Bacaan
Hangat
Terkini
Viral

Nasibmu Oh Kapal Korek, Tragedi Hitam Kapal Korek 1984 Tinggalkan Kesan Dalam Sejarah Perlombongan Negara Yang Ramai Kita Tidak Ketahui


Jika sebelum ini kita meliha di dalam stesyen tv seperti Discovery Channel kisah kapal korek yang digunakan diluar negara untuk mencari emas, ramai mengagumi kehebatan mesin yang mereka gunakan itu.

Tapi tahukah anda, bahawa kapal korek yang anda lihat di tv berkenaan sebenarnya ada di Malaysia di mana ia telah digunakan pada zaman membijih timah yang ditinggalkan penjajah sebelum ini.

Mungkin rekabantuknya kelihatan lama namun teknologi yang diguna pakai adalah hampir sama dengan yang kita lihat di tv.

Namun, apakah nasib aset bernilai negara yang pernah lihat di dalam buku sejarah ini? tahukah kita disebalik kapal korek ini sebenarnya ia meninggalkan begitu banyak kesan kepada pelombong-pelombong bijih timah pada zaman pembangunan Malaysia.

Sebuah artikel yang cukup baik mengupas dan menceritakan tentang sejarah kapal korek telah dimuataik oleh saudara Jusuh Ibdullah ke laman Facebooknya, kisah sejarah hitam yang pernah terjadi, nasib kapal korek itu kini dan zaman kegemilangannya yang makin pudar.

NASIBMU OH KAPAL KOREK

Kapal korek Sri Banting atau Sri Banting Dredge adalah sebuah kapal korek yang digunakan untuk melombong bijih timah. Kini kapal korek yang mempunyai berat 4500 tan ini sudah tidak digunakan lagi dan tersadai sepi di tepi lombong bersebelahan Lebuhraya ELITE di Dengkil, Selangor (setakat yang diketahui, kapal korek ini masih lagi disitu).


Sri Banting Dredge

1. Kapal korek Sri Banting yang pernah dioperasikan oleh syarikat Timah Langat Berhad (mula beroperasi pada tahun 1977) merupakan kapal korek terakhir yang masih wujud di Selangor, dan salah satu dari dua yang masih tinggal di Malaysia selepas Kapal korek Tanjung Tualang 5 (TT5 Dredge).

2. Kapal korek TT5 kini dijadikan Muzium Kapal Korek Bijih Timah di Batu Gajah, Perak dan dibuka untuk dilawati oleh umum (bakal menjadi kapal korek terakhir) manakala nasib Sri Banting pula kian kabur, mungkin sedang menunggu masa untuk dijual ke luar negara.

3. Suatu masa dahulu kapal korek Sri Banting seperti mana lain-lain kapal korek beroperasi selama 24 jam tanpa henti. 15 orang pekerja diperlukan untuk mengoperasikannya dalam sesuatu masa bagi setiap syif.


Petaling Dredge No 9 (Pet D9 Dredge) as seen at Paya Indah Wetland before she disappeared 
from there around 2008-2009. 

4. Sri Banting adalah antara kapal korek yang direka untuk tidak beroperasi menggunakan sistem pendorongnya sendiri (without on-board generation set) sebaliknya menggunakan kuasa elektrik dari penyedia perkhidmatan utiliti TNB (sebelumnya LLN). Kabel elektrik disambung ke Sri Banting dengan cara ia diapungkan di atas permukaan air.

5. Pada tahun 1990, kos operasinya dari bil elektrik sahaja (tidak termasuk gaji kakitangan) menelan belanja RM140 ribu hingga RM150 ribu sebulan. Sri Banting memiliki 110 bucket yang digunakan untuk mengeruk ke dalam bumi sehingga kedalaman 25 meter bagi melombong bijih, yang mana setiap satu bucket bernilai RM10 ribu.


Contoh bucket line dredging

6. Setiap bucket perlu ditukar jika ia telah mencecah 35 ribu jam penggunaan atau bersamaan dua tahun. Anggaran kos untuk memiliki kapal korek pada sekitar tahun70an - 80an adalah sekitar 20 hingga 25 juta ringgit bergantung pada saiz dan keupayaan.

TAHUKAH ANDA (Fakta Ringkas Mengikut Kajian Penulis mengenai Perlombongan Bijih Timah di Selangor).

7. Syarikat Timah Langat Berhad juga dipercayai pernah memiliki sebuah lagi kapal korek dengan nama Sri Dengkil (Kod CP1, rujuk laman web OCIE) tetapi telah dijual lebih awal. Selangor Dredging Berhad (SDB) dan Petaling Tin Berhad adalah antara syarikat perlombongan yang pernah beroperasi di lombong-lombong sekitar Dengkil dan Paya Indah.


Dredge no 2, Selangor Dredging Berhad

8. Kampung Selangor Dredging yang terletak ditengah antara lombong-lombong Dengkil dan Paya Indah bersebelahan Lebuhraya ELITE adalah sebuah kampung yang menempatkan kediaman (kuarters) untuk kakitangan SDB bermula sekitar 60an, dan kampung itu masih wujud hingga kini.

9. Memandangkan SDB adalah syarikat terawal yang mengoperasikan kapal korek di kawasan berkenaan, sebahagian pekerjanya yang menetap disitu ramai yang berasal dari Perak dan kawasan lain seperti Kuala Lumpur. Ini kerana mereka memilki pengalaman yang cukup luas dalam pengoperasian kapal korek berbanding penduduk tempatan.


Kapal Korek Tanjung Tualang 5 (TT5 Dredge), Tin Dredge Heritage, Perak

10. SDB menghentikan operasi perlombongannya pada Mac 1992 setelah operasi SD Dredge no.1 (SD1?) telah diberhentikan sepenuhnya dan beralih kepada perniagaan sektor hartanah akibat harga timah dunia jatuh menjunam. (SD Dredge no.1 siap dipasang pada tahun 1966 dan ditauliahkan pada tahun 1967).

11. Kedua-dua kapal korek (yang terbesar di dunia) milik SDB telah dijual bermula pada tahun 1983 dengan SD Dredge no.2 (SD2?) kepada syarikat perlombongan timah di Kepulauan Bangka, Indonesia. Manakala kapal korek milik Petaling Tin Berhad iaitu Petaling Dredge no.9 (Pet D9) yang pernah menjadi tarikan di Paya Indah Wetland telah hilang dari lokasi terakhirnya yang diketahui di Paya Indah sekitar 2008-2009 setelah dijual dan dihantar ke negara yang tidak diketahui.


Mambang Di Awan Dredge (MDA Dredge)

12. Antara syarikat pelombongan lain yang diketahui pernah beroperasi di Selangor adalah seperti Selayang Tin Dredging dan Rawang Tin Dredging Berhad. Rawang Tin Dredging menempatkan pekerjanya di kuarters pekerja di Kampung Rawang Tin di Rawang (kini telah dibangunkan semula oleh Kerajaan Negeri menjadi Taman Rawang Tin).

13. Kampung Rawang Tin adalah antara penempatan terawal yang memperolehi kemudahan bekalan elektrik setelah elektrik disalurkan ke kawasan disitu dan sekitarnya bagi menyokong aktiviti perlombongan bijih timah 24 jam sehari.

TRAGEDI HITAM KAPAL KOREK

14. Siapa pun tidak akan dapat melupakan peristiwa pahit tragedi hitam yang pernah terpalit dalam sejarah perlombongan Negara. Pada hari Rabu tanggal 8 haribulan Ogos 1984, sebuah kapal korek milik Sungai Klang Dredging Sdn Bhd terbalik di sebuah lombong yang terletak di Batu 13 Puchong.

15. Menurut sumber, kejadian menyayat hati itu menyebabkan tujuh orang terkorban. Tiga puluh orang sedang berada di kapal korek berkenaan ketika kemalangan itu berlaku. Tujuh orang terperangkap dalam kapal korek tersebut melibatkan empat orang pekerja biasa, dua orang jurutera dan seorang lagi adalah pemilik kapal dan syarikat berkenaan, Michael Tang.



16. Selebihnya berjaya menyelamatkan diri dengan melompat ke dalam (kawasan) lombong sedalam 25 meter itu dan berenang ke darat, dimana mereka dibawa ke klinik kerajaan yang berhampiran untuk mendapatkan rawatan.

17. Operasi mencari dan menyelamat dimulakan serta-merta tetapi kemudian mula terhalang oleh kegelapan malam. Ketua Polis Selangor Komisioner Abdul Rahim Mohamed Noor, yang bertanggungjawab bagi operasi itu berkata kejadian ini dipercayai adalah yang pertama seumpamanya. 

Beliau berkata, anak-anak kapal dan jurutera sedang menjalankan proses pembaikan pada kapal korek malang itu sejurus sebelum kemalangan itu berlaku. Menteri Perusahaan Utama, Datuk Paul Leong mengarahkan agar siasatan dijalankan segera.

18. Pegawai kerajaan Yip Siew Ngoh, Senior Inspector of Mines, bahagian selatan, berkata kapal korek terbalik selepas salah satu pontoon yang menyokongnya bocor. Ketika usaha pembaikkan dijalankan, Ia mula hilang imbangan hingga dimasuki terlalu banyak air selepas salah satu dari pam pula tiba-tiba gagal berfungsi.

19. Keadaan yang sudah tidak terkawal itu menyebabkan air bah dengan pantas ke dalam badan kapal dari sebelah sisi mengakibatkan kapal korek malang itu terus terbalik sepenuhnya hingga bahagian bawahnya timbul dengan sedikit menyenget dipermukaan air.

20. Salah seorang mangsa yang terkorban adalah ayah kepada selebriti Jimmy Shanley Salleh.

21. Kemalangan yang tidak diduga ini juga sempat mencetuskan polimik diantara ahli keluarga mangsa dan pihak yang bertanggungjawab melibatkan keupayaan anggota penyelam TLDM dalam aktiviti menyelamat yang mengambil masa berhari-hari lamanya untuk membawa keluar baki empat mangsa yang masih hilang.


22. Kegagalan penyelam TLDM membawa keluar baki mangsa yang hilang walaupun operasi menyelam untuk mencari dilakukan setiap hari telah melahirkan perasaan kurang senang ahli keluarga mangsa hingga menyebabkan mereka meminta Menteri Besar Selangor Datuk Haji Ahmad Razali Ali dan beberapa pihak lain masuk campur untuk membiayai kos bagi mengunakan khidmat penyelam komersial.

23. Frogmen dari TLDM nampaknya tidak boleh menjalankan operasi menyelamat dengan berkesan kerana ketika itu penyelam TLDM masih belum dilengkapi peralatan yang bersesuaian dalam usaha menyelamat kerana air lombong yang keruh dan halangan di dalam air terutamanya dalam rangka kapal korek, jadi lombong mungkin perlu dipam hingga kering sebelum mana-mana mayat mangsa boleh dikeluarkan.

24. Menyedari akan hakikat pentingnya keperluan seperti ini, kejadian ini seolah membuka mata kepada pihak kerajaan selepasnya apabila Jabatan Bomba (kini Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia) dan beberapa agensi lain mula dilengkapi dengan peralatan menyelam yang khusus dan bersesuaian bagi operasi menyelamat.



25. Rentetan dari peristiwa hitam ini juga telah menyebabkan pihak Kerajaan mengemaskini dan memperketatkan piawaian keselamatan yang wajib dipatuhi oleh semua syarikat perlombongan dan para pekerjanya.

26. Terdahulu sebelumnya, beberapa orang penyelam komersial dari Subsea Marine and Underwater Services telah dengan sukarela menawarkan kepakaran bagi membantu operasi menyelamat yang terawal. Mereka berjaya mengeluarkan tiga mayat mangsa iaitu pemilik lombong T.K. Tan, Jurutera Nor Johan Abdullah dan seorang lagi T. Ramachandran.

27. Walaubagaimana pun mereka terpaksa pulang semula ke Lumut kerana terikat dengan kerja-kerja kontrak yang perlu mereka selesaikan disana dan tugas-tugas mencari diteruskan oleh anggota TLDM.

28. Tertekan dengan isu ini, ada ahli keluarga mangsa yang terpaksa menggunakan khidmat bomoh. Seorang bomoh yang dikenali dengan nama Kia bin Arshad tiba dengan menaiki kereta Mercedes-Benz pada 12 Ogos. Wajah beliau terpampang di dada akhbar keesokkan harinya.

29. Menurut beliau kesukaran anggota TLDM menemui baki mangsa adalah disebabkan tiada ‘tawaran’ dibuat kepada penunggu lombong. Beliau kemudian bersama beberapa ahli keluarga mangsa ke lokasi kejadian untuk berkumpul bagi membaca doa sebelum mereka mencampakkan telur dan batu kedalam lombong berkenaan.

30. Seorang penyelam TLDM juga diminta oleh bomoh itu untuk mencampakkan telur kedalam lombong kerana menurutnya mereka adalah pasukan yang akan melaksanakan pencarian baki mangsa di lombong berkenaan. Dalam akhbar NST bertarikh 13 Ogos, Bomoh Kia bin Arshad dipetik sebagai berkata “Saya berharap dengan tawaran telur-telur dan batu itu, para penyelam tidak akan menghadapi apa-apa kesukaran dalam cubaan untuk menemui baki mayat yang tinggal.”

31. Beliau pulang sejurus selepas penyelam TLDM memulakan operasi. Tetapi apabila operasi dihentikan pada tengah hari masih tiada tanda-tanda yang baki mangsa akan ditemui.

KAPAL KOREK - KEGEMILANGAN YANG KIAN PUDAR

32. Semenjak kejatuhan harga pasaran bijih timah dunia pada sekitar tahun 1982, banyak operasi kapal korek di Malaysia terpaksa dihentikan. Pada awal 90an pula pasaran timah dunia menjadi semakin teruk merosot manakala kebanyakkan kawasan yang ditemukan bijih timah sudah ketandusan bijih yang mempunyai gred yang bermutu tinggi seperti sebahagian lombong-lombong terdahulu.


Kapal Korek BJ9 

33. Rata-rata jumlah konsentrasi yang direkodkan di kebanyakkan lombong di Malaysia pada sekitar 90an bagi setiap deposit hanya mengandungi hasil timah 0.1kg/m3 berbanding diposit dari negara lain seperti Brazil yang boleh mencapai kandungan sebanyak 3kg/m3. Atas faktor inilah antara penyebab kenapa perlombongan timah menggunakan kapal korek dihentikan.

34. Timah di Malaysia dengan gred yang rendah sudah tidak lagi berbaloi untuk dilombong menggunakan kapal korek apabila hasil yang diperolehi tidak mampu menanggung kos operasi. Kos memindahkan kapal korek dari lombong lama yang telah haus ke lombong baru juga harus dikaji kerana ia juga menelan belanja yang agak besar.


Rawang Tin

35. Ketika penulis masih kecil, penulis pernah berpeluang melihat sendiri kapal korek di depan mata. Melewati berapa buah lombong dengan beberapa buah kapal korek terlihat dikejauhan membuatkan perasaan ingin tahu penulis kian bekobar. Dengan penuh ketaksuban mata penulis yang tak berkerdip melihat kapal korek dengan seribu persoalan mencanak di benak fikiran.

36. Bersungguh soalan diajukan kepada keluarga dengan bertalu. Penulis yang berasal dari daerah Kuala Selangor memberi kelebihan untuk melihat kapal korek yang beroperasi dan yang tersadai tidak digunakan sekiranya dibawa melalui kawasan Batang Berjuntai (kini Bestari Jaya).


unknown dredge

37. Ketika zaman kemuncaknya dikatakan terdapat tidak kurang 13 buah kapal korek beroperasi di Batang Berjuntai. Kapal korek digunakan oleh syarikat-syarikat bijih timah yang beroperasi disitu antaranya Berjuntai Tin Dredging Berhad dan Pacific Tin Consolidated Corporation.

38. Berjuntai Tin Dredging Berhad telah beralih dari perniagaan sektor perlombongan kepada sektor pembuatan sarung tangan antarabangsa dan menukar namanya pada tahun 2004 menjadi Integrated Rubber Corporation Berhad.

39. Kali terakhir penulis melihat kapal korek di Batang Berjuntai ialah ketika bersekolah rendah dalam lingkungan darjah 5 atau 6. Kebanyakkan kapal korek itu telah tersadai usang di tepi lombong serta sudah tidak lagi beroperasi. Malangnya beberapa tahun selepas penulis tamat tingkatan 5, seingat penulis hampir tiada satu kapal korek pun yang kelihatan.




40.Kapal korek terakhir milik Berjuntai Tin Dredging Berhad telah dijual sekitar tahun 2000-2001.

41. Kini sebahagian kecil lombong itu telah ditimbus dan dijadikan tapak berdirinya UNISEL hari ini. Tidak jauh dari situ terletaknya Kampung Berjuntai Tin (kini ditukar namanya Oleh Sultan Selangor menjadi Kampung Bestari Jaya) sebuah penempatan yang disediakan oleh Berjuntai Tin Dredging Berhad sebagai kuarters pekerja serta ahli keluarga mereka.

42. Kampung Pasifik Tin yang juga terletak di Batang Berjuntai adalah kuarters para pekerja syarikat Pacific Tin Consolidated Corporation.

DAHULU DAN KINI

43. Dari segi sejarah, Semenanjung Tanah Melayu menjadi sinonim dengan perlombongan bijih timah, dan ia berkembang dengan pesat pada tahun 1883, apabila Malaya mendahului Britain untuk menjadi pengeluar bijih timah yang terbesar di dunia.

44. Perang Korea dan perang Vietnam merancakkan lagi aktiviti perlombongan timah di Malaysia apabila permintaan terhadap logam itu meningkat tinggi.

45. Menurut Malaysia Smelting Corporation Bhd (MSC), dalam tahun 1970-an, Malaysia mengeluarkan bijih daripada 1,000 buah lombong bijih timah dengan menghasilkan purata lebih 70,000 tan metrik setahun.


Muzium Bijih Batu Gajah

46. Pada tahun 1990, berikutan kejatuhan industri pada tahun 1985, pengeluaran tahunan setelah dihadkan bagi mengimbangi harga adalah sebanyak 20,700 tan - dengan Malaysia menjadi pengeluar bijih timah yang keempat terbesar di dunia.

47. Hanya lapan tahun kemudian, industri bijih timah di Malaysia mengalami penurunan mendadak, dengan hanya menghasilkan sebanyak 5,800 tan bijih timah setahun. China, dalam perbandingan berjaya melombong 79,000 tan bijih timah, dan mengambil alih kedudukan sebagai pengeluar timah No. 1 di seluruh dunia.

48. Majlis Timah Antarabangsa runtuh pada tahun 1985, meninggalkan hutang kasar sebanyak hampir AS $ 1.5 bilion (RM5.19 bilion), dan menyebabkan harga bijih timah dunia jatuh sebanyak hampir 57%.

49. Malaysia telah terjejas dengan teruk, dan ditambah pula dengan krisis ekonomi pada 1985, harga timah telah jatuh dari RM32,000 se-tan pada tahun 1970-an kepada kurang daripada RM17,000 bagi setiap tan pada tahun 1985. lombong di Indonesia dan China juga dapat melombong logam itu pada kos yang lebih rendah, dan Malaysia sudah tidak dapat bersaing.


Kapal Korek Tanjung Tualang kini.. dikatakan mempunyai kantin, surau, 
bilik rehat dan mensyuarat, banyak yang seangkatan dengannya
sudah dilerai dan dijual ke Thailand.

50. Kini Rahman Hydraulic Tin Sdn Bhd (RHT) dan KL Larut Sdn Bhd adalah antara syarikat-syarikat perlombongan yang masih bergiat aktif dalam perlombongan timah di Malaysia. RHT telah lama ditubuhkan sejak sekian lama dan beroperasi di lombong pit terbuka di lombong bijih timah elluvial terbesar terletak di Klian Intan, Daerah Pengkalan Hulu, Hulu Perak, Perak. RHT memiliki dan mengendalikan lombong dedah dengan menggunakan jentera berat untuk memecah batuan keras.

51. Hari ini, menurut MSC, Malaysia hanya menghasilkan kurang dari 5,000 tan metrik setahun - 1.8% daripada output global 270,000 tan.

52. Terkini Kerajaan Negeri Perak pula berhasrat untuk mengembalikan kegemilangan perlombongan timah dengan menghidupkan semula industri perlombongan timah di Negeri itu bagi menjana ekonomi setempat dan menambah pendapatan negeri. Beberapa firma akan diberi peluang untuk melakukan kajian bagi menilai tanah Kerajaan Negeri yang mempunyai bijih timah sebelum aktiviti perlombongan boleh dimulakan.

JUSUH

Bahan rujukan penulisan:

1.NSTP pelbagai tarikh (80an – awal 90an)
2.The Star ~
3.The Sun Daily ~
4.The Edge Property ~
5.“A gold mine in tin” Monday, 13 August 2007 06:01am ©The Sun by Joyce Au-Yong
6.Out in the Midday Sun: The British in Malaya 1880-1960
7.Register of Defunct Companies - Page 411
8.http://www.ipoh-city.com/
9.http://site.ocie.com.my/
10.http://www.sdb.com.my
11.http://www.petalingtin.com/
12.http://www.mmc.com.my/home.asp
13.http://cavinglizsea.blogspot.my/…/tin-dredge-at-dengkil-sel…
14.http://fadhilzhafri.blogspot.my/…/berjuntai-tin-dredging-an…
15.http://chindianatrails.blogspot.my/2008/02/blog-post.html
16.Anything you do is to keep exploring, keep digging deeper to find new stuff :)

- Siakapkeli.my
Sekiranya anda berminat untuk jimatkan kredit telefon anda boleh tekan sini.


Blogger ( 0 ulasan )

Facebook ( comments)

Sedang Hangat

©2014 Siakapkeli