Bacaan
Hangat
Terkini
Viral

Bolehkah Menggugurkan Kandungan Jika Dijangkiti Zika Dan Memudaratkan? Ini Jawapan Pejabat Mufti


Sejak kebelakangan ini ramai antara rakyat Malaysia menyatakan kebimbangan dengan penularan wabak Zika bawaan nyamuk Aedes di mana negara kita sudah mencatat beberapa kes wabak berkenaan.

Ada yang tertanya-tanya adakah boleh menggugurkan kandungan jika ibu yang mengandung atau bapa telah dijangkiti Zika kerana bimbang kemudaratan kepada bayi yang baru lahir nanti.

Menurut Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan dalam satu kenyataan semasa dipetik laporan Malaysiakini, orang Islam boleh menggugurkan kandungan mereka jika dijangkiti virus Zika jika memudaratkan kehidupan keluarga serta bayi itu sendiri.

Pejabat mufti berkenaan menjelaskan kenyataan itu dikeluarkan kerana cenderung kepada pendapat majma’ fiqh Islami, sidang ulama-ulama di Mekah pada 1990, yang dikiaskan dengan kes thalasemia.

Dalam keadaan seperti itu, persetujuan daripada kedua ibu bapa yang diberi kefahaman yang jelas bolehlah diambil kira untuk pelaksanaan pengguguran janin itu,” katanya.

Berkaitan kes thalassemia Dr Hassan al-Jizani berpendapat, janin yang berumur 120 hari kebawah boleh digugurkan jika akan membawa kesusahan, kesedihan dan penderitaan terhadap keluarga jika kekal hidup.

"Jika umur bayi melepasi umur berkenaan, janin tidak boleh digugurkan kecuali ditimpa komplikasi atau sebarang penyakit seperti talasemia dan diperakukan pakar perubatan yang diyakini."

“Maka, jika didapati janin tersebut mengalami bahaya yang tidak mungkin boleh dirawat, anak itu lahir dengan penyakit yang kekal, memberi kesan yang bermasalah dalam kehidupannya serta membebankan kepada keluarganya, maka ketika itu boleh digugurkan mengikut kehendak kedua ibu bapa,” kata pejabat itu.

Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri pula berkata perkara ini perlu dirujuk kepada pakar perubatan yang diyakini dan juga ibu bapa supaya memahami hakikat isu ini dengan sebaiknya.

“Selepas itu, barulah boleh diambil tindakan pengguguran dengan ketetapan-ketetapan dan syarat-syarat yang amat ketat sebagaimana di atas,” katanya. - Siakapkeli.my

Ini adalah kenyataan dari pihak Mufti.

Pengguguran Janin Bagi Wanita Yang Positif Virus Zika

Pada 14 Mac 2016, Dar al-Ifta’ al-Misriyyah telah mengeluarkan satu fatwa berhubung hukum menggugurkan janin bagi wanita yang dijangkiti virus Zika. Fatwa ini telah dikeluarkan sebagai respon kepada seruan daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu[22] bagi melonggarkan syarat-syarat bagi membolehkan pengguguran khususnya bagi kes wanita yang disahkan dijangkiti virus Zika. Dalam hal ini, Dar al-Ifta’ memutuskan bahawa pengguguran janin adalah:

DIBOLEHKAN bagi janin yang belum mencapai 120 hari (4 bulan) setelah disahkan implikasinya kepada wanita berkenaan atau kecacatan kepada janin berkenaan.
Manakala, bagi yang sudah mencapai 120 hari, ia TIDAK DIBOLEHKAN kecuali jika kehamilan itu berterusan mengundang masalah kepada kesihatan dan bahaya kepada kehidupan wanita berkenaan. Ini bertepatan dengan kaedah fiqh:

َارتِكَاب أَخَفُّ الضَرَرَين

Maksudnya: “Mengambil yang lebih ringan di antara dua kemudharatan”


Ia bermaksud mendahulukan nyawa ibu yang mengandung yang sudah pasti hidup untuk diselamatkan berbanding janin yang masih tidak pasti keadaannya. Maka jika ia tidak membahayakan nyawa ibunya, pengguguran janin adalah DIHARAMKAN.[23]

Kes Yang Berkaitan

Dalam meneliti isu dalam dunia perubatan dunia moden berkaitan pengguguran janin, terdapat satu pandangan yang dinyatakan oleh Dr. Hassan al-Jizani berhubung pengguguran janin yang menghidap thalassemia. Kami ringkaskan dalam dua noktah penting yang wajar difahami.

Sebelum 120 hari.

BOLEH digugurkan janin jika kekal hidup akan membawa kesusahan, kesedihan dan penderitaan terhadap keluarga dan ahlinya. Ketika itu, harus menggugurkan janin mengikut kehendak kedua ibu bapanya.

Selepas 120 hari

TIDAK BOLEH digugurkan janin kecuali sekiranya janin ditimpa komplikasi atau sebarang penyakit seperti thalassemia dan telah diperakukan oleh pakar perubatan yang diyakini ketika itu. Keputusan ini adalah selari dengan keputusan Majma’ al-Fiqh al-Islami yang bersidang di Makkah al-Mukarramah pada 10 Februari 1990. Para ulama’ yang bersidang pada ketika itu juga memberi nasihat kepada pakar perubatan dan para ibu bapa agar bertakwa kepada Allah dan cuba menerima ujian ini dengan tabah seupaya mungkin. Maka, jika didapati janin tersebut mengalami bahaya yang tidak mungkin boleh dirawat, anak itu lahir dengan penyakit yang kekal, memberi kesan yang bermasalah dalam kehidupannya serta membebankan kepada keluarganya, maka ketika itu BOLEH digugurkan mengikut kehendak kedua ibu bapa.[24]

NOTA PENTING: Kami lebih cenderung kepada pendapat Majma’ Fiqh Islami berkenaan penyakit thalassemia yang boleh diqiyaskan bagi isu virus Zika ini, jika sekiranya dapatan kajian dari pakar perubatan yang diyakini menunjukkan bahawa janin yang dijangkiti virus Zika boleh mengundang pelbagai bentuk kecacatan sehingga memudaratkan kehidupan keluarga serta bayi itu sendiri. Dalam keadaan seperti itu, persetujuan daripada kedua ibu bapa yang diberi kefahaman yang jelas bolehlah diambil kira untuk pelaksanaan pengguguran janin itu.

Rujukan Bayan Linnas Siri 68
Sekiranya anda berminat untuk jimatkan kredit telefon anda boleh tekan sini.


Blogger ( 0 ulasan )

Facebook ( comments)

Sedang Hangat

©2014 Siakapkeli