Bacaan
Hangat
Terkini
Viral

"Saya Tidak Menyesal Bersalin Di HSB, Layanan Tidak Mewah Tapi Setara Hospital Swasta" - Anatel Ameen

3 ulasan

Sejak kebelakangan ini kita sering terdengar kisah di laman sosial tentang keburukan jabatan kerajaan terutamanya melibatkan perkhidmatan di hospital-hospital dan mana-mana institusi kerajaan yang berurusan dengan orang ramai.

Namun, disebalik pendedahan yang dilakukan, bukan semua sedemikian, kadang-kadang ada yang salah faham, ada yang tidak tahu pun cerita sebenar dan disebarkan.

Jika dilihat sendiri di laman Facebook Siakapkeli pun, ramai yang menyatakan tidak puas hati dan ramai juga memuji perkhidmatan kakitangan kerajaan.

Admin sendiri pun pernah 'menginap' di hospital Kuala Lumpur, HKL selama lima hari awal tahun lalu, tetapi tidak pula berjumpa dengan apa yang diceritakan bahkan layanan nurse kadang buat 'hati tertambat'.

Bukan bercerita untuk menyebelahi sesiapa, itu adalah pengalaman admin sendiri, dalam setandan pisang, kalau sebiji buruk, tidak semuanya buruk dan tidak boleh di makan.

BACA: Gambar Tidur Atas Lantai Tersebut Tidak Betul Kerana Katil Mencukupi - Pengarah Hospital

Terbaca kisah kakak ini melibatkan hospital Sungai Buloh yang menjadi viral sebelum ini, kami sudah pun menyiarkan jawapan daripada pengarah hospital mengenai situasi sebenar yang terjadi.

Disebalik kritikan, tidak semua yang terkena sebegitu, berikut adalah kisah yang diceritakan oleh seorang wanita bernama Anatel Ameen mengenai pengalamannya bersalin dan tinggal di wad Hospital Sungai Buloh selama 32 hari kerana menghadapi sedikit komplikasi semasa mengandung.

Berikut adalah kisahnya.

Saya ada komplikasi semasa mengandung dan semua urusan di Hospital Sungai Buloh (HSB). 3 kali ke PAC sebab bleeding dan pre-clampsia. 2 hari suntuk menunggu di PAC untuk ditempatkan di wad. 32 hari warded di wad 6B hingga bersalin. 6 hari anak berada di NICU.

Pengamatan saya, katil memang tidak mencukupi. Sepanjang di PAC, dari Shah Alam, Kelang, Tanjung Karang, Kuala Selangor, Hulu Selangor semua datang nak bersalin di HSB.

Di kaunter, memang jururawat dah jelaskan katil dan labour room tak ada yang kosong. Yang mana urgent dan emergency akan didahulukan. Semua mengangguk setuju. Ada yang dicadangkan ke Hospital Selayang, tetapi tetap nak bersalin di situ. Tak termasuk kes² komplikasi yang hospital swasta hantar ke hospital kerajaan.

Bersama dengan saya ketika itu seorang expatriate dari Mesir, kes sama dengan saya pre-eclampsia, dari rumah ke KPJ Damansara tetapi ditolak mentah-mentah dan diminta terus ke HSB. Kadang-kadang kes-kes komplikasi yang boleh merosakkan reputasi hospital swasta. Duit banyak mana pun tetapi dia tidak pandang.

Semua pendaftaran juga telah dimaklumkan bukaan menghampiri proses bersalin, barulah suami dibenarkan masuk. Semua setuju dan sign borang itu. Tetapi bila tiba waktu, jururawat dalam Labour Room call ke kaunter hadapan, suami tiada di ruangan menunggu. Call telefon bimbit tak dijawab.

"Mungkin sedang tidur di kereta agaknya?"

Terlepaslah rezeki nak menemani isteri ketika bersalin.

Saya rumuskan ini bahagian masing-masing, sama seperti rezeki menghadap kematian. Ada yang Allah beri, ada yang Allah tak beri peluang itu.

Di wad 6B, memang ada seorang dua jururawat yang masam mukanya. Ada juga yang menjuih-juih bibirnya mengomel. Ada yang kasar bahasanya tetapi saya juga bertemu ibu-ibu bersalin, suami dan ahli keluarga yang juga masam wajahnya, menjuih-juih bibir mengutuk hospital kerajaan, yang kasar bahasa layanannya kepada jururawat.

Pengalaman saya, Alhamdulillah semuanya baik-baik belaka. Iyalah, 32 hari berada dalam wad, semua jururawat saya kenal dan semuanya menjadi kawan. Sebab itu sajalah hiburan teman bersembang sementelah ibu-ibu bersalin yang lain kurang mesra kerana kebanyakannya sehari dua sahaja di situ.

32 hari di wad 6B, walaupun saya layak untuk wad kelas pertama, dek kerana komplikasi saya ditempatkan berdekatan kaunter utama wad untuk memudahkan jururawat untuk memantau. Bila keadaan saya stabil, ada pula kes kecemasan yang lain. Saya dipindahkan ke cubicle yang lain. Sepanjang 32 hari, hampir 5 kali saya berubah katil sampaikan kadang-kadang suami pun tak jumpa katil saya sebab asyik berpindah randah.

Wad memang padat dan telah dimaklumkan di PAC. Koridor wad juga dipenuhi katil, selagi stok katil masih ada. Pihak wad akan berusaha menyediakan katil untuk menerima ibu-ibu dari PAC. Sudah tentu yang telah melahirkan anak diberikan keutamaan. Iyelah, takkan selepas bersalin terus disuruh balik ke rumah? Takkan selepas bersalin terus disuruh berehat di atas lantai?

Proses discharge juga lambat. Banyak prosedur yang perlu diikuti. Teringat saya seorang suami yang memaki hamun jururawat di wad 6B kerana lambat menyediakan borang discharge. Isteri call jam 12.00 tengah hari memaklumkan bolah discharge dan suami tiba tidak lama selepas itu. Tetapi sehingga jam 4 petang masih belum discharge. Jururawat telah siapkan semua, cuma menunggu pelepasan dari doktor pakar yang belum diterima kerana doktor berada di bilik pembedahan.

Satu wad bergema maki hamun suami isteri itu. Allahuakbar. Isteri yang baru lepas bersalin pun sama bergabung dengan suami memaki hamun, terjerit-jerit. Ucap terima kasih pun tidak. Apa mereka juga bukan manusia yang perlu dilayan selayaknya?

Pengalaman ibu saya discharge dari hospital swasta bertaraf 5 bintang dari jam 10 pagi, doktor kata boleh discharge. Akhirnya pada jam 8 malam baru kami dibenarkan keluar. Tidaklah kami complaint sebab sebagaimana di wad 6B hospital kerajaan, tunggu sajalah. Ada katil boleh baring, makanan pun masih juga dapat.

Apa yang saya perhatikan, baik di PAC mahupun di wad, kita tengah sakit maka bersabarlah. Saya tidak nampak sebarang faedah jika kita bising-bising, lagilah jururawat tidak mahu melayan kita adalah. Saya juga kalau boleh nak suami saya temankan. 32 hari di wad berseorangan, mengalir air mata tanpa teman. Orang kiri kanan depan dah bertukar-tukar dan saya masih di situ menghadapi tekanan perasaan seorang diri.

Tetapi Allah kan ada, itu yang suami saya ucapkan setiap kali saya telefon bila rindu atau tiap kali waktu melawat habis. Sebab itu semasa dua hari suntik di PAC, saya tidak suka bersembang dengan ibu-ibu yang lain terutamanya yang suka komen dan complaint hal-hal yang negatif. Saya berkhalwat dengan Allah sebab dari Allah datangnya kekuatan saya dan kepada Allah tempat saya mengadu.

Ah! Dah macam poyo pula saya ini. Tetapi sungguh! Itu sahaja yang dapat saya lakukan pada ketika itu. Suami tiada, jururawat super busy, ibu-ibu yang lain semua sedang menahan kesakitan. Untuk kita yang beriman ini, Allah sahajalah yang kita ada. Pada waktu itulah yang kita ingat pada Dia dan berbicara dengan Dia.

Komplikasi darah tinggi saya terlampau teruk menyebabkan saya terpaksa bersalin ketika kandungan berusia 32 minggu. Dan takdir Allah, anak saya dipinjamkan selama 6 hari sahaja. I have no regrets, going to HSB. Kini saya masih ke HSB untuk rawatan dalam usaha memperolehi zuriat. Alhamdulillah walaupun menunggu lama baik untuk temujanji pakar mahupun giliran di Farmasi, saya tenang tanpa perlu memikirkan jumlah bayaran yang perlu saya sediakan.

32 hari di wad, 6 hari anak di NICU, bil perubatan saya mencecah hampir RM7,000. Alhamdulillah, saya hanya membayar dengan harga RM1.

Layanan tidak mewah, tetapi perkhidmatan setara hospital swasta. Matron garang, tetapi bila kita senyum, dia pun balas dengan senyuman juga. Jururawat masam mencuka, tetapi kita senyum saja, lama kelamaan dia pun senyum semula. Jururawat muka kelat, kita bagi salam dan senyum, inshaAllah dia jawab salam dan senyum walaupun terpaksa.

Dengan makcik Cleaner pun kita buat baik, inshaAllah boleh jadi penyeludup jajan/cikedis bila suami kita strict tak bagi makan benda bukan-bukan. Oh, makcik Cleaner pun kenal yang mana jururawat yang okay dan yang mana berkira. (Hehehehe!).

Oh, ada seorang doktor garang yang suka marah-marah intern. Kasihan pula doktor pelatih itu. Dengan kita pun dia garang tetapi tak apalah seminggu sekali saja syif dia. Tahan sajalah telinga dengar dia membebel. Dengan doktor itu memang saya senyum saja dan cakap bila perlu. Dengan doktor lain, tiap-tiap hari saya minta nak balik rumah.

Mungkin ini bahagian saya, bahagian anda Allah sudah tentukan bagaimana tetapi anda sendiri yang menentukan nilai positif yang harus anda terima. Spin the wheel so that all the negativity turns into something positive.

Ya, tahu sakit nak bersalin sebab itu Allah beri ganjaran syahid. Tetapi kalau di hati atau mulut asyik complaint, merungut tak puas hati, tang mana syahidnya itu nanti? Allah bagi sakit untuk ingat pada Dia, muhasabah diri, bukannya mencari salah orang lain.

Ini pengalaman saya dan saya juga punya khilaf. ALHAMDULILLAH.

- Siakapkeli.my
Sekiranya anda berminat untuk jimatkan kredit telefon anda boleh tekan sini.


Blogger ( 3 ulasan )
  1. mintak dperbetulkan.. perkataan berkhalwat tu... thanks

    BalasPadam
  2. mintak dperbetulkan.. perkataan berkhalwat tu... thanks

    BalasPadam
  3. ape masalahnya? tak paham la tu...

    BalasPadam

Facebook ( comments)

Sedang Hangat

©2014 Siakapkeli