Bacaan
Hangat
Terkini
Viral

Masih Relevan Lagikah Sifat Menabung Pada Masa Kini? Gadis Ini Kongsikan Kebaikannnya

No Comment

Sejak dari kecil lagi, kita sudah dididik untuk menyimpan wang, iaitu menabung. Ianya tidaklah begitu sukar untuk dilakukan sewaktu kecil dahulu, kerana ada kalanya apa yang kita inginkan sudah dibeli oleh ibu dan bapa, jadi duit simpanan di dalam tabung tidak akan diusik.

Namun begitu, sikap menabung kian merudum, dikala diri makin membesar. Ini berlaku, mungkin disebabkan kita sudah mengetahui nilai wang itu sendiri, dan ada keinginan yang perlu ditunaikan. Oleh sebab inilah, ramai di antara kita yang gemar berbelanja, tetapi tiada simpanan yang kukuh.

Atas faktor ini, admin ingin kongsikan, satu penulisan dari saudari Naziatul Azrin, mengenai tabiat suka berbelanja, dan juga, kebaikan yang diperolehi daripada sifat menabung, jom kita baca apa yang cuba disampaikan.


Kita selalu menganggap membeli-belah adalah satu bentuk terapi. Benar, tetapi tidak pada keseluruhannya. Membeli-belah juga satu bentuk ketagihan. Membeli, hanya untuk memuaskan ketagihan.

Bagi golongan yang punca pendapatannya mengalir bagaikan air, tidak mengapalah jika membeli-belah dijadikan terapi.

Bagaimana pula golongan yang pendapatannya seperti bekalan air terputus-putus? Jawapannya, sah-sah ia seperti aktiviti mengorek tanah. Bukan untuk mencari punca air. Tetapi mengorek liang kubur (kewangan) sendiri.

Menabung adalah kata lawan bagi membelanja. Media dan masyarakat seakan-akan telah memprogram minda kita bahawa membeli-belah adalah keriangan yang tidak ada tolok bandingnya.

Menabung pula dikaitkan dengan amalan yang membosankan. Kesengsaraan. Tragedi memenuhi kehendak yang tidak kesampaian. Mungkin sebab itu orang mampu beri 1001 alasan untuk tidak mula menabung.

Walaubagaimanapun, ada banyak kesan baik boleh diperoleh daripada sikap menabung - selain memperoleh tabungan di kemudian hari.


1. Menabung Menjadikan Kita Sabar

Benar, menabung bermaksud menangguhkan perbelanjaan. Jika hari ini kita ada RM100.00, kita siap-siap menabung RM30.00. Jadi, tinggal baki RM70.00 sahaja. Kita sepatutnya mampu berbelanja untuk nilai berjumlah RM100.00. Tetapi kerana kita menabung, kehendak kita tertunda sebanyak RM30.00. Apabila kita bertoleransi terhadap penundaan itu, bermaksud kita mampu mengawal kehendak (nafsu) yang berdiam dalam hati kita.

Hari pertama menabung, memang sukar. Apatah lagi bagi yang sudah biasa berbelanja. Tetapi, menabung adalah amalan rutin. Maka kepatuhan terhadap rutin ini menjadikan orang-orang yang menabung adalah golongan yang penyabar.

Golongan yang penyabar, bukankah dicintai Allah?


2. Menabung Menanam Sikap Bertahan 

Ia masih berkait dengan sikap sabar. Tetapi dalam konteks kegiatan harian. Orang yang menabung mempunyai keupayaan untuk menahan diri.

Kadang-kadang, ada beberapa perkara berlaku yang membuat kita rasa mahu angkat tangan bagi penampar. Tapi, sikap orang yang menabung adalah mereka boleh menahan tangan mereka dari melakukan sesuatu di luar dugaan. Bukan sahaja tangan, bahkan lidah juga tidak akan sebarang-barang menutur bicara yang tidak keruan.


3. Rutin Menabung Menjadi Kita Cermat

Bila disebut tentang rutin, ketahuilah bahawa menabung selama tiga hari belumlah lagi menjadi rutin. Kahkahkah. Tetapi, konsisten selama tiga bulan – tiga tahun – atau membawa ke tiga puluh tahun itu barulah rutin.

Perhatikan sikap orang-orang yang menabung di kalangan anda. Mereka menggunakan peralatan sendiri, orang lain bahkan awam secara berhemah. Ini kerana rutin menabung itu sendiri bermula dengan sikap berjimat-cermat.

Orang yang menabung adalah golongan yang sentiasa beringat. Mereka juga prihatin terhadap persekitaran dan orang lain. Begitulah baiknya kesan amalan menabung.


Oleh itu, jika kita sedar diri sendiri punya sikap marah-marah tidak tentu hala hanya kerana hal remeh-temah, itu mungkin petanda kita suka membazir. Membazir tenaga dan perasaan. Dari mana datangnya sikap membazir? Dari sikap tidak peduli, tidak prihatin, tidak cermat dan tidak berjimat.

Maka untuk menanam sikap sabar dan sentiasa beringat, cuba jadikan sikap menabung sebagai rutin dalam kehidupan.

Ketahuilah, menabung juga adalah terapi yang membahagiakan. Menabung melalui pendapatan sendiri maksud saya. Bukan menjadikan harta awam sebagai tabungan peribadi. - Siakap Keli
Sekiranya anda berminat untuk jimatkan kredit telefon anda boleh tekan sini.


Blogger ( 0 ulasan )

Facebook ( comments)

Sedang Hangat

©2014 Siakapkeli