Bacaan
Hangat
Terkini
Viral

Pemecatan Hamidah : Apa Asasnya?, Soal Muhyiddin


Berikutan pemecatan Ketua Wanita Umno Bahagian Gopeng, Datuk Hamidah Osman dari jawatan dan keahliannya, Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin mempersoalkan apakah asas kepada pemecatan tersebut.

Menerusi Facebooknya, Muhyiddin Yassin menyatakan perasaan kesal dan turut menimbulkan persoalanan sama ada benar dakwaan Hamidah yang mengatakan pemecatan disebabkan tindakannya menghadiri satu majlis bersama Tun Dr Mahathir Muhammad.

"Yang menimbulkan persoalan ialah asas dan proses pemecatan beliau daripada parti. Berdasarkan kenyataan Dato' Hamidah, pertuduhan ke atas beliau adalah kerana beliau menghadiri satu majlis bersama YABhg Tun Dr Mahathir Mohamad. Tun Dr Mahathir adalah bekas Presiden UMNO dan masih merupakan ahli UMNO.", kata beliau.

Selain itu, Muhyiddin juga turut menyatakan perasaan bimbangnya terhadap perkara-perkara pelik yang berlaku di dalam UMNO.

"Saya bimbang beberapa perkara pelik yang berlaku di dalam UMNO sejak kebelakangan ini membayangkan semakin terhakisnya sikap bertanggungjawab, adil dan beramanah dalam kalangan sesetengah pemimpin parti.", kata beliau di dalam kenyataan tersebut. - Siakapkeli.my


Perkongsian penuh dari FB Muhyiddin Yassin

Saya berasa amat kesal dan dukacita dengan cara pemecatan YBhg Dato' Hamidah Osman daripada UMNO. Sebagai bekas Ketua Wanita UMNO Bahagian, Ketua Penerangan Wanita UMNO Malaysia dan Exco Kerajaan Negeri Perak, beliau tentunya telah banyak berjasa kepada UMNO dan kerajaan.

Yang menimbulkan persoalan ialah asas dan proses pemecatan beliau daripada parti. Berdasarkan kenyataan Dato' Hamidah, pertuduhan ke atas beliau adalah kerana beliau menghadiri satu majlis bersama YABhg Tun Dr Mahathir Mohamad. Tun Dr Mahathir adalah bekas Presiden UMNO dan masih merupakan ahli UMNO.

Saya ingin bertanya, adakah menghadiri satu majlis bersama bekas Presiden UMNO, yang turut dihadiri oleh ramai pemimpin dan ahli UMNO yang lain, merupakan satu kesalahan disiplin? Jika ia adalah satu kesalahan disiplin, maka saya rasa ramailah ahli UMNO yang terpaksa dilucutkan keahlian mereka dan tinggallah UMNO sebagai parti yang semakin kehilangan ahli dan penyokong.

Dato' Hamidah juga menyatakan bahawa beliau tidak pernah dipanggil oleh Lembaga Disiplin UMNO. Justeru, adakah cara pemecatan Dato' Hamidah mematuhi kehendak Perlembagaan UMNO dan prinsip 'due process of law'? Saya tidak fikir pemecatan seseorang ahli boleh dibuat dengan hanya menghantar surat tunjuk sebab tanpa memanggil ahli yang berkenaan membela diri.

Ada pihak yang berhujah MT boleh memecat seorang ahli tanpa perlu dihadapkan ke Lembaga Disiplin sepertimana yang berlaku dalam kes pemecatan keahlian YBhg Datuk Seri Anwar Ibrahim pada tahun 1998. Mereka ini tidak tahu sejarah. Lembaga Disiplin hanya diwujudkan selepas Pindaan Perlembagaan UMNO pada tahun 2000, iaitu dua tahun selepas Anwar dipecat daripada parti.

Selaku Pengerusi JK Pindaan Perlembagaan UMNO pada waktu itu, saya telah mengusulkan supaya satu Lembaga Disiplin yang bebas dan terdiri daripada ahli-ahli yang tidak berkepentingan dalam parti diwujudkan. Tujuannya ialah supaya sebarang keputusan yang diambil oleh Lembaga Disiplin tidak berat sebelah, `without fear or favour', adil, telus dan pihak yang diadili akan dapat menerima keputusan yang dijatuhkan keatasnya.

Jika benar dakwaan Dato' Hamidah bahawa beliau tidak pernah dipanggil oleh Lembaga Disiplin untuk membela diri, maka tindakan memecat beliau daripada parti adalah jelas bercanggah dengan semangat Perlembagaan UMNO. Selain itu, pemecatan keahlian di bawah Fasal 20.9 Perlembagaan UMNO juga seharusnya menjadi pilihan terakhir terhadap seseorang ahli jika beliau telah melakukan satu kesalahan besar yang melanggar Perlembagaan UMNO dan Tataetika Ahli UMNO.

Saya sedar sebagai Ahli MT, saya terikat dengan sesuatu keputusan yang telah dibuat oleh MT. Cuma adalah menjadi kewajipan saya untuk menyatakan pandangan saya mengenai sesuatu perkara yang dilihat bercanggah dengan kehendak Perlembagaan parti.

Saya bimbang beberapa perkara pelik yang berlaku di dalam UMNO sejak kebelakangan ini membayangkan semakin terhakisnya sikap bertanggungjawab, adil dan beramanah dalam kalangan sesetengah pemimpin parti.

Kepada segelintir mereka ini, saya ingin berpesan. Ingatlah, UMNO bukan parti milik mana-mana individu. UMNO adalah parti milik seluruh umat Melayu! Jangan dihiris hati orang Melayu dengan tindakan tidak amanah dan tidak bertanggungjawab anda semua!

TAN SRI DATO' HJ MUHYIDDIN HJ MOHD YASSIN
Timbalan Presiden UMNO



Saya berasa amat kesal dan dukacita dengan cara pemecatan YBhg Dato' Hamidah Osman daripada UMNO. Sebagai bekas Ketua...
Posted by Muhyiddin Yassin on Friday, 27 November 2015
Sekiranya anda berminat untuk jimatkan kredit telefon anda boleh tekan sini.


Blogger ( 0 ulasan )

Facebook ( comments)

Sedang Hangat

©2014 Siakapkeli