Bacaan
Hangat
Terkini
Viral

5 Sebab Utama Mengapa Melancong Bersama Anak Memberi Lebih Kebaikan Pada Mereka

No Comment

Percutian bersama keluarga semestinya satu pengalaman yang indah, ianya sangat dinanti-nantikan, khususnya buat anak-anak. Ini adalah masanya di mana seluruh ahli keluarga dapat berkumpul bersama, dan melakukan aktiviti bersama, mana tidaknya, mungkin ada ibu atau bapa yang sibuk bekerja, dan kurang meluangkan masa bersama keluarga.

Namun begitu, untuk bercuti bersama anak kadang kala dilihat agak sukar, pelbagai alasan diberikan seperti, anak akan merenget, risau anak mengganggu orang awam, atau takut sukar menjaga anak di tempat asing, serta banyak lagi.

Tetapi, terdapat banyak kelebihan jika anda membawa anak anda pergi melancong bersama, dan ianya memberikan lebih kebaikan pada anak anda, jom kita tengok 5 sebab penting mengembara bersama anak lebih menakjubkan, hasil perkongsian dari Serendipity Tess.


Terdapat banyak sebab-sebab mengapa anda perlu melancong dengan kanak-kanak, di bawah kami senaraikan 5 sebab utama mengapa ianya penting kepada ibu bapa.

5 SEBAB UTAMA MENGAPA MENGEMBARA BERSAMA ANAK PENTING


1. Untuk Mengajar Mereka Menjadi Seorang Yang Bertanggungjawab

Ibu bapa memainkan peranan penting dalam menjadi idola bagi anak-anak, kerana mereka akan melihat bagaimana kita berinteraksi dengan tempat baru, dan cuba untuk mengikut cara tersebut. Kita berharap anak-anak untuk tidak hanya menjadi seorang pelancong, tetapi bagaimana untuk menghargai diri sebagai seorang pelawat di negara orang.

Di sini, anak-anak akan mempelajari bagaimana untuk menghormati orang tempatan dan menyokong peniaga tempatan, ianya untuk mengeratkan lagi budaya kita dengan budaya asing, serta belajar untuk menjadi seperti penduduk tempatan juga.


2. Pembelajaran Dunia Luar

Tidak dapat dinafikan, kepentingan apa yang kanak-kanak belajar di sekolah membantu dalam kehidupan seharian. Tetapi, pembelajaran di dunia nyata, khususnya melihat dunia melalui pengembaraan juga penting.

Anak-anak sudah mengetahui akan dunia, melalui pembelajaran seperti geografi atau sejarah, namun begitu, dengan mengembara bersama anak-anak, mereka dapat mengadaptasikan apa yang dipelajari dengan dunia nyata. Mengenai kehidupan haiwan di sesebuah negara, atau mengenai tamadun, agama yang ada di sesebuah tempat mahu pun negara. Selain daripada itu, anak-anak juga dapat mempelajari bahasa baru, serta cara penggunaan mata wang yang berbeza.

Pembelajaran di dunia nyata, jauh lebih bernilai dari pembelajran melalui buku teks, ianya mengajar anak-anak akan nilai kehidupan, serta bagaimana untuk berinteraksi.


3. Memberi Keyakinan Diri


Salah satu perkara yang penting jika mengembara bersama anak-anak adalah, ianya memberi peluang kepada mereka untuk mengenali dengan lebih baik akan kebolehan diri. Tidak perlu untuk melancong ke luar negara, cukuplah luar dari kawasan seharian mereka, dari gajet, atau pun rutin harian biasa mereka.

Walaupun di usia muda, pengembaraan mendedahkan anak-anak kita kepada aspek-aspek yang mengajar mereka tentang diri mereka sendiri. Melancong mendedahkan mereka kepada kehidupan luar dari zon selesa mereka, ia mengajar mereka bagaimana kehidupan kanak-kanak di negara lain, yang berbeza dengan kehidupan seharian mereka.

Untuk membina sebuah kehidupan yang menarik dan penuh dengan pengembaraan!


4. Sensitif Terhadap Persekitaran

Perbezaan yang wujud di setiap negara, dari segi budaya dan latar belakang, tidak kira di Asia, atau Eropah mahu pun negara lain turut membuatkan anak-anak akan menyelami sisi hidup yang berbeza. Mereka akan mula untuk mengenali kehidupan luar, yang mungkin kelihatan lebih mundur, atau lebih maju ke hadapan. Dari sini, anak-anak akan memahami bahawa, diri mereka berbeza, atau kecil jika dibandingkan dengan luasnya kehidupan di muka bumi ini.

Penting untuk anak-anak dibesarkan dengan nilai penerimaan terhadap perbezaan bangsa di seluruh dunia. Dengan mereka mengetahui akan adanya sisi lain di dunia ini, mereka akan lebih menunjukkan sifat menghargai setiap insan yang ada yang membuatkan setiap orang berbeza, unik dan menarik, namun masih boleh hidup secara harmoni.


5. Untuk Memupuk Kasih Sayang dan Semangat Untuk Mengembara


Kanak-kanak secara semula jadinya mempunyai sifat ingin tahu, dan cara terbaik untuk memupuk dan membina rasa ingin tahu itu adalah dengan mendedahkan mereka kepada masyarakat luar, tempat dan budaya baharu, yang berbeza dengan diri mereka sendiri.

Mungkin akan timbul kerisauan jika anak terdedah dengan dunia luar pada usia muda, namun begitu, jika mereka mengembara bersama keluarga, atau ibu bapa, ianya adalah cara terbaik dalam membina jati diri dan ketahanan mental serta fizikal mereka, kerana mereka tahu ada insan tersayang bersama mereka.


Sememanyya untuk mengembara bersama keluarga yang besar atau ramai, memerlukan bajet yang lebih besar. Namun begitu nilai yang anak akan dapat kelak, akan memberikan kepuasan kepada ibu dan bapa. Kerana kini, sudah ramai anak muda yang berani untuk mengembara seorang diri, diharap suatu hari nanti, anak anda pula yang menjadi individu tersebut. - Siakap Keli
Sekiranya anda berminat untuk jimatkan kredit telefon anda boleh tekan sini.


Blogger ( 0 ulasan )

Facebook ( comments)

Sedang Hangat

©2014 Siakapkeli