proses jual beli, perlulah mengikuti apa yang telah termaktub dalam syarat hartanah tersebut.

Namun begitu, jika ingin menjual hartanah tersebut, adakah pemilik hartanah rizab Melayu ini akan mempunyai kesukaran dalam memastikan urusan jual belinya berjaya?

Perunding hartanah, saudara Syakir Zainol,  ada jawapannya, dan telah kongsikan faktor atau penyebab sesuatu hartanah itu sukar untuk dijual, khususnya hartanah rizab Melayu ini.

Mari kita ikuti perkongsian darinya.


BENARKAH HARTANAH RIZAB MELAYU SUKAR DIJUAL?

Saya menerima satu soalan daripada seorang klien berkenaan dengan isu sejauh mana benarnya hartanah yang memiliki status rizab Melayu sukar untuk dijual kembali.

Sebagai jawapannya, saya telah mengatakan bahawa dalam keadaan tertentu, hartanah rizab Melayu lebih mudah dijual berbanding hartanah berstatus 'leasehold' yang dimiliki oleh pemilik Melayu.

Persoalannya ialah, kenapa dan bagaimana?

Halangan Dan Sekatan

Terlebih dahulu mari kita kenalpasti apakah halangan dan sekatan yang dimiliki oleh hartanah rizab Melayu.

Jelas daripada statusnya, satu-satu hartanah rizab Melayu merujuk kepada hartanah yang hanya boleh menjadi milikan pemilik yang berbangsa Melayu sahaja.

Jadi disini isu yang berkemungkinan timbul adalah berkaitan dengan permintaan daripada orang-orang Melayu itu sendiri.

Kata kuncinya, benarkah hartanah rizab Melayu itu rendah permintaannya?

Secara amnya hartanah rizab Melayu terdapat di lokasi yang mana majoriti populasinya terdiri daripada orang-orang Melayu yang sejak dahulu lagi sudah meneroka dan membangunkan kawasan itu generasi demi generasi.

Mereka sudah selesa berkampung di kawasan yang sudah menjadi warisan daripada nenek moyang mereka zaman berzaman.

Sukar untuk dikatakan seandainya terjadi penurunan permintaan oleh orang Melayu bagi hartanah di kawasan yang dimonopoli asal mereka adalah disebabkan oleh hanya kerana status hartanah itu rizab Melayu.

Maka kita boleh rumuskan faktor kekangan kaum (Melayu) itu tadi bukanlah penentu utama kepada turun naik permintaan hartanah di satu-satu kawasan itu.

Inisiatif Kerajaan Negeri

Tahukah anda di negeri Selangor, hartanah berstatus 'leasehold' yang dimiliki oleh orang Melayu hanya boleh dijual kembali kepada orang Melayu?

Ini terjadi berikutan daripada inisiatif kerajaan negeri merangka satu polisi tersirat yang bertujuan untuk mengawal kuota pemilikan hartanah bumiputera dan memelihara komposisi kaum di satu-satu kawasan dalam negeri Selangor.

Syarat wajib
mendapatkan kelulusan permohonan pindahmilik satu-satu hartanah berstatus 'leasehold' memerlukan consent (kebenaran) daripada kerajaan negeri, maka selalunya permohonan yang melibatkan pindahmilik daripada pemilik Melayu kepada bukan Melayu akan ditolak.

Faktor Majoriti Penduduk

Kesukaran yang bakal terjadi kepada pemilik berbangsa Melayu dalam kes sebegini adalah sekiranya mereka memiliki hartanah 'leasehold' di kawasan yang majoritinya didiami oleh bukan Melayu, hartanah itu mungkin lebih sukar terjual kerana wujudnya 2 faktor penghalang iaitu:

1) Permintaan yang kurang daripada pembeli Melayu di kawasan majoriti bukan Melayu.

2) Unit hartanah milikan Melayu tidak boleh dipindahmilik kepada pembeli bukan Melayu.

Sebagai contoh, sebuah apartment di Cheras yang mana populasinya terdiri daripada 70% bukan Melayu kurang mendapat permintaan orang-orang Melayu.

Walaupun ada pembeli bukan Melayu yang berminat tetapi mereka tidak layak membeli berikutan halangan kerajaan negeri ditambah lagi dengan kedudukan unit itu yang terletak di tingkat 4 yang rata-ratanya tidak digemari oleh orang-orang Cina.

Namun sebaliknya di kawasan sekitar lokasi yang sarat dengan penduduk Melayu seperti Taman Tun Dr Ismail, Gombak, Bangi yang memiliki banyak hartanah rizab Melayu, sentiasa memperolehi permintaan yang tinggi daripada orang-orang Melayu sekitar bahkan turut mencatatkan kenaikan nilai pasaran yang stabil saban tahun.


Kesimpulannya, antara faktor yang menentukan satu-satu hartanah itu mudah atau sukar untuk terjual lebih menjurus kepada perkara-perkara seperti lokasi, permintaan dan kebolehan untuk dipindahmilik.

Sekiranya hartanah di satu-satu kawasan itu memperolehi permintaan yang tinggi dan memiliki lokasi yang strategik maka tidak kiralah apa jua pun statusnya maka pastilah ianya lebih mudah terjual.

Begitu juga seandainya satu-satu hartanah itu walau sebanyak mana pun permintaannya namun jika melanggar syarat-syarat dan polisi pindahmilik kerajaan negeri maka ianya menjadi lebih sukar untuk dijual.

- Siakap Keli

BACA: Berbaloikah Memiliki Hartanah Di 4 Lokasi Strategik Ini, Pemuda Ini Kongsikan Kupasannya
Sekiranya anda berminat untuk jimatkan kredit telefon anda boleh tekan sini.
Blogger ( 0 ulasan )

Sedang Hangat

©2014 Siakapkeli