Bacaan
Hangat
Terkini
Viral

"Telah Tiga Kali Dia Mencuba Sebelum Ini Tetapi Gagal, Namun..", Kisah Kecekalan Seorang Lelaki Melawan Ketagihan

No Comment

Ketagihan merupakan satu sindrom di mana seseorang individu tidak dapat menahan diri dari melakukan atau mendapatkan sesuatu, ia seperti membuat diri menjadi tidak keruan jika tidak dapat apa yang diinginkan. Ketagihan seringkali dikaitkan dengan kesihatan diri, di mana terdapat di antara kita yang sukar untuk berhenti merokok, minum minuman beralkohol atau lain-lain.

Selain faktor kesihatan yang mungkin akan merosot oleh sebab ketagihan yang tidak dapat dikawal itu, permasalahan kekeluargaan mungkin akan timbul, atas kelalaian ibu atau bapa dalam memberikan contoh yang baik kepada anak-anak. Ini adalah kerana, segala perilaku, tingkah laku dan pembawaan diri di depan anak-anak mungkin akan dijadikan ikutan oleh mereka.

Tidak dapat dinafikan, terdapat kesukaran dalam proses untuk mengurangkan ketagihan, namun begitu, setiap permasalahan ada jalan penyelesaiannya. Admin terpanggil untuk kongsikan, sebuah artikel nukilan saudara Fahmi Hassan mengenai individu yang berjuang untuk berhenti merokok, demi insan tersayang. Mari kita hayati nukilannya.


KETAGIHAN ROKOK - JANGAN BERHENTI BERHARAP

Jam berdering menunjukkan pukul 6.00 pagi. Dengan berat hati Hafiz membuka mata. Matanya digosok gosok dengan jari. Setelah beberapa minit mengeliat dan meyakinkan diri untuk bangun, Hafiz dengan lemah menyelak selimut yang menyelubungi batang tubuhnya.

Dia pun bangun mencapai tuala untuk ke tandas. Secara spontan tangan Hafiz meraba-rabakan tangannya di meja. Tak terjumpa barang yang dicari.

Baru dia teringat, rokok dan pemetik api yang baru dibeli sewaktu pulang dari kerja telah dibuang malam semalam. Terngiang-ngiang perbualan dia dan juga anaknya. Anak lelaki kesayangannya baru sahaja digantung sekolah kerana tertangkap menghisap rokok di tandas sekolah. Kali kedua.

“Ayah tak sangka Hadi sanggup tipu ayah macam ni. Kenapa Hadi hisap rokok lagi?”

“Ayah tak boleh salahkan Hadi je. Ayah hisap rokok juga. Ayah pun tak boleh nak berhenti”


Tersentak Hafiz dengan jawapan anaknya. Anak yang selama ini ditatang seperti minyak yang penuh sanggup menyakitkan hatinya.

“Baik. Kalau Hadi rasa Hadi hisap rokok sebab ayah, ayah akan berhenti merokok. Ayah nak tengok, siapa lagi yang Hadi nak salahkan lepas ni”

Hafiz nekad untuk berhenti rokok kali ini. Telah tiga kali dia mencuba sebelum ini tetapi gagal. Dia terus ke tandas. Terasa kekok dengan ketiadaan rokok di celah jari tangan kanannya. Hafiz duduk di mangkuk tandas. Hampir sepuluh minit dia termenung. Tiada nafsu untuk membuang. Hampir sahaja dia keluar untuk mencari rokok. Nasib baik rokok semalam dibuang di luar rumah.

Selepas mandi dan solat, Hafiz bersiap untuk ke pejabat. Sungguh berat rasanya. Hilang terus mood Hafiz hari ini. Siaplah kalau ada sesiapa yang tersilap mengatur percakapan dengan dia hari ini.

Biasanya sebelum masuk kerja, Hafiz akan bersarapan di kedai mamak berhampiran pejabat. Kawan-kawan lelaki yang bersarapan di situ agak ramai. Memang seronok berbual-bual dan bergurau.

Tapi pagi ini Hafiz terus ke pejabat. Kawan-kawan sarapan beliau hampir semuanya merokok. Hafiz pasti, sekiranya dia ke sana, hilanglah azam untuk berhenti merokok. Pasti dia ditertawakan dan disuakan rokok percuma hari ini.

Hafiz masuk dan mengemas-ngemas meja pejabat. Dipasangkan radio untuk menenagkan hati. Hafiz mula menyibukkan diri dengan kerja. Sehingga pukul 10 pagi, Hafiz sudah tidak keruan.

Hafiz masih ingat kata-kata pegawai farmasi, En. Izzuddin yang memberikan nasihat khidmat berhenti merokok kepada dia dahulu.

“En. Hafiz, langkah paling penting untuk berhenti merokok adalah melambatkan masa rokok pertama dihisap selepas bangun dari tidur”

Kebiasannya, rokok pertama yang dihisap adalah pada pukul 6.05 pagi, 5 minit selepas dia membuka mata. Hari ini, dia tidak menghisap rokok sehingga pukul 10 pagi. Hafiz sedar, walaupun terseksa, namun ia satu pencapaian yang baik.


Hafiz berehat sebentar. Dia turun ke kantin membeli air mineral dalam botol yang besar. Biasanya apabila penat, Hafiz akan buat air kopi campuran 3 dalam 1 yang dijual di pantri pejabat. Tapi Hafiz tahu, apabila minum kopi, dia mesti akan rasa ingin menghisap rokok. Sudah menjadi habit sebelum ini. Hari ini dia nekad. Air mineral sahaja.

Jam sudah menunjukkan pukul 1 tengahari. Hafiz dah tak tahan lagi. Nafsu ingin merokoknya sudah tidak dapat dibendung. Hampir 6 jam nikotin tidak diserap di dalam badan. Dia rasa marah, letih, resah. Fikirannya bercelaru.

Hafiz berjalan menuju ke kereta. Enjin kereta dihidupkan. Dia tahu dia kena buat sesuatu. Kalau tak, pasti dia akan mencari rokok untuk dihisap. Dia perlukan nikotin.

Hafiz terus menuju ke Farmasi Ali, tempat En. Izzuddin bekerja. Dia selesa untuk berjumpa En. Izzuddin. Selain menjual ubat bantuan untuk berhenti merokok, En. Izzuddin amat pandai untuk memberikan nasihat dan kaunseling berhenti merokok. Mungkin En. Izzuddin juga perokok dahulu, sebab itu dia amat faham dengan perasaan perokok.

“En. Hafiz, saya ucapkan tahniah kepada En. Hafiz kerana buat keputusan untuk berhenti merokok”

“Perli saya ke En. Din? Dah banyak kali dah saya datang sini. Tapi asyik gagal je”


“Bukan perli En. Hafiz. Rokok ni memang sangat susah untuk tinggalkan. Tak ramai perokok yang sanggup cuba berulang-ulang kali macam En. Hafiz. Buat keputusan untuk berhenti merokok pun adalah satu kejayaan”

“Itulah En. Din, saya rasa saya perlu bantuan En. Din lah, baru 6 jam saya dah tak tahan”

En. Izzuddin mula bertanya Hafiz mengenai keputusannya untuk berhenti merokok. Apa yang Hafiz sanggup lakukan, apa perubahan dalam cara hidup yang boleh dibuat, bagaimana dia bercadang untuk mengurangkan keinginan merokok dan sebagainya. En. Izzuddin membuatkan Hafiz rasa bertanggunjawab di atas keputusannya sendiri, dan bukannya sekadar mengikut arahan beliau sahaja.


Hafiz ingin mencuba semula ‘nikotin gum’. Nikotin gum ni bagus bagi Hafiz. Selain dari mengurangkan ketagihan nikotin dari rokok, sifatnya yang seperti gula-gula getah menjadikan mulut Hafiz sentiasa mengunyah. Kurang sikit perasaan untuk meletakkan rokok di bibir.

En. Izzuddin mula bertanya soalan-soalan yang berkaitan. Cara mengambil nikotin gum diterangkan dengan jelas. Tip-tip mengurangkan keinginan merokok juga diberikan. Hafiz keluar dari farmasi dengan perasaan puas dan semangat yang baru.

Waktu petang Hafiz di pejabat berjalan lancar. Nikotin gum yang dibeli agak membantu. Bila timbul keinginan untuk merokok, Hafiz minum air mineral yang dibeli. Hafiz juga berjalan sebentar di sekitar pejabat dan berbual untuk mengurangkan kebosanan.

Pulang ke rumah, keinginan untuk merokok datang kembali. Biasanya petang-petang seperti ini, isterinya akan menyediakan air teh dan kuih muih. Sedap betul menikmati juadah diselangi dengan asap rokok. Hafiz cepat-cepat membuang perasaan tersebut.


Hafiz mengenakan t-shirt dan seluar trek. Kasut sukan yang berhabuk di dalam rak dikeluarkan dan dibersihkan. Hari ini Hafiz ingin bersenam. En. Izzuddin kata bersenam bagus untuk berhenti merokok. Selain menyihatkan badan, otak juga akan mengeluarkan bahan kimia yang boleh mengurangkan keinginan merokok. Hafiz berjaya menghabiskan masa selama 30 minit berjalan di sekeliling taman.

Selesai solat Maghrib, Hafiz ke meja makan menikmati makan malam bersama keluarga. Selepas makan malam, Hafiz tidak keruan semula. Keinginan untuk merokok datang lagi.

Hafiz cepat-cepat mengambil nikotin gum yang dibeli. Nikotin gum dikunyah perlahan lahan. Syukur, kurang sedikit keinginan bila mulut sibuk mengunyah. Rasa kosong pada bibir dan jarinya diabaikan sahaja.

Jam 10 malam Hafiz masuk ke bilik untuk tidur. Sungguh dia tak sangka, dia mampu untuk tidak merokok sepanjang hari. Sebelum ini rasa amat mustahil. Hafiz terkenang kembali kesukaran dia menahan diri untuk merokok. Tapi Hafiz tahu, hari esok pasti lebih mudah dari hari ini.

Sekiranya anda berminat untuk jimatkan kredit telefon anda boleh tekan sini.


Blogger ( 0 ulasan )

Facebook ( comments)

Sedang Hangat

©2014 Siakapkeli