Bacaan
Hangat
Terkini
Viral

Wanita, Anak Lelaki Maut Jatuh dari Tingkat 32 Kondominium

Foto : PDRM

KUALA LUMPUR, 31 Ogos: Seorang wanita dan anak lelakinya yang berusia 3 tahun maut selepas terjatuh dari tingkat 32 di bangunan kediamannya di sebuah kondominium di Bukit Jalil hari ini.

Wanita berusia 23 tahun itu dan anaknya ditemui terbaring di koridor tingkat satu dalam kejadian kira-kira jam 2 petang tadi.

Menurut Ketua Polis Daerah Cheras ACP Chong Kok Sin, siasatan awal mendapati wanita itu mengalami masalah kemurungan.

"Suaminya yang berusia 28 tahun, seorang ejen hartanah, pernah membawa isterinya mendapatkan rawatan psikiatri di Pusat Perubatan Universiti Malaya pada Mei atau Jun lepas," katanya.

Menurut Chong juga, wanita tersebut memberitahu suaminya bahawa dia mahu membuang sampah ketika mereka sedang bersiap untuk ke Karak, Pahang sebelum kejadian.

"Ketika sedang mengemas beg, wanita itu memberitahu suaminya dia mahu membuang sampah dengan membawa anaknya bersama.

"Lima minit kemudian, suaminya meminta adik perempuannya mencari isteri dan anaknya di tempat parkir sementara beliau mengemas beg untuk dibawa ke kereta.

"Pada masa itu, dia terdengar bunyi yang kuat dan apabila menjenguk ke bawah dari unit rumahnya di Tingkat Sembilan, dia ternampak isteri dan anaknya dalam keadaan terbaring," katanya lagi.

Kata beliau, pemeriksaan polis di lokasi kejadian mendapati terdapat telefon bimbit milik wanita itu di tingkat 32 bangunan itu yang juga merupakan kawasan rehat penghuni di situ.

"Kawasan itu dilengkapi cermin setinggi empat meter yang berperanan sebagai penghadang," katanya.

Mayat dua beranak itu dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia di sini untuk dibedah siasat.

Sumber : Utusan Online
Sekiranya anda berminat untuk jimatkan kredit telefon anda boleh tekan sini.


Blogger ( 0 ulasan )

Facebook ( comments)

Sedang Hangat

©2014 Siakapkeli