Bacaan
Hangat
Terkini
Viral

LTA Bantah Cadangan Roboh Replika Raksaksa Helang di Langkawi



LANGKAWI - Persatuan Pelancongan Langkawi (LTA) hari ini membantah sebarang cadangan untuk merobohkan replika raksaksa helang ekoran pendapat seorang pakar agama Islam yang menyifatkan mercu tanda seperti itu sebagai haram.

Yang dipertua LTA, Zainuddin Kadir berkata replika helang yang setinggi 12 meter itu menjadi tarikan pelancongan utama sejak lebih 20 tahun lalu dan menarik ribuan pengunjung dalam tempoh itu.

"Ia telah menjadi ikon kepada Langkawi bagi tempoh yang agak lama dan bukannya menjadi tempat penyembahan atau aktiviti yang bertentangan dengan agama," katanya sebagaimana lapor Bernama.

Beliau mengulas laporan media atas talian baru-baru ini yang memetik Timbalan Mufti Perak, Zamri Hashim yang berkata memasang replika helang sebagai mercu tanda adalah haram kerana ia menyerupai bentuk haiwan yang hidup.

Laporan itu menyebut, Zamri telah menerima surat rasmi daripada pihak berkuasa tempatan yang tidak dinamakannya yang bertanyakan hukum membuat replika burung helang untuk tempat berkaitan binatang itu.

Zainuddin yang mendakwa mewakili lebih 8,000 orang anggota LTA berkata beliau telah menghantar surat kepada Zamri untuk mendapatkan penjelasan lebih lanjut berhubung perkara ini.

"Saya masih lagi menunggu jawapan dan bersedia untuk berdialog secara terbuka dengan beliau berhubung perkara ini, jika perlu," katanya.

Menurutnya apa-apa tindakan susulan yang akan dibuat oleh pihak berkuasa berhubung perkara ini perlu mengambil kira kebajikan komuniti Langkawi yang sebahagian besarnya bergantung kepada pelancongan untuk menjana pendapatan.

Semalam, Pejabat Mufti Kedah menyatakan akan berbincang dengan majlis jawatankuasa fatwa terlebih dahulu jika terdapat gesaan supaya tugu helang di Langkawi dirobohkan atas faktor haram dari sudut agama.

Timbalan Mufti Kedah, Sheikh Marwazi Dziyauddin berkata selepas perbincangan rasmi, perkara itu akan dikemukakan kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) supaya tindakan susulan diambil.

Sumber : Sinar Online

Sekiranya anda berminat untuk jimatkan kredit telefon anda boleh tekan sini.


Blogger ( 1 ulasan )
  1. banyak lagi tugu yg menyerupai makhluk hidup, kenapa helang tu jugak yg dipilih. tugu negara salah satunya

    BalasPadam

Facebook ( comments)

Sedang Hangat

©2014 Siakapkeli