Bacaan
Hangat
Terkini
Viral

Watak 'Kak Ros' Jadi Mangsa Eksploitasi Pihak Tidak Bertanggungjawab



KUALA LUMPUR - Watak 'Kak Ros' dalam siri animasi Upin dan Ipin tidak terlepas dari menjadi mangsa eksploitasi pihak tidak bertanggungjawab apabila beberapa gambar yang memaparkan watak itu dengan ilustrasi seksi dikesan di internet.

Tujuh keping karikatur Kak Ros dikesan dimuat naik ke sebuah laman web perkongsian seni reka grafik yang telah diubah dan dilukis semula secara digital dengan menggambarkan watak itu berpakaian seksi, malah ada juga yang seolah-olah tidak berpakaian dengan keterangan yang tidak senonoh.

Foto itu dipercayai dimuat naik 3 Julai lepas dan kini telah diakses lebih 4,000 pengunjung laman sesawang itu. Eksploitasi itu dikhuatiri boleh meracun pemikiran kanak-kanak melalui penerapan unsur lucah pada watak animasi kegemaran mereka itu.

Mengulas perkara itu, seorang ibu Alya Nadirah, 23, menyatakan kegusaran sekiranya pihak terbabit berjaya memuat naik video atau karikatur berunsur lucah itu dalam laman sosial seperti YouTube yang sering diakses kanak-kanak.

"Saya tak sangka dan terkejut kerana Upin dan Ipin yang ditonton semua lapisan masyarakat telah dimanipulasi mereka yang berniat jahat. Sekiranya  berterusan, ia pasti akan menimbulkan pelbagai masalah sosial kerana mereka (kanak-kanak) mudah terpengaruh dengan adegan dipaparkan sehingga mempraktikannya," kata beliau.

Sementara itu, Ketua Media Baru dan Perhubungan Awam Les' Copaque Production Sdn Bhd, Mohd Zarin Abdul Karim pula berkata, syarikat itu tidak terlibat dalam sebarang penghasilan karikatur mahupun video Upin dan Ipin yang bertentangan dengan udang-undang.

"Kami tiada kaitan dengan penghasilan sebarang siri animasi yang mempunyai kesan negatif terhadap masyarakat khususnya kanak-kanak.

"Namun, pemantauan di internet terutamanya laman sosial, sentiasa kami lakukan dari semasa ke semasa bagi mengesan mereka yang tidak bertanggungjawab ini daripada terus menyebarkan perkara negatif," katanya kepada Bernama.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (Siasatan/Perundangan) Bukit Aman Datuk Law Hong Soon berkata tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang dilihat cuba merosakkan masyarakat terutamanya kanak-kanak melalui penyebaran bahan pornografi.

Bagaimanapun, katanya polis akan melihat dahulu sama ada kandungan karikatur yang di muat naik ke laman sesawang itu mempunyai unsur negatif terhadap masyarakat sebelum mengambil sebarang tindakan.

"Mereka yang bersalah akan disiasat di bawah Seksyen 292 Kanun Keseksaan kerana memiliki atau menyebarkan bahan lucah," katanya ketika dihubungi Bernama.

Di bawah Seksyen 292 Kanun Keseksaan, mana-mana pihak yang disabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga tiga tahun atau denda atau kedua-duanya.

Sumber : Sinar Online
Sekiranya anda berminat untuk jimatkan kredit telefon anda boleh tekan sini.


Blogger ( 0 ulasan )

Facebook ( comments)

Sedang Hangat

©2014 Siakapkeli