Bacaan
Hangat
Terkini
Viral

Berbaloikah Menghabiskan Wang Ringgit Dan Masa Hanya Untuk Ke Acara Perbukuan? Lelaki Ini Kongsikan 6 Manfaat Yang Diperolehi (Lagi-Lagi Buat Para Karyawan)

No Comment
Gambar Hiasan

Terdapat banyak acara yang berlangsung di dalam negara, yang merupakan acara tahunan, dibuat secara besar-besaran, ianya di mana banyak para usahawan atau para saintifik mahu pun para cendiakawan berkumpul untuk berkongsi cerita atau idea akan isu semasa juga pada masa hadapan.

Namun begitu, jika acara tersebut berlangsung di luar negara, sudah semestinya kita akan membuat kira-kira, sama ada ingin menghadirkan diri juga, atau tidak. Bukan tidak berminat, tetapi risau akan pelaburan yang perlu dikeluarkan kelak.

Tetapi, bagi mereka yang sememangnya mempunyai jiwa yang kental, dan yakin akan peluang yang ada, alasan sebegitu tidak wujud dalam kotak pemikiran mereka. Begitu jugalah yang berlaku kepada saudara Zamri Mohamad ini, di mana dia pergi ke Singapura untuk menghadiri acara perbukuan di sana. Jom kita baca apakah impaknya kepada diri, dengan mengikuti acara perbukuan ini.


Enam Sebab Kenapa Pada Setiap Tahun Kami Ke Acara Perbukuan Luar Negara

"Apa engkau fikir dengan kos empat angka dan ada yang menghampiri lima angka (jika semakin jauh lokasi) yang dibelanjakan untuk hadir akan dapat layanan tarik kerusi dan dipersilakan duduk?"

Tolonglah, ini bukan cerita Cinderella. Mari saya cerita satu kebenaran.

Entri ini panjang, saya sarankan klik butang share sekarang. Selepas ini boleh baca semula secara tenang-tenang.

Baik, saya sambung semula.

Menyertai festival penulis dan mana-mana acara perbukuan merupakan aktiviti yang memenatkan.

Saya beritahu situasinya.

Kita akan berkejar-kejar mengikuti pembentangan. Kemudian ada masa tak dapat masuk kerana dewan penuh. Sila beratur atau berlari jika mahu pergi ke sesi seterusnya.

Ada situasi sesat dan tak jumpa lokasi juga, khususnya jika ratusan acara dipecahkan di beberapa lokasi sekitar bandar.

Sesekali bergaduh dengan kakitangan yang menjaga pintu, sengaja buat begitu agar pintu dibuka. Itu pun selepas muka kasihan Puss in Boots tidak menjadi.

Selain itu, dilema memilih dua sesi yang sama-sama kuat yang bermula pada waktu yang sama. Kita berdiri lama di depan papan jadual, mesti pilih salah satu.

Jadual yang padat, beli sahaja burger segera dan air botol, letak dalam beg siap-siap. Makanan dan buku yang dijual di sana menjadi ganda tiga sehingga ganda tujuh berbanding ringgit Malaysia.
Jumpa orang penting-penting, hanya ada dua hari sesi, tempoh masa ada enam jam dan berpuluh-puluh orang yang mahu kita temui. Jika kita betul-betul sudah tetapkan hati mahu bertemu, dua bulan sebelum terbang ke sana kita sudah tetapkan temujanji.

Berapa lama dapat berbual? Sepuluh minit sahaja.

Tempoh ini menentukan kita akan dapat bercakap lagi dalam emel dan pertemuan akan datang.

Tetapi kenapa ada orang sanggup melalui perkara-perkara ini?

Saya Berikan Enam Sebab Yang Muncul Dalam Kepala.


1. Kita Ke Sana Bagi Mendapatkan Network Baharu

Pembentang, delegasi dan penganjur merupakan tiga kumpulan berpotensi menjadi network kita dalam acara seperti ini.

Mereka datang dari negara-negara berbeza dan membawa cara berfikir, model tindakan dan rancangan yang berlainan.

Kata cikgu saya, "Wajah yang sama datang ke acara seperti ini pada setiap tahun merupakan bukti ketulenan seseorang dalam industri perbukuan."

Kenapa cikgu saya bilang begitu?

Kita hanya mendapat kepercayaan dan kerjasama hanya disebabkan konsisten tunjuk muka di acara yang sama pada setiap tahun.

Mereka yang palsu dalam padang ini tidak dapat bertahan.

Semalam penganjur mengadakan sesi minum kopi.

Ruang dipecahkan mengikut negara dan masing-masing berada dalam kelompok yang ditetapkan.

Kemudian kami bebas memilih mahu merapati siapa dalam kumpulan peserta dari negara-negara lain dan berbual-bual sambil minum kopi.

Kita cuba mencari keselarian dan keserasian.

Semalam, salah seorang delegasi merapati kami dan memberitahu, "Pada setiap tahun saya lihat wajah saudara. Saya ingin memperkenalkan diri saya...." maka perbualan yang jujur bermula.

Ayat itu hanya muncul selepas beberapa tahun mereka melihat kita dalam acara yang sama.

2. Kita Ke Sana Kerana Adanya Sesi Pembentangan Yang Paling Relevan

Juergen Boos, Presiden dan CEO Frankfurt Book Fair dalam sesi kami ikuti pada tahun lalu sudah memberikan peta besar apa yang akan dilakukan pada tahun-tahun akan datang dalam menjadikan semua orang dalam bidang perbukuan kekal relevan dan berkembang.

Kita sudah siap-siap dalam fikiran apa yang mahu dirancang dan dilakukan.

Manakala, pada malam semalam saya cepat-cepat memberitahu dalam grup Telegram para peserta bengkel terdahulu.

Saya beritahu apa yang perlu dilakukan oleh penulis-penulis sebelum suku tahun kedua tahun hadapan.

Ini gara-gara maklumat yang diberikan oleh Head of Partnership Wattpad, Ashleigh Gardner.

Esoknya, Teguh Wicaksono dari Twitter Indonesia memberikan satu kes studi yang sangat praktikal.


3. Kita Ke Sana Agar Berada Dalam Perbualan Yang Penting

Selepas pembentangan, akan ada perbualan-perbualan penting berlaku sambil minum kopi pada waktu rehat.

Sama ada kita mendekati pembentang dan bertanya lanjut, tunjukkan apa yang kita mahu lakukan atau berbual dengan delegasi lain dalam topik yang sama.
Kesan daripada perbualan penting, kita mendapat rangka kerja yang jauh lebih baik hasil daripada respon mereka.

Perbualan penting ini saya jadikan modul kerja kepada penulis baharu. Mereka dapat amalkan kerana template-template kerja sudah sedia diberikan.

Perbualan yang penting juga memberi kita peluang mencuba nasib mengirimkan manuskrip kepada para penerbit yang berada dalam acara.

"Mengapa tidak? Ayuh kita coba," kata wakil penerbit dari Indonesia selepas pembentangan semalam.

4. Kita Ke Sana Bagi Mendapatkan Peluang Bermentor

Lanjutan daripada acara perbukuan seperti ini, kita mula merancang memanjangkan hubungan dengan menjadikan mereka sebagai mentor bagi mendapatkan maklum balas kerja.

Kita mula merancang menambah hari ke festival penulis pada tahun hadapan agar dapat bertemu mentor kita sebelum acara bermula.

5. Kita Ke Sana Mencari Kawan-Kawan Dalam Industri

Maksud mencari kawan-kawan dalam industri ini saya terangkan dalam satu cerita yang diberitahu oleh wakil rumah penerbitan.

Dalam situasi ekonomi kita sekarang yang memberi kesan kepada aktiviti perbukuan, banyak penerbit mati akal dan penulis pula ada yang sudah terkeluar dari padang.

Buku tetap terbit meskipun ekonomi suram. Tetapi apa yang dapat dilakukan? Duduk di meja kopi dan bercerita siapa salah atau pada masa ini kita mesti dikelilingi kawan-kawan yang dapat mencetuskan solusi?

Cerita wakil penerbit dalam pengalaman beliau, "Saya hadiri sesi para penerbit. Pada waktu itu wakil penerbit dari Sepanyol memberitahu mereka sudah pun alami situasi yang kita lalui sejak tahun tujuh tahun lalu. Kemudian saya bercakap-cakap dengan penerbit dari Amerika, beliau ajak saya minum kopi di luar."

Apa yang berlaku?

Beliau sambung, "Pada waktu itu, penerbit Amerika ini tunjukkan kepada saya apa yang dilakukan satu persatu ketika hal yang sama mereka lalui beberapa tahun lalu dalam model kerja peralihan. Ada juga wakil penerbit dari satu negara berikan kami fail-fail buku yang mahu dilesenkan selepas kami beritahu terang-terang situasi kami. Beliau kata, bisnes buku memang turun naik, ambil semua fail ini, terbitkan dan usahakan dapat wangnya dahulu, pembayaran kita bawa ke depan pada waktu awak mampu. Saya beri (fail-fail) kerana percaya kamu orang baik.


6. Kita Ke Sana Bagi Menambah Pintu-Pintu Mencari Rezeki

Kerjasama baharu timbul sesama penulis juga. Perkara ini selalu bermain dalam fikiran saya.

Dapatkah kita bayangkan hanya disebabkan kita memilih berada dalami aktiviti perbukuan seperti ini, banyak kolaborasi dapat diusahakan.

Saya berikan satu contoh. Seorang penulis buku kekeluargaan di Malaysia datang ke acara seperti ini. Dalam dua tiga hari ini, beliau dapat bertemu dengan beberapa orang penulis dari negara lain. Mereka menulis dalam genre yang sama.

Apa yang berlaku kepada penulis tempatan ini?

Beliau sudah pun risik-risik dan mahu bereksperimen menulis buku kekeluargaan bersama-sama dua penulis dari negara lain.

Disebabkan akan diterbitkan dalam negara sendiri. Penulis mendapat kerjasama penterjemah.

Dapatkah kita lihat berapa jauh ke depan pakej buku beliau berbanding buku sedia ada dalam pasaran?


Itulah enam sebab yang besar.

Terus-terang saya bilang, dalam acara perbukuan seperti ini sama ada festival penulis, forum penerbitan, pasar pelesenan dan pesta buku antarabangsa, semua ini sebenarnya acara kita bekerja.

Malam-malam pulang. Badan sudah penat, terus bangkit dari katil dan menelefon isteri melalui Whatsapp.

Sesekali mendengar anak yang baru mahu menginjak dua tahun menyebut ayah berkali-kali di corong telefon. Bilik kosong tidak lama sunyi kerana suara mereka.

Membilang hari bertemu mereka dan kemudian terbang semula mencari enam perkara di atas. Untuk siapa?

Diri sendiri dan para penulis baharu yang penting dan mesti dilatih dalam sesi akan datang. - Siakap Keli

BACA: Dengan Membaca 4 Buah Buku Seminggu, Dalam Pelbagai Genre, Pemuda Ini Mampu Menulis Sehingga 11 Buah Manuskrip Setahun
Sekiranya anda berminat untuk jimatkan kredit telefon anda boleh tekan sini.


Blogger ( 0 ulasan )

Facebook ( comments)

Sedang Hangat

©2014 Siakapkeli