Bacaan
Hangat
Terkini
Viral

Ibu Bapa Dinasihat Dapatkan Imunisasi Vaksin Lima Serangkai Untuk Anak Bagi Elak Dijangkiti Difteria


KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam satu kenyataan menasihatkan orang ramai supaya memastikan anak mereka mendapat imunisasi vaksin lima serangkai yang lengkap untuk melindungi mereka dari pelbagai penyakit termasuk jangkitan difteria, lapor Bernama.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, vaksin lima serangkai DTaP-IPV//Hib itu terkandung sekali vaksin untuk menghindari Difteria, Pertusis, Tetanus, Polio dan Haemophilus Influenzae Type B di mana ia diberikan pada usia dua, tiga, lima dan 18 bulan.

"Liputan imunisasi yang melebihi 95 peratus dalam komuniti akan memberi imuniti kelompok dan melindungi kanak-kanak daripada dijangkiti bakteria ini."

"Kanak-kanak yang telah menerima imunisasi lengkap hanya akan mengalami gejala ringan apabila dijangkiti dan terlindung daripada komplikasi. 

"Justeru, KKM ingin memberi penekanan betapa pentingnya kanak-kanak diberikan imunisasi yang lengkap termasuk vaksin difteria bagi memberikan perlindungan terhadap jangkitan penyakit dan mencegah berlaku komplikasi akibat jangkitan," katanya.

Dr Noor Hisham dalam pada itu menjelaskan yang  difteria adalah penyakit yang disebabkan oleh bakteria Corynebacterium diphteriae yang tersebar melalui titisan cecair pernafasan.

Bakteria itu menjangkiti tekak (tonsil dan farinks) dan menghasilkan toksin yang menyebabkan keradangan di sekitar tekak dan bengkak leher yang boleh menyebabkan pesakit sukar bernafas.

"Toksin ini juga boleh menyerap ke dalam darah, melumpuhkan saraf dan menyebabkan keradangan jantung (miokarditis) yang menyebabkan kematian. 

Jangkitan difteria mempunyai kadar kematian yang tinggi, iaitu antara 25 ke 50 peratus," katanya.

Semalam, seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun yang berasal dari Ujong Pasir, Melaka meninggal dunia di Hospital Melaka selepas dijangkiti manakala seorang kanak-kanak dari Kuala Muda Sungai Petani turut  disahkan meninggal dunia semalam dan menjadi mangsa terbaharu bakteria difteria.

Kanak-kanak terbabit bersama enam adik-beradiknya yang berusia 11, 10, 8, 4, 3 tahun dan bayi berusia 10 bulan dimasukkan ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) pada 21 Jun lalu selepas disyaki dijangkiti bakteria berkenaan.

Sementara itu, Pengarah Kesihatan Melaka Datuk Dr Ghazali Othman berkata, lebih 40 orang yang mengenali mangsa di Melaka, sudah diperiksa bagi mengesan penyakit berbahaya itu.

Menurutnya, hasil pemeriksaan, dua beradik murid berkenaan disahkan positif difteria manakala yang lain negatif.

"Adik beradik itu dibawa ke Hospital Melaka untuk rawatan lanjut dan mereka berada dalam keadaan baik, tiada komplikasi akibat penyakit itu," katanya. - Siakapkeli.my
Sekiranya anda berminat untuk jimatkan kredit telefon anda boleh tekan sini.


Blogger ( 0 ulasan )

Facebook ( comments)

Sedang Hangat

©2014 Siakapkeli