Bacaan
Hangat
Terkini
Viral

Kejadian Memang Berlaku Tetapi Cerita Ditokok Tambah Di Media Sosial - Polis


Sejak beberapa hari lalu menjadi viral di laman sosial Facebook mengenai seorang gadis yang merupakan pekerja PGBowl nyaris menjadi mangsa rogol tiga orang warga asing.

Ketika kejadian, mangsa dikatakan dalam perjalanan pulang kerumahnya dari tempat kerja kira-kira jama 10 malam.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Supt Abdul Samad Bin Salleh berkata, kejadian berkenaan memang berlaku cuma fakta yang diviralkan di media sosial adalah tidak benar terutama dakwaan cubaan merogol dan tiga orang suspek yang dikatakan seolah-olah mengesahkan suspek adalah merupakan warganegara asing tertentu.

"Hasil siasatan polis, berdasarkan kenyataan bapa dan kenyataan mangsa sendiri, kejadian berlaku pada 19 November 2015 lebih kurang jam 10 malam di mana mangsa berseorangan berjalan kaki balik ke rumah di Taman Mawar, Pasir Gudang selepas selesai kerja."

"Apabila sampai di Jalan Mawar Biru, Pasir Gudang, mangsa tiba-tiba telah ditolak dari arah belakang oleh suspek seorang lelaki yang tidak dikenali yang dipercayai warga asing tetapi tidak dapat mengesahkannya secara jelas daripada negara mana."

"Akibat dari tolakan tersebut menyebabkan mangsa telah terjatuh ke dalam longkang di tepi jalan dan suspek telah memijak mangsa beberapa kali sebelum beredar. Mangsa mendapat kecederaan luka di belakang kepala (13 jahitan), luka di bahagian bibir mulut (4 jahitan), luka bahagian kening kiri (7 jahitan), lebam-lebam dan bengkak di bahagian dahi dan muka akibat terjatuh dan dipijak mengenai bahagian longkang sedalam lebih kurang 2 meter."

"Mangsa dirawat di Hospital KPJ Pasir Gudang sejurus kejadian dan dibenarkan keluar pada 21 November 2015 jam lebih kurang 2.00 petang," kata Abdul Samad dalam satu kenyataan media.

Menurut beliau lagi, di dalam kes ini, tiada sebarang berlaku kes pencabulan atau cubaan merogol ataupun cubaan samun terhadap mangsa.

Kes disiasat mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan dan siasatan lanjut untuk mengenal pasti dan menangkap suspek yang terlibat sedang giat dijalankan. Motif kejadian juga belum diperolehi. Sehingga kini belum ada sebarang tangkapan dibuat.

Beliau juga menasihatkan orang awam yang tidak mengetahui cerita sebenar kejadian supaya tidak mengambil kesempatan menulis sebarang tulisan berkaitan kejadian dan kemudiannya dihebahkan melalui laman-laman sosial yang seterusnya menjadi viral di mana menggambarkan seolah-olah keseluruhan ceritanya adalah benar.

Keadaan ini akan menimbulkan kebencian kepada pihak-pihak tertentu khasnya warganegara asing yang disebut sebagai suspek terlibat sedangkan ianya masih belum boleh disahkan dan perbuatan ini juga boleh mengganggu siasatan polis.

"Pihak-pihak yang berkenaan yang dilihat seolah-olah mempunyai detail maklumat kejadian sepatutnya tampil memberikan keterangan kepada pihak polis bagi membantu siasatan dan bukannya membuat cerita dan menjadi viral di laman-laman sosial," katanya.

Sehubungan dengan kejadian ini juga, pihak polis memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat dalam kejadian tersebut agar dapat tampil membantu siasatan polis atau menyalurkan maklumat berkenaan ke mana-mana Balai Polis berhampiran atau melalui Hotline Polis Kontinjen Johor di talian 07-2212999 atau melalui Hotline Polis IPD Seri Alam di talian 07-3864222. - Siakapkeli.my
Sekiranya anda berminat untuk jimatkan kredit telefon anda boleh tekan sini.


Blogger ( 0 ulasan )

Facebook ( comments)

Sedang Hangat

©2014 Siakapkeli